Tuesday, 17 January 2012

A sneak (bukan sneek, occay) peak of sebuah roman (cinta) fantasi: Bab 42


Pedang Setia. Bilah kersani yang ditarik keluar dari sarungnya itu membiaskan pandangan mata Alanah. Dia mengecup kristal terani bentuk dua bulan sabit pada pangkal pedang pusaka itu. Hulu Setia digenggam kuat-kuat dengan bilah matanya ke bawah. Alanah merangkul ia, dagunya ditopang ke atas hulu. Dia memejamkan mata. Untuk beberapa ketika dia begitu saja. Alanah sekadar berdiri di tepi peti kayu di hujung kamarnya itu. Yang terdengar hanya senyap dan sunyi. Dan degup hatinya yang sarat. Yang dirasakannya cuma keterpaksaan. Alanah menghirup udara dalam-dalam. Yang diturutkan nanti, perintah. Yang tertanggung ke atasnya, seluruh Ophir. Nafas yang kendur dilepaskan dengan berat.
Lalu Alanah membuka mata. Pedang Setia disimpan kembali ke dalam sarung bertatah bintang bertujuh. Kemudian pedang pusaka Keluarga diRaja Sabak itu dibalut dengan baldu birunya. Alanah meletakkan bungkusan pedang itu ke atas peti kayu. Sekali lagi dia melepaskan nafas yang panjang. Rambut separas pinggang digulung menjadi sanggul. Dia berpaling menghadap isi kamar. Dia bercekak pinggang. Dia mesti bersiap sebelum bertolak ke Seberang Aron. Ke Kota Lestari.
Di pintu, Evene menjengah masuk. Dan tanyanya kepada Alanah, “Ada yang boleh hamba tolong, Engku?”
Alanah membalas itu dengan senyum kecil. Dia tahu banyak lagi hal lain yang harus diberesi Evene. Menterinya itu telah dipertanggungjawabkan untuk mengatur perjalanan orang-orang Ophir ke Seberang Aron. Begitu juga Adini yang akan membawa perutusan Maharaja Firus ke Kota Nargar di Tanah Merdeheka. Ophir perlu bantuan untuk menghadapi serangan Empayar. Seisi istana punya tugas masing-masing. Alanah tahu itu. Tapi, “Kita boleh buat semuanya sendiri.”
“Dan nanti Engku boleh pergi sendiri, kan?”
“Mengapa Cik Puan tak beriring ikut kita?”
“Orang kita akan ikut Engku,” balas Evene. “Dan Engku akan memimpin mereka.”
“Ke mana? Untuk menunggu khabar... menang atau kalahnya kita, sedang yang lain gugur terkorban? Untuk menunggu tubuh-tubuh tanpa nyawa, berlumur darah itu nanti? Untuk hanya menangisi kepergian mereka?” Jeda. Alanah cuba mengawal emosi. Untuk tenang semula. Dan, “Untuk tak berbuat apa-apa langsung?”
“Engku satu-satunya waris diRaja Sabak yang tinggal. Takkan Engku mahu biar pengorbanan Engku Nenda jadi sia-sia?” Evene mengapungkan senyap. Dia ingin mengertikan semua itu pada Alanah. Dia mahu Alanah sedar dari terus dihanyutkan perasaan. Terus, katanya, “Engku juga nanti yang akan menggantikan Tuanku Firus. Baginda berjuang demi mempertahankan Ophir. Untuk Ophir, Engku mesti selamat. Engku mesti terus hidup.”
“Kita juga boleh pertahankan Ophir.”
Evene menggenggam tangan Alanah. Tangan Puteri Sabak itu terasa dingin. Evene mengeratkan lagi genggamannya. Lalu katanya, “Pertahankan kelangsungan orang kita, Engku. Itu yang mesti Engku lakukan.”
“Kita tak mampu kalau sendiri. Bukan untuk semua ini.” Suara Alanah mencerun bersama pandangan yang ditekur ke lantai kamar. Dia tak pasti apa yang mendatang. Dia tak pasti kalau dia berdaya menghadapinya. Dia tak tahu kalau dia boleh terus hidup sebegitu.
“Engku boleh.”
“Tapi kita tak sanggup.” Untuk pergi begitu saja. Untuk membiarkan segalanya terjadi tanpa dia berbuat apa-apa pun. Untuk terus melalui kehidupan.
“Untuk Ophir, mesti.”
Kata-kata Evene itu memanggil Alanah. Dia mengangkat semua wajahnya. Untuk beberapa ketika, dia sekadar menyambut bicara Evene dengan pandangan. Dia mengejapkan jemarinya dalam genggaman Evene itu. Perlahan-lahan, dia menghimpun keyakinan. Dia boleh. Melaluinya, dia mengumpul kekuatan diri. Dia mesti. Dan dia sedar, dia harus menghadapi perjuangan itu seadanya. Untuk Nenda. Untuk Sabak. Untuk Ophir seluruhnya. Untuk dirinya sendiri. Dia boleh. Dia mesti. Senafas baharu mendegupkan semangatnya semula. Dia akan membawa orang-orang Ophir ke Kota Lestari. “Bagaimana dengan Cik Puan dan yang lainnya?”
“Kami akan menyusul bersama kumpulan yang paling akhir nanti. Tapi Engku mesti sampai ke Kota Lestari dulu. Engku mesti selamat.” Evene meleraikan genggaman tangannya dari Alanah. Dia tersenyum. Kemudian, katanya, “Patik akan menemani Engku kelak. Dan sekarang, biar patik bantu Engku bersiap.”
“Kita dah siap, sebenarnya,” jawab Alanah. Bersama itu ada senyum juga. Dia segera mendapatkan bungkusan baldu biru yang menyimpan Pedang Setia. Pedang itu dikeluarkan semula. Alanah terus mengikat Setia ke pinggangnya.
“Itu saja, Engku?”
Alanah menyeluruhi kamarnya. Tiada lain yang harus dibawa bersama. Tiada lain yang diperlukan. Hanya pedang pusaka itu. Lalu kata Alanah, “Kita perlu Pedang Setia ini saja.”

***

Adini mematikan langkah di ambang laman istana. Mikayla yang ditarik di sisinya ikut berhenti. Barisan penunggang symbrani yang akan mengiringi perjalanan Engku Alanah ke Seberang Aron terus ke hadapan. Ada sepuluh orang semuanya, bersama Tuan Aslan Ezra. Alanah membiarkan mereka mendahuluinya ke gerbang istana. Dia pun sekadar berjalan beriringan dengan Kejora. Tapi nanti dia akan menyusul bersama orang-orang Ophir yang lain untuk ke Kota Lestari. “Jadi kita berpisah di sini, Engku...” tutur Adini bersenggang. Dia langsung melutut dalam sembah hormatnya kepada Puteri Sabak itu. “Izinkan hamba pergi dulu, Engku.”
Alanah mengangkat bahu sahaya pendampingnya supaya Adini berdiri. Dan katanya kepada Adini, “Dini pergi dengan titah tuanku. Alee takkan menghalang. Alee tahu Alee tak boleh ikut.” Di hujung kata itu dia mengulas segaris senyum.
“Dini pergi untuk Ophir.”
“Tapi nanti pulanglah untuk Alee.”
Adini mengangguk. Dia mengemaskan ikatan jubah hitam pemberian Alanah dulu. Kemudian dia naik menunggang Mikayla. Dia menepuk pangkal leher symbrani perang itu. “Sedia, Mikaylaku. Kita lari laju-laju nanti,” bisik Adini. Kepada Alanah, dia menguntum senyum. “Sampai jumpa lagi, Alee,” katanya.
“Kita tunggu.”
Dan Alanah melepaskan Adini pergi dalam pandangannya.

***

Dalam rembang penghujung hari itu, Firus menyeluruhi laman istana dari puncak tangga ke balai penghadapan. Dia lihat barisan penunggang symbrani yang sedang melangkah ke luar kota istana. Itu pengiring Alanah. Mereka menggantung lampu-lampu amra dari tangan mereka untuk menerangi jalannya kelak. Tak lama lagi, Pérmulya yang senja akan menyerah kepada malam dan Alan. Perjalanan itu baru sahaja bermula.
Seorang penunggang berjubah hitam menghambat symbrani perangnya terus ke pintu gerbang. Itu Adini dengan Mikayla. Dia akan ke Kota Nargar, memanggil bantuan orang Nagu di Tanah Merdeheka. Utusan juga telah dihantar untuk bantuan dari kota-kota lain di Tanah Kayang. Mereka akan datang. Untuk Ophir.
Dan kemudian Firus lihat Puteri Sabak itu, Engku Alanah.
Dari atas Kejora tunggangannya, Alanah berpaling ke arah istana. Matanya bersatu dengan pandangan Firus.
Satu.
Dua.
Tiga.
Lalu perlahan-lahan, Alanah memacu symbraninya. Kejora menderap langkah tapak demi tapak. Alanah menetapkan haluannya ke hadapan. Laju dan laju lagi. Perjalanan itu akan diteruskan jua.