Wednesday, 18 March 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 2 - Di satu sudut yang sepi


“Sampai bila, wak?” Suara Amir yang romantis sayup-sayup sampai ke telinga saya. Jauh betul saya mengelamun tadi. Sampai-sampai aje, barulah saya sedar yang saya sebenarnya sedang duduk menghadap Amir dan Lya. Amir dan Lya pandang saya. Saya pandang ke meja. Di antara kami, ada tiga pinggan nasi lemak dengan ayam goreng. Ada sirap bandung, milo tarik dan barli suam juga. Nasi lemak yang Amir punya dah tinggal tulang ayam aje. Yang Lya masih ada separuh. Saya belum sentuh sebutir nasi pun.
“Kita kat mana?” Saya pusing badan ke sekeliling. Oh, ni ke kedai nasi lemak New Village Park yang Amir cakap tu? Jauh betul Lya ajak kami makan nasi lemak, dari Putrajaya sampai ke Damansara. Jauh lagi saya mengelamun... sampai ke USM.
“Apa aje yang awak ingat tu, wak?” Amir tanya. Dia geleng-geleng kepala. Dia kata bawah nafas, “Ingat Manis lagilah tu....” Amir pandang saya. Dia tanya lagi, “Sampai bila, wak?” 
Sampai bila apanya? Saya bukannya hilang ingatan. Saya mengelamun aje tadi. Saya tahu saya di sini, di New Village Park, Damansara Utama, dengan Amir dan Lya. Saya tak lupa.
Saya cuma tak boleh lupakan Manis.
Sampai sekarang pun.
“Awak bila lagi?” Saya tanya Amir sambil pandang ke Lya. Lya nama pendek untuk Natalya Abu Bakar. Lya ni awek Amir yang sekarang, lepas Iffa, Cici dan No-Or masa matriks, Wani, Jamie, Ulfah, Meen dan Rima (kawan Manis tu) masa di USM, Ika dan Comot masa Diploma Pengurusan Awam, Ayuni dan Haz di Kementerian Kesihatan, dan Lya masa di Kementerian Pelancongan. Sampai sekarang.
Dengan Lyalah yang paling lama Amir bertahan. Dah nak masuk tiga tahun pun. Memang saja-saja saya tanya macam tu tadi. Saya tak tahu nak jawab soalan Amir yang mula-mula tu.
“Saya tanya awak, awak tanya saya balik.” Soalan kepada Amir tu tak dia jawab juga.
“Saya tanya lain. Awak tanya lain,” Saya balas macam tu. Saya pun tak jawab Amir. Entah berapa puluh ratus ribu juta kali dah Amir tanya soalan tu. Dah berapa juta ribu ratus puluh kali pun jawapan saya tetap sama. Saya memang tak tahu dan tak ada jawapannya. Maka kaedahnya, saya pun mesti tanya balik pada Amir soalan yang dia tak boleh jawab. Eh, ‘belum’ boleh jawab.
Bilalah Amir ni nak sampai seru nak kahwin dengan Lya?
“Saya tunggu awak, wak.”
“Sampai bila?” Eh, saya pergi tanya balik soalan tu? Memang nak menjerat diri sendirilah ni! Habislah. Habislah. Habislah.
“Dah tiga tahun, Eriq.” Lya bersuara, akhirnya. Yang dia maksudkan tu, saya dah tiga tahun meroyan. Tadi Lya senyap aje. Masa makan memang dia tak bercakap. Kalau makan, lepas kunyah empat puluh kali barulah Lya telan. Selalunya, antara kami bertiga, dia yang paling lambat habis. Kali ni, sayalah. Nasi lemak saya dah sejuk pun. Lya letak sudu tepi pinggan macam dalam etika fine dining. Amboi... makan nasi lemak aje, kut. Tertib betul Lya ni. Lagi lima belas minit, barulah dia akan minum air barli suamnya nanti. Amir dah pesan satu lagi sirap bandung. Saya punya milo tarik dah hilang buih.
Saya terus juga diam.
Dalam ramai-ramai awek Amir, Lyalah yang paling saya berkenan. Maksud saya, Amir dengan Lya ni memang sesuai sangat dah. Sedap mata memandang. Tenang hati mengenang. Sejuk perut mengandung. Wah! Macam saya pula yang nak menerima menantu. Tapi kan, Lya memang pandai layan saya. Dengan Amir, apatah lagi, kan? Lya sedang memangku tugas sebagai girlfriend Amir. Lya juga menanggung kerja sebagai bestfriend forever saya.
Hari Ahad ni, salah-satu sebab saya terheret sekali makan nasi lemak jauh-jauh ni sebab Lya. Lya yang suruh Amir paksa saya ikut. Padahal sepatutnya Amir dating dengan Lya aje sebab Lya baru balik dari kerja lapangan selama dua minggu di Sabah. Saya tak mahu kacau daun. Tapi Lya paksa juga. Kalau tak, saya boleh memerap aje di bilik. Saya nak sambung meroyan lagi.
“Tak best lah Lya tengok Eriq macam ni...”
“Kalau awak biar saya kat rumah tadi, tak payahlah awak tengok saya macam ni, kan?” Saya terus aje potong cakap Lya. Yang tiba-tiba mulut saya ni lancar semacam dah kenapa? “Kan dah spoil mood?
Lya pun dah sentap.
“Boleh tak awak hargai usaha kami ni? Tiga tahun awak meroyan, tiga tahun ni juga kami layan awak, tau tak? Awak sedar tak, wak?” Amir macam (dan memang pun) marah tapi suara dia tetap romantis. Marah-marah romantis? Macam mana tu? Entah. Tapi Amir tenung saya sampai kepala saya rasa berat, nak tertunduk. Lagi seinci, muka saya akan tersembam ke dalam pinggan nasi yang tak luak ni. Amir berdengus. Dia bersandar malas. Dia dah malas nak layan saya.
“Saya tak boleh....” jawab saya, perlahan aje. Saya tak tahu jawapan tu untuk soalan Amir yang mana satu. Saya tak hargai usaha Amir dan Lya ke? Saya tak sedar yang saya dah tiga tahun meroyan ke? Tak pun, saya nak jawab yang saya tak boleh nak move on lagi, untuk soalan Amir yang mula-mula tadi.
Get a life.” Lagi perlahan cakap Amir tu, tapi saya dengar.
Saya pula yang sentap.
“Janganlah cakap macam tu...” Lya bersuara semula. “Try putting ourselves in his shoes.
“Dah tiga tahun asyik nak kena pakai kasut dia. Dah koyak-rabak dah kasut tu,” balas Amir.
“Awak dah tiga belas kali tukar kasut. Saya baru sekali ni aje.” Saya jawab balik pada Amir, perlahan-lahan.
Amir sentap.
“Kan dah kena batang hidung sendiri?” Habis cakap, Lya hirup barli suam. Manis barli suam tu lekat pada bibirnya yang tersenyum.
“Apa kena-mengena kasut dengan batang hidung orang?” Konon-kononlah Amir tak faham. Konon-konon nak menafikan sejarah zaman jahiliyah dia sebagai seorang player lah tu!
Saya dan Lya diam aje. Lya sudukan barli ke mulut. Saya pusing-pusingkan gelas milo yang dah sejuk. Sambil-sambil itu, saya jengah ke luar restoran. Hari mendung macam nak hujan. Jam di tangan tunjuk ke angka sebelas dan enam. Makin ramai orang datang ke New Village Park, nak makan nasi lemak untuk brunch, kononnya. Dalam bising-bising tu, meja kami terus senyap.
“Ni yang tak best ni kalau girlfriend dah geng dengan bestfriend ni.” Amir tak puas hati, tiba-tiba. Dia dah mula mencorong. “Orang rasa terpinggir.”
“Alolololo... merajuk pulak dia.” Lya pujuk Amir. “Meh sini, orang suap barli sebagai tanda kasih sayang.”
“Tanak! Orang nak aiskrim!”
Dah mula dah Amir ni. Lovey dovey lah pulak! Pukul nanti, menangis. Tak pukul, saya yang muntah darah nanti. Apa kata kita join sekali? Saya panjangkan badan ke seberang meja. “Saya pun kekurangan kasih sayang, Lya....” Saya muncungkan mulut nak sambut suapan barli Lya tadi.
“Amboi!” Terus Amir tarik telinga saya. Bertambah capanglah telinga saya ni!
“ADOI!” Saya balas dengan kepit hidung mancung Amir di antara jari telunjuk dengan jari tengah. Biar dia kena resdung!
“ADOI!!” Telinga saya kena piat lagi. Amir tak mahu menyerah.
“ATTOI!!” Makin kuat saya kepit hidung Amir. Dah sengau dah tu. Saya pun takkan mengalah.
Dengan sudu barli tadi, Lya ketuk tangan saya dan Amir. “ADOI!!” Kami sama-sama mengaduh. Saya lepaskan hidung Amir. Amir bebaskan telinga saya. Genjatan senjata. Dengan sudu tu juga, Lya mengancam nyawa kami. Gerak sikit aje, kena ketuk. Sudu tadi terus diacukan bergilir-gilir di antara saya dengan Amir.
“MENYERAH!” Saya dan Amir angkat bendera putih, serentak. Kebas jari-jari ni kena ketuk, tahu tak? Satu kedai pun dah pandang serong ke meja kami. Tak macho langsung gaduh tarik-tarik telinga dengan hidung ni!
“Amboi....” Panjangnya ‘amboi’ Lya tu. Dia dah letak senjata. Dia pandang saya dengan Amir. “Kadang-kadang, orang confused. Rasa macam dalam cinta tiga segi. Kadang-kadang memang orang rasa orang ni girlfriend dia...” Lya rujuk ‘dia’ kepada Amir.“...Tapi selalunya, orang rasa macam Eriq ni sebenarnya boyfriend dia! Orang rasa terpinggir. Orang tak rela hidup bermadu!” Lya terus pekup muka.
Saya dan Amir sama-sama sentap. Bertambah seronglah pandangan masyarakat ke meja kami sekarang ni.
“Alolololo....” Amir cepat-cepat pujuk Lya.
“Saya dengan Amir ni bromance lah, Lya.” Saya betulkan fakta. Saya dan Amir memang berada di jalan yang lurus!
“Tapi orang dengan dia memang romance,” Dah keluar dah ayat-ayat cinta Amir. Ayat romantis Amir ni macam coklat cair. Sedap aje. Lya jeling dari celah-celah jari dia. Mukanya merah macam strawberi. Lya dah jadi strawberi celup coklat. Manis, bertambah manis. Untunglah orang bercinta ni, ya tak?

Sayalah juga yang terpinggir di satu sudut yang sepi. Cis!

No comments: