Wednesday, 25 March 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 3 - Bagaimanakah untuk move on?


Dah seharian jalan-jalan siang tadi, dari ke perut kosong Putrajaya ke nasi lemak New Village Park sampai ke meatball Ikea balik ke Putrajaya semula. Lepas hantar Lya balik ke Presint 18, saya dan Amir sampai ke apartmen kami di Presint 11. Itu pun dah hampir-hampir ke maghrib barulah kami sampai. Penat. Tapi perut kosong balik. Lapar! Lepas solat Isyak, saya keluar bilik. Amir berlengeng atas sofa di ruang tamu. Dia sedang baca majalah. Saya picit ibu jari kaki Amir yang terkutik-kutik di hujung sofa. Dia jatuhkan majalah di atas perut. Dia angkat kening kiri tanda tanya ‘apa hal?’. Walaupun terbalik, saya sempat kerling ke tajuk artikel yang Amir baca tu; Rahsia Alam Perkahwinan. Wah!
Saya cuba sembunyikan senyum. Dah sampai seru ke Amir ni? Saya tak tanya terus macam tu tapi saya tanya, “Awak dah solat?”
“Dah.” Lepas jawab, Amir sambung baca majalah.
Saya picit ibu jari kaki Amir sekali lagi. Belum sempat pun dia angkat kening, saya terus tanya, “Awak tak lapar?”
“Kejap lagilah kita keluar.” Amir jawab macam tu. Maknanya dia malas nak masak malam ni. Semalam saya yang masak. Kari sardin dan sup sayur campur jadi hidangan air tangan saya malam semalam. Dah sampai giliran dia, Amir mengelat!
Saya duduk di kaki sofa, peluk lutut. Jari-jari asyik mengirai hujung permaidani yang jadi lapik meja kopi di depan saya. Saya jeling kepada Amir. Dia masih asyik membaca majalah tadi. Saya kerling jam di dinding, tergantung atas televisyen flat-screen 48 inci. Jam tu tunjuk ke pukul 9.21 malam, cepat sepuluh minit daripada jam dekoder Astro. Amir membaca lagi. Dia tak peduli saya pun. Saya tunggu juga.
“Kita nak makan kat luar jugak ke?” tanya saya, sebelum berbunyi perut mengeriut macam bunyi ikan paus. Siang tadi pun bukannya saya makan. Nasi lemak tak berjamah. Meatball Ikea pun tak luak. Sekarang, yang laparnya saya juga!
“Awak nak masak ke?” Amir tanya saya balik.
“Malam ni giliran awak!”
“Saya tak nak masak.” Macam tu aje jawab Amir. Dia menggeliat sekejap. Nampak sangat malasnya tu! Dia sambung baca majalah. Kemudian, dari balik majalah, dia bersuara, “Kita keluar bukan nak makan aje....”
Saya tunggu ayat Amir yang tak habis tu.
“Saya nak usyar awek...
“AWAK CURANG!” Saya terus pancung kata-kata Amir. Saya tepis majalah yang Amir baca tadi. Pandang sini, Amir! Memang pantang betul saya kalau Amir buat semula perangai playboy tu! Berani dia nak main-mainkan Lya? Pandang saya, Amir! Berani dia nak cari awek lain?
“UNTUK AWAKLAH!” Amir jegil mata bulat-bulat, terkejut bercampur marah.
Eh? Takut saya nak pandang Amir balik. Okey, bertenang Eriq. Amir bukannya nak main kayu tiga-empat-lima dengan Lya, macam lima-empat-tiga awek dia yang sebelum ni. Amir dah betul-betul taubat. Amir memang dah betul-betul sampai seru dengan Lya! Tapi, “Kalau awak betul-betul dah nak kahwin dengan Lya, awak kahwin aje lah. Tak payahlah nak tunggu saya.”
“Apa awak merepek ni, wak?” Amir kerut dahi, konon macam keliru sangatlah tu!
“Dah tu... hari tu kata nak kahwin lepas saya. Yang beria-ria usyar awek untuk saya tu buat apa?” Saya balas sambil jeling-jeling pada majalah yang Amir kutip semula dari atas lantai. Dia belum habis baca lagi. “Dah tak sabar-sabar nak membongkar Rahsia Alam Perkahwinan lah tu!”
Amir terkedu. Nampak sangat dah kantoi! Dia tegakkan badan dan mengiring ke arah saya. Dengan nada romantis, Amir bisikkan, “Awak, sebenarnya saya tak sanggup tengok awak menderita sebab Manis, wak. Dah tiga tahun dah...” Ada jeda sekejap. “...HOI!!”
Nyaris saya nak melompat! Nyaris nak gugur jantung! Nyaris nak tercabut nyawa!
Amir buat muka puas hati. Lagi bertambah geramlah saya! Telinga ni berdesing lagi. Rosak koklea! Ah, sudahlah! Saya nak merajuk. Saya tak nak cakap dengan Amir lagi! Kalau saya melompat lepas tu jatuh kepala dulu tadi macam mana? Kalau saya sakit jantung? Kalau saya koma? Sanggup Amir buat saya macam tu? “Sampai hati awak?”
“MEMANG! Memang saya sampai hati!”
Amboi... over pulak Amir ni!
“Tapi saya tak sampai hati nak biar awak terus menderita sebab seorang perempuan yang sekarang ni tengah bahagia dengan orang lain!” sambung Amir. Bunyinya keras. Lagi terpukullah rasanya ke hati saya.
Saya pula yang terkedu. Kali memang segala rasa pun melompat-lompat, jantung pun habis gugur, nyawa pun dah melayang-layang. Semuanya sebab Manis. Sampai hati awak, Manis!
“Dah tiga tahun dah, wak.” Amir ulang itu lagi. Dia cakap perlahan-lahan. “It’s high time. You have to move on. You need to.
“Saya nak pergi ke mana?” Lambat-lambat saya balas. Bukannya sebab apa pun. Saya tiba-tiba kagum dengar Amir boleh cakap orang putih, tiba-tiba.
“Sebelum awak nak pergi ke mana-mana pun, awak kena tahu apa yang awak nak cari.” Tiba-tiba juga Amir jadi semangat. Dia tongkat badan dengan siku, rapat kepada saya. Dia nak tahu dan dia tanya, “Sekarang, awak cakap dengan saya... perempuan macam mana yang awak nak?”
“Dia mestilah perempuan.” Saya tahu tak lawak, tapi saya saja-saja nak isi masa senggang sementara nak memikirkan jawapan untuk soalan Amir tu. Dia bersandar semula ke sofa. Tangannya menopang ke belakang kepala. Jarinya main-main dengan rambut di atas dahi. Amir tunggu saya. Lalu saya jawab, “Dia mesti pandai masak. Pandai baking. Pandai buat cupcake.
“Macam Manis?”
Saya angguk. Saya tambah lagi, “Dia mesti suka makan.”
“Macam Manis jugak.”
“Dia mesti suka Muse.”
“Macam Manis, I know.
“Dia mesti stylo.
“Macam Manis.”
“Dia mesti pandai melukis. Pandai main Cluedo. Suka baca buku. Tak suka bawang. Tak suka Hindustan. Bla bla bla bla.”
“Semua pun macam Manis! Baik awak kahwin dengan Manis aje!”
Terus saya bangkang sebab, “Masalahnya Manis dah kahwin dengan Najmi!”
Diam. Saya yang terkedu sendiri sebenarnya.
“Sedar pun awak, kan? Manis dah jadi isteri orang, wak. Dah jadi mak orang pun. Yang awak nak teringat-ingat pada dia lagi buat apa? Nak jugak dambakan cinta dia lagi?” Bertalu-talu ayat Amir tu menampar kesedaran saya. Dia bangkit dan pegang bahu saya. Dia kata lagi, “Ingat Tuhan, wak. Ingat Tuhan.”
Sya tertunduk. Saya panggung muka dengan tangan. Dalam hati, saya istighfar banyak-banyak. Perlahan-lahan saya raup muka. Saya cuba tahan perasaan. Parah betul cinta yang kecundangan. Sakit betul kenyataan yang dah jadi takdir tu, kan? Payah betul saya nak melupakan. Saya cuba buang perasaan tu. Manis yang memahitkan. Manis yang memeritkan. Manis yang tetap manis. Manis. Dia dah jadi isteri kepada Najmi mana entah. Manis. Dia dah jadi ibu kepada Dani. Manis. Dah tiga tahun dia bahagia.
Tapi saya?
Betul cakap Amir. Saya mesti move on. Saya tarik nafas dalam-dalam. Saya patut move on lama dulu lagi. Saya hembus nafas panjang-panjang. Tapi, “Macam mana nak move on?
“Mula-mula, awak kena lupakan Manis.”
“Macam mana saya nak lupakan Manis?” Macam tu aje? Sedangkan dah bertahun saya cintakan dia, setiap hari. Dah bertahun saya meroyan, teringatkan dia.
“Kita mula dengan usyar awek untuk awak. Kita keluar.” Amir campak majalah ke atas meja kopi. Dia pakai semula baju yang tersidai pada kepala sofa. Dia ambil kunci kereta dari kotak kunci dekat pintu. Dia toleh balik kepada saya, menunggu saya menyusul pula. Saya masih duduk longlai di sisi sofa. “Tengok, awak tu asyik nak terperuk aje kat rumah. Kalau saya tak heret awak... kalau Lya tak ajak, memang haramlah awak nak mencemar duli. Dah macam spesis Twilight dah awak ni... tak boleh kena cahaya matahari langsung! Macam mana awak nak move on kalau nak bergerak pun awak berat punggung?”
Sebelum Amir membebel lagi panjang lebar, saya cepat-cepat bangun tegak. Saya pusing nak ke bilik.
“Kita nak keluar rumah, bukan masuk bilik.” Amir dah berdiri di muka pintu.
“Nak keluar pakai kain pelikat macam ni aje?” Saya nak kena tukar seluar dulu!
“Nak tunggu awak tukar seluar nanti kalah Lya bersiap, tahu tak? Semua nak kena matching.” Amir dah siap-siap buka pintu. Dia sarungkan selipar ke kaki. “Kalau tunggu awak, mamak 24 jam pun boleh tutup, tahu tak?”
“Pergi mamak aje?”
“Dah tu.... Yang nak melawa bagai apa hal?” Amir tutup pintu.
Ala, mamak lagi!