Sunday, 11 August 2013

Bab 1: Epik Cinta dari Agïa II



 

Dari pohon tua di puncak bukit itu, semuanya jelas dalam pandangan ke ufuk barat sana. Mendung gelap pekat berarak datang ke pantai. Anginnya meribut, dari laut. Warna jingga petang yang lewat itu bakal berganti malam yang hujan. Pohon tua itu terus meliuk ikut peralihan waktu. Hidupnya sudahpun melewati satu abad. Itu Kayang Ibu, di Bukit Pandang. Musim demi musim yang bersilih dalam aturan alami, telah ia harungi. Siang dan malam berturutan pun, ia hadapi. Seribu tahun nan berlalu. Seribu tahun lagi pun ia akan terus tumbuh. Kayang Ibu itu akan terus jadi saksi kepada segala-galanya yang berlaku di Tanah Kayang.
Nun dari kaki bukit, dua kanak-kanak sedang berkejaran ke puncaknya.Ada suara tawa riang yang melatari. Yang lelaki, berbaju putih, umurnya dalam empat belas tahun. Mulanya dia memimpin dan beriring dengan budak perempuan empat tahun itu. Tiba-tiba sahaja budak perempuan berbaju merah itu menerpa terus ke hadapan.
Laju dia berlari.
“Alee!” Budak lelaki itu hanya dapat melaungkan namanya. Dia tak boleh mengejar. Di tangannya, dia mencempung sebuah ‘pasang bintang’. Kerangka ranting berbalut kertas nipis itu dibawa dengan berhati-hati.
“Firus!” Budak perempuan itu, Alanah, memanggil dari atas puncak bukit. Tak sabar lagi dia untuk menunggu sahaja. “Cepat!”
Firus tetap mengatur langkah yang cermat. Kalau terburu-buru, mungkin dia akan terjatuh. Dia tak mahu jadi begitu. Dia takut ‘pasang bintang’ itu rosak nanti. Dia tak sanggup kalau rancangannya itu jadi sia-sia. Bersusah-payah dia menyelinap keluar tadi, daripada kononnya dia sakit perut dan mahu berehat di kamar sahaja. Sembunyi-sembunyi, dia buat ‘pasang bintang’ itu dengan Alanah.Senyap-senyap, dia dan Alanah mencari jalan ke Bukit Pandang.
Akhirnya, dia sampai juga ke puncak itu.
Alanah sedang berkejaran di bawah Kayang Ibu. Dia cuba menyambut kuntum ungu iloth yang berguguran dibawa angin. Tak satu pun dia dapat. Semua jatuh ke tanah sebelum Alanah sempat menangkapnya. Ada riak kecewa pada wajah comel itu. Tetapi dia terus mengejar juga. Firus hanya menyimpulkan senyum melihat keletah budak perempuan itu. Dia meletakkan ‘pasang bintang’ di perdu kayang. Selepas menyinsing lengan baju dan kaki seluar, dia memanjat pohon tua itu.
“Firus nak buat apa kat atas tu?” Alanah menjerit dari bawah.
“Adalah!” Jawab Firus sambil melepaskan lelah sekejap. Dia memanjat lagi.
“Nak ikut!” Alanah sudah siap-siap mengangkat kainnya.
“Jangan!” Cepat-cepat Firus menegah. Memang Alanah akan mengikutnya ke mana sahaja. Dia tahu itu. Tetapi bukan untuk sekarang. Pandangan yang tajam memaku Alanah di perdu kayang itu. “Tunggu situ. Jaga ‘pasang bintang’ kita. Nanti Firus turun.”
Alanah menurut. Dia mengendong ‘pasang bintang’ ke dalam dakapannya. Matanya tak lepas daripada Firus yang makin sayup di atas sana.
Dan Firus pun sudah sampai ke puncak Kayang Ibu. Dia menghela nafas segar untuk membuang penat. Peluh yang membutir di pelipis diseka dengan belakang tangan. Dia lalu melayangkan pandangan ke kaki langit. Pérmulya, bintang hari itu sudah hampir mencecah ke Laut Cehipa. Siang akan ikut turun ke barat dan malam akan menghantar Alan naik ke bumbung alam.
Malam nanti hujan, telah Firus. Dia lihat awan mendung berbondong-bondong dari arah laut yang terbentang di hadapannya itu. Lagak angin pun keras. Bayu laut. Dia pun ikut teroleng bersama dahan pautannya. Musim Selatan dah datang, Firus mengingatkan diri.
Bayu laut datang lagi. Langsung Firus mendepa tangan. Kakinya siap ditopang kemas pada dahan tadi. Dia memejam mata rapat-rapat. Dalam asakan angin ke tubuh, dia membayangkan bahawa dia sedang terbang membelah angkasa.
Firus memekik sehabis puas.
Dari celah-celah awan putih gebu, dia melayah ke muka laut biru. Berbekas derasnya tamparan angin ke batang tubuh. Terasa percik ombak pada kulitnya. Firus terus terbang.
Ah, semua itu cuma khayalnya.
Dan perlahan-lahan, bayu laut menyurut. Ia mengapung satu haruman yang semerbak. Firus menghirupnya ke dalam nafas. Itu bau kuntum iloth. Dia kembali terpanggil kepada niat awalnya memanjat ke puncak kayang itu tadi. Matanya mencari-cari. Firus mencapai ke hujung dahan paling atas. Dia petik satu-satunya iloth yang sedang mekar di situ. Kata orang, berbeza dengan iloth gugur yang tahan baunya hanya dua ke tiga hari, iloth yang dipetik ketika mekarnya akan terus harum sampai seratus hari.
Iloth itu untuk Alanah.
Alanah terus menunggu di bawah.
Dalam Firus mencari dahan dan mengatur langkah ke bawah, ada sesuatu yang menangkap kerlingan matanya. Dia terpaku. Nun jauh ke tengah Cehipa sana, ada satu kilau putih. Ia mengerdip sesaat cuma. Tanpa sempat Firus menemukan puncanya, ia hilang begitu sahaja. Dia menekur pandangan ke laut untuk beberapa ketika lagi. Ah, tiada apa-apa pun di situ. Khayalnya semata, mantik akal memutuskan.
Firus menjejakkan kaki ke tanah semula. Bunga iloth sudah disimpan dalam saku bajunya tadi. Dia mendapatkan Alanah. “Tutup mata,” pintanya.
Alanah menurut sahaja. Sebelah tangan memeluk ‘pasang bintang’ dan sebelah lagi langsung menekup separuh wajahnya. Ada senyum lebar di situ. Firus mengeluarkan iloth dari dalam sakunya. Dia selitkan bunga ungu itu ke telinga Alanah. Cepat-cepat Alee membuka mata dan mencapai ke sisi. Dia menjerit suka.
“Terima kasih, Firus!” ucap Alanah. Dia mencium bunga itu berkali-kali sebelum menyelitkan ia kembali ke telinga.
“Mari, Alee. Kita main ‘pasang bintang’.”
Firus memimpin tangan Alanah ke tanah lapang tak jauh dari Kayang Ibu. Dia mencari tempat yang rata. Di situ, Alanahmeletakkan ‘pasang bintang’ mereka. Firus mengumpul rumput kering dan ranting kayu dan melonggokkannya bersama. Dia mencangkung. Dari saku seluar, dia keluarkan dua ketul kecil kristal amra.
Kristal-kristal amra itu gunanya untuk menghidupkan lampu-lampu di waktu malam. Ia juga dipakai orang untuk membuat api. Batu berwarna kuning jernih itu sudah dijemur siang tadi. Kalau dijemur seharian, cahayanya cukup untuk semalaman. Kristal kecil milik Firus itu sekadar untuk menyalakan api.Firus melagakan kristal-kristal itu. Satu. Dua. Tiga. Dan terperciklah api ke atas longgokan rumput dan ranting tadi. Ia mula membara.Alanah yang tadi duduk melutut di sisi ‘pasang bintang’ memanjangkan tubuh ke arah api itu. Perlahan-lahan, dia meniup. Asapnya sudah menebal. Baranya kian marak. Firus menambah lagi ranting dan rumput.
“Alee, jangan dekat sangat,” pesan Firus.
Alanah terus juga meniup. Degil! Dan tiba-tiba angin kuat menghembus. Asap tertolak ke arah Alanah. Budak perempuan itu menjerit terkejut. Nyaris kainnya disambar api. Langsung dia memeluk Firus dan membenamkan mukanya.
“Kan dah kena!” Firus sendiri terduduk dari cangkungnya.
“Pedih....” Alanah mengadu. Tangannya mula mengenyeh mata.
“Jangan gosok....” Terus Firus menahan. Budak perempuan itu ditarik rapat. “Mari, Firus tengokkan.” Lalu perlahan-lahan, Firus meniup ke dalam mata Alanah. Beberapa kali dia mengerdip tanda rengsa. Berair matanya. Sekali lagi dia mengerdipkan matanya. Selepas beberapa ketika, Firus bertanya, “Dah baik, kan?”
Alanah hanya mengangguk. Tetapi kemudian, dia tersenyum semula.
Angin bertiup lagi. Bersamanya datang mendung juga. Firus mendongak ke langit. Hari semakin gelap. Dia dan Alanah tak sepatutnya berlama-lama di luar. “Lepas main ‘pasang bintang’, kita cepat-cepat balik.” Firus beritahu Alanah.
Alanah akur. Dia betulkan letak ‘pasang bintang’ di atas tanah rata tadi. Dengan hati-hati, Firus pula mengambil sebatang ranting yang sedang terbakar. Dia melindung nyala api di hujung ranting itu daripada tiupan angin dengan telapak tangannya. Dia cucuhkan api ke dalam ‘pasang bintang’. Di tengah-tengahnya, dipasangkan seketul getah pokok mur yang menjadi penyambung rangka. Sumbunya mula membakar. Firus memegang satu sisi ‘pasang bintang’ itu. Dia gamit Alanah untuk sama-sama menampung sisi yang satu lagi. Berdua, mereka mengangkat ‘pasang bintang’ itu dari tanah. Udara di dalam ‘pasang bintang’ itu sudah cukup panas untuk mengapungkannya. Semakin lama ia jadi semakin ringan.
“Sedia?”
Tanya Firus itu berbalas angguk sahaja. Seluruh perhatian Alanah pada ‘pasang bintang’ yang sedang ditatangnya.
“Alee, lepas....”
Firus menampung ‘pasang bintang’ di hujung jari. Dia berdiri tegak semula. Dia angkat tangan tinggi-tinggi. Dia menunggu sedikit masa lagi. Dalam angin yang bertiup tenang, Firus membiarkan. Dan perlahan-lahan, ‘pasang bintang’ itu terapung ke udara. Kedua-dua pasang mata dipaksi padanya.
Tinggi. Dan tinggi lagi.
Firus tersenyum puas. Alanah bertepuk gembira.
Jauh. Dan semakin menjauh.
Alanah mengejar. Firus pun. Berdua, mereka beriring dengan ketawa. Firus dan Alanah langsung berkejaran sampai ke tebing bukit. ‘Pasang bintang’ sudah terbang tinggi.Angin petang meniupnya pergi ke jauh lagi. Firus mengangkat Alanah ke dalam kendongan. Biar Alanah dapat lihat sepuas-puasnya.  Dari tebing itu, Alanah melambai-lambai kepada ‘pasang bintang’.
“Terbang tinggi lagi sampai jadi bintang betul!” Alanah melaungkan itu.
Angin menderu keras. Mendung pula makin pekat. Tiba-tiba perasaan Firus dirusuh bimbang. Sepertinya ada sesuatu yang tak kena dengan perubahan alami itu. Tanpa berkira-kira lagi, dia berpaling dan membuka langkah untuk meninggalkan tebing itu. Alanah dirangkul kemas dalam dakapan. Dia mempercepatkan gerak kaki. Mereka harus meninggalkan Bukit Pandang sesegera mungkin.
Belum sempat pun Firus sampai ke Kayang Ibu, tiba-tiba cahaya putih yang menyilaukan membungkus suasana. Naluri Firus hanya untuk melindungi Alanah. Dia jatuh melutut dan memeluk budak perempuan itu di bawah tubuhnya. Alanah menjerit. Firus memejam mata rapat-rapat. Dentuman yang memekakkan menyusul.
Senyap.
Untuk beberapa lama, hanya ada kesunyian yang berdengung. Perlahan-lahan, Firus membuka mata. Belakang tubuhnya terasa pijar. Alanah masih dalam dakapannya. Dia tak sedarkan diri. Dengan payah, Firus bangkit semula. Seluruh anggota badannya terasa berat. Dia gagahkan juga kudrat. Setapak demi setapak, dia melangkah lagi. Belakang tubuhnya terus meradang dengan rasa pijar. Keringat melencun turun. Langkah demi langkah, dia berjalan pulang. Alanah tetap dikendong.
Sampailah Firus ke gerbang istana kota.
Sisa tenaganya tinggal yang penghabisan. Firus langsung tersungkur ke tanah. Antara sedar dengan tidak, dia mendengar orang memanggil namanya. Alanah terlepas daripada pelukannya, diambil orang. “Alee....” Nama itu tersekat di rongkongan. Nafas Firus turun dan naik tanpa aturan. Badannya semakin lemah. Rasa pijar itu kian membekas. Seluruh belakang tubuhya bagaikan terbakar. Dia menjerit dengan kesakitan yang terlalu.
Jeritan itu bersambut raungan bergema.
Kemudian, segala-galanya jadi gelap.

4 comments:

y[o]n said...

cepat la novel no. II ni keluar...x sabar sangat. this is the best novel from jsadiwarna! I bought ur previous novels after i read epik cinta dari agia but cant beat ECDA pn hehe

hanaannais said...

YEAH!
teruskan menaip. :p

Anonymous said...

AAAAAAAAAAH

apa sebenarnya rahsia di sebalik cahaya putih yang mengena firus itu?

apa kaitan cahaya putih itu dengan garis berbentuk kilat di belakang tubuh firus?

apa kaitan firus dengan raksasa di tengah laut cehipa???

apa apa apaaaaaaaaaa ?

oh for god's sake, please publish epik cinta dari agia 2 ASAP, che' pingu toha!

Anonymous said...

Yg novel kdua cinta Agia sdh dipasarkan ke?