Sunday, 25 January 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Prolog dan Bab 1

Baiklah. Ini post pertama untuk sneak peek 30 Hari Untuk Melupakan Cinta. Ku akan tempek kat blog ni once in a while sementara nak menyeru semangat menyiapkan manuskrip penuhnya. Kali ni ku boh Prolog dan Bab 1. Setakat ni progress agak slow. Sehari dapat dalam satu muka surat. Kita tengoklah macam mana nanti. Cerita ni macam sedih sikit la. Tak tahu la kot makin banyak tulis nanti makin banyak sedih pulak. Ekekekek. Harap-harap kalian sudi baca dan sudilah menunggu berzaman lagi untuk buku ni siap kelak. 

Enjoice!



Prolog

Dah nak masuk tiga tahun saya meroyan. Ini bukan meroyan yang biasa. Bukan juga meroyan yang luar biasa. Ada lagi ramai orang yang meroyan yang lagi lama daripada saya. Saya tak gila. Saya bukan perempuan pun. Tapi saya sedang meroyan. Ini bukan meroyan yang biasa (atau luar biasa). Ini bukan meroyan selepas bersalin. Saya dah cakap saya bukan perempuan. Ini meroyan spesis lain. Dalam erti kata yang sebenar, saya dah putus cinta dan saya sedang dan masih mengalami kesan sampingan akibatnya. Lagi senang cakap macam tu, kan? Tapi kurang impak. Untuk beri efek lebih dramatik, perkataan ‘meroyan’ tu juga yang lebih sesuai. Saya boleh terangkan pada awak tapi saya tak boleh fahamkannya untuk awak. Saya meroyan, senang cakap. Yang payah ialah untuk melupakan. Sangat-sangat payah.
Awak faham, kan?
Tiga tahun bercinta, putus dan tiga tahun lagi meroyan... dan mungkin bertahun-tahun lagi. Tapi sampai bila lagi?
Saya pun tak tahu. Saya nak cuba. Bukannya saya tak pernah cuba. Sungguh, saya dah cuba untuk melupakan cinta itu. Tapi saya belum juga mampu untuk melepaskan dia. Saya tak mahu. Dan saya terus meroyan. Semuanya sebab dia.
Dia... Manis.
Manis yang manis. Manis yang saya cinta. Manis yang pernah saya cinta. Tak! Manis yang masih dan akan tetap saya cinta sampai bila-bila pun lah!
Izinkan saya untuk terus meroyan. Terima kasih.


1
Saya dan Manis

Segala-galanya bermula kurang lebih tujuh tahun yang lepas. Tapi sebelum saya berkongsi duka lara cinta tak kesampaian ni, eloklah kiranya saya perkenalkan diri saya dulu. Nama skema saya ialah Shazeriq bin Che Shahidin. Kalau saya skema mungkin orang panggil saya Shaz. Tapi sebab saya tak sikat rambut belah tepi, tak pakai cermin mata bingkai tebal, tak rajin baca buku dan tak bercita-cita nak jadi jadi doktor atau jurutera atau ahli arkeologi, atau dalam erti kata lain, saya tak skema, maka orang panggil saya Eriq.
Nak kata saya ni handsome tu, taklah sangat. Kacak spesis muka Melayu aje. Melayu tulen. Ayah saya orang Kota Bharu, Kelantan dan kampung mak saya dekat Berisu, Melaka. Tak ada darah campur. Saya bukan anak Dato’, Datuk, Tan Sri, Ungku, Tengku atau Raja. Wan pun tak. Nik pun tak. Mak ayah saya orang panggil puan dan encik aje. Saya tak kaya. Saya tak bawa Ferrari. Saya belajar dulu pun dekat USM. Saya tak ada paspot nak terbang ke Ireland belajar jadi doktor Hospital Serdang atau pergi Jepun jadi jurutera Perodua atau belajar di Amerika untuk jadi ahli arkeologi.
Kerja saya biasa-biasa aje. Bak kata orang, ‘saya yang menurut perintah’. Masuk kerja sebelum pukul lapan tapi belum tentu boleh balik tepat pukul lima. Kerja tetap kerja. Pencapaian tetap diutamakan. Dan maaf, di opis saya tak ada istilah ‘minum pagi pukul 10’ atau yang sewaktu dengannya. Tak pernah wujud pun pekeliling fasal ‘minum pagi pukul 10’. Mohon betulkan persepsi awak, boleh?
Saya bekerja dan tinggal di Putrajaya, dengan sahabat saya dunia dan akhirat, Amir Zakuan. Kira-kiranya dah sepuluh tahun kami berkawan. Dari satu matrikulasi, lepas tu satu universiti, lepas tu satu batch lantikan, sampailah sekarang, satu rumah. Panjang betul jodoh kami. Eh? Tapi kami berada di jalan yang lurus, okey. Amir dah ada girlfriend. Lya nama dia. Harap maklum.
Tapi saya?
Kurang dua bulan lagi, umur saya akan naik ke angka tiga puluh. Dah hampir tiga puluh tahun saya hidup. Tapi saya rasa saya masih berumur dua puluh tahun. Kenapa? Jam hidup saya terhenti pada sembilan tahun yang lepas.
Sembilan tahun lepas... ke hari saya jumpa Manis buat kali pertamanya. Hari itu hari Rabu. Hari itu hari pertama Ekspo Konvokesyen Universiti Sains Malaysia. Kami panggil ConvEx. Habis kelas dan siap makan tengah hari, saya buang masa pusing-pusing tapak ekspo, sementara nak tunggu kelas ganti Bahasa Perancis petang nanti. Sebenarnya saya bukanlah suka-suka nak buang masa. Saya ada misi.
Hari itu hari Rabu. Hari itu 8 haribulan Ogos. Hari itu hari lahir Amir Zakuan Muhd Hisham, sahabat yang tercinta. Saya dah janji dengan Wani nak buat surprise untuk Amir malam tu. Eh, siapa Wani? Oh, dia awek Amir masa kami dalam Tahun Satu. Tahun-tahun lain, orang lain pula. Lupa saya nak cakap, Amir playboy. Itu cerita lama. Tapi kita sambung balik flashback tadi.
Jadi Wani dah beli hadiah. Misi saya pula cari kek. Kalau Wani beli hadiah yang istimewa, saya tak mahulah beli kek yang biasa-biasa aje. Lalu hari itu, saya tawaf satu ConvEx untuk cari kek yang lain daripada yang lain. Tak ke pelik cari kek di ekspo konvokesyen? Jangan tak tahu, macam-macam ada di ConvEx ni. Macam-macam orang. Macam-macam barang. Macam-macam kemungkinan.
Hari itu juga buat pertama kalinya saya jumpa dengan Manis.
Tunggu. Apa pula kena-mengenanya kek yang saya cari dengan Manis yang saya jumpa?
Manis dan kawan-kawan buka satu gerai jual kek cawan. Cupcake Chantek namanya. Bukan semata-mata kek cawannya aje yang cantik. Orang yang jual kek cawannya pun cantik! Rima, Nuwul, Izyan, semuanya cantik. Saya tahu nama setiap mereka sebab masing-masing pakai tanda nama bentuk heart lain-lain warna. Rima pakai yang warna pink. Nuwul, kuning. Izyan, putih. Masing-masing pasang senyum semanis secawan kopi bercampur lima sudu creamer dan lima sudu gula. Senyum manis yang boleh mengakibatkan diabetis yang seterusnya membawa kepada kegagalan jantung. Amboi, dia orang ni jual cupcake ke, jual cinta?
“Satu, RM2. Enam, RM10. Sedozen RM20. Abang nak beli berapa?” tanya Rima si cantik gebu kepada saya. Yang dimaksudkannya kek cawan, bukanlah cinta.
Saya jenguk ke dalam peti kaca yang bersusun penuh dengan kek-kek cawan. Hmm... kek cawan? Birthday cake jadi birthday cupcakes. Kalau dah pangkalnya ada ‘kek’ mestilah boleh dibuat jadi kek sambut hari lahir, kan? Mesti lain daripada yang lain, ya tak? Kek cawan pun kek cawanlah. Nampak macam sedap aje semuanya. Berwarna-warni dan ada bermacam bentuk topping hiasan. Cantik sangat sampai nak makan pun rasa sayang. Tapi, “Saya nak yang kosong. Nak tulis-tulis atas cupcake tu.”
“Ada lagi ke cupcake yang kau belum hias...” Di sini, Rima toleh ke belakang gerai, tanya terus kepada, “...Manis?”
Mata saya ikut Rima. Waktu itulah saya lihat dia, buat kali yang pertama. Manis. Dia pakai tudung ungu cair dengan blaus warna krim sama overall jeans. Kad bentuk hatinya warna ungu biji remia. Tertulis namanya; MANIS. Dari bibir beroles gincu pink, dia kirimkan senyuman. Senyum Mona Lisa. Oh, saya sanggup jadi Musée Du Louvre untuk simpan senyum awak sebagai mahakarya, Manis!
“Awak nak berapa?” Manis tanya pada saya. Suaranya manja bukan jenis yang mengada-ngada. Ni jenis manja anak sulung ni. Kalau awak pun anak sulung, tentu awak faham. Manis melangkah ke depan gerai. Dia pegang piping bag. Senyum itu masih lekat dibibirnya. Dia tanya saya lagi, “Apa yang awak nak tulis?”
“Er... sedozen.” Dalam kepala, saya cuba susun kek-kek cawan tu. Saya aplikasikan pemikiran kritis dan kreatif yang saya belajar dalam kelas di Dewan Tunku Syed Putra tiap-tiap petang Khamis semester ni. “Susun dalam tiga baris. Awak tulis... E, R, I, Q. Tu nama saya. Lepas tu, awak lukis bentuk love tu. Sambung dengan M, I, R. Lepas tu, X, O, X, O.”
Manis ambil kek cawan kosong dan letak atas dulang. Ada cukup-cukup sedozen yang belum dia hias lagi. Dia susun macam yang saya cakap tadi. Empat biji kek cawan dalam tiga baris. Manis tanya lagi, “Awak nak icing base ni warna apa?”
“Warna putih pun okey,” jawab saya.
Siap letak base icing, Manis mula tulis. Dia beri cadangan juga tentang macam mana nak hias kek cawan tu. Saya angguk, ikut setuju. Dalam pada tu, tengok cara kerja Manis, saya rasa saya rela jadi kek cawan tu. Daripada sedia handsome, saya rela jadi cantik macam kek-kek cawan tu sebab Manis yang buat.
“Untung girlfriend awak ni, ya?” Manis bersuara.
“Apa pulak girlfriend? Boyfriend la.” Saya balas selamba.
Saya nampak tangan Manis terhenti dalam sedetik pada bentuk heart yang sedang dia lukis. Tapi lepas tu dia sambung balik ke huruf M. Kemudian dia cepat-cepat siapkan I, R, X, O, X dan O.
Dan tiba-tiba saya sendiri yang terhenti sedetik. Saya tengok kek cawan tu. Saya dah rasa semacam. Saya ingat balik apa yang saya cakap tadi. Saya dah tahu kenapa Manis pun jadi semacam aje tadi. Saya rasa saya macam dah tersilap cakap. Manis pun dah tersalah faham. Pipi saya rasa macam dah terbakar. Manis pula tersipu-sipu. Habislah. Habislah. Habislah. Saya jadi tak tentu arah.
“Eh! Eh! Saya tak songsang! Amir tu dah ada awek! Tapi saya single! Sekarang pun Amir tengah dating dengan Wani! Saya bukan perosak rumahtangga orang! Eh! Saya anggap dia macam abang! Saya lagi muda! Hari ni birthday dia! Kami nak celebrate sama-sama! Wani pun ada!” Bertalu-talu penjelasan saya hambur pada Manis, dalam satu nafas.
Saya perasan yang semua orang pandang semacam pada saya. Baru saya sedar, satu ConvEx dah terkesima dengan drama senafas saya tadi. Habislah. Habislah. Habislah. Mereka terus pandang saya semacam. Mereka sudah bisik macam-macam.
Saham saya hari itu diniagakan dalam kaunter rugi. Habislah. Habislah. Habislah.
“Tapi saya straight....
Saya mengesan pergerakan khalayak semakin menjauhi diri saya. Dalam sepelaung juga jauhnya. Rima buat-buat kira cupcake. Nuwul susun-susun cupcake. Izyan makan cupcake. Pandangan semacam tadi dah terlempar entah ke mana. Bisik macam-macam tadi masih terdengar sayup-sayup. Saham saya terus merudum.
Muka ni saya dah tak tahu nak letak di mana. Dalam menunduk, saya tak tahu kenapa saya tiba-tiba cakap, “Tapi saya single....
Hanya terdengar bunyi yang sunyi di tapak ConvEx.
“RM20, Encik Eriq.” Manis hulurkan kotak cupcake. Saya beri RM50 dalam senyap. Muka terus ke tanah. Dia pulangkan duit baki. Bunyi yang sunyi dah tak ada. Hanya suara Manis aje. Katanya, “Nanti tolong sampaikan ucap Happy Birthday saya untuk Amir, okey?”
“Awak sudi tak teman saya sekali malam nanti?” Tiba-tiba pula saya tanya Manis macam tu. Macam mana boleh saya terajak Manis ni? Nampak sangat macam saya nak cover line, kononnya saya straight. Eh! Memang saya straight! Nanti kalau Manis tak sudi, tak ke malu berganda-ganda lagi? Tak ke muflis harga diri saya nanti? Dalam soalan pada soalan tu, saya kata lagi, “Kami nak celebrate kat Tasik Harapan.” Lagi saya ajak.
Manis senyum.
Habislah. Habislah. Habislah.
“Amir tak kisah ke kalau saya rampas awak daripada dia nanti?
Saya pula yang tersenyum. Tak fasal-fasal aje. Agak-agak, kalau saya jawab, ‘Awak nak rampas nyawa saya pun tak apa’, boleh tak?
Manis senyum lagi.
Sampai hari ni pun, saya tak boleh lupakan senyuman tu. Manis....


Monday, 12 January 2015

2015 Reading Challenge


So. I haven't blogged for a while. A long while. Work kept me busy. Laziness kept me, well, lazier. But it's a new year. 2015. I've got to start again, somehow. So I figured, the only way I'm ever going to push myself to commit is to start with a list, or in this case, a challenge. Here comes the 2015 Reading Challenge! Paling-paling pun dapat la 50 entri dalam tahun ni. I've finished a book last week. Will blog about it later. I am reading another for the time being. We'll see how it goes. Insya-Allah.

Tengok la kalau dapat mencelah-celah saya akan tempek beberapa bab daripada my upcoming work yang dah berzaman sangkut - 30 Hari Untuk Melupakan Cinta. Ekekekekek