Tuesday, 28 April 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 6 - Hari 1 Apa Jadi Kepada Ex Anda?


i

Eriq,

Sekarang dah tepat jam 12.00 tengah malam dan dah masuk ke tarikh 13 November. Hari ni hari pertama daripada 30 hari untuk Eriq melupakan cinta. Eriq dah sedia untuk move on?
Untuk makluman, Eriq akan terima e-mel seumpama ini pada setiap jam 12.00 tengah malam sepanjang 30 hari yang akan datang. Bukan ‘akan datang’ lagi. 30 hari tu dah bermula, Eriq.
Sehubungan itu, aku tanya Eriq sekali lagi; Eriq dah sedia untuk move on?
Setiap hari Eriq akan dapat e-mel daripada aku. Dalam e-mel ini, Eriq akan dapat arahan untuk menyelesaikan tugasan harian yang dalam proses pelaksanaannya akan membantu Eriq melupakan cinta lama dan membolehkan Eriq move on. Itu sebabnya aku kirim e-mel ni setiap jam 12.00 tengah malam supaya Eriq boleh bersedia dan buat perancangan sebaik-baiknya. Setiap hari Eriq akan dapat tugasan yang berbeza. Maksudnya Eriq perlu sempurnakan 30 tugasan untuk melupakan cinta. Tapi tak usahlah Eriq risau sangat. Tak semestinya Eriq siapkan tugasan tu dalam tempoh sehari. Ia bergantung kepada jenis tugasan dan cara Eriq laksanakannya. Eriq pun dah lama meroyan dan baru sekarang nak move on. Benda macam ni tak boleh nak dipaksa-paksa. Kayuh perlahan-lahan, okey?
Jadi, Eriq dah sedia?

***

Dah betul-betul bersedia ke saya? Saya tanya diri saya balik. E-mel yang terpampang dalam skrin telefon itu saya tenung tak sudah. Balik daripada majlis Jailani dan Regina tadi, dah siap-siap mandi, saya baring menunggu masa untuk terlelap. Sambil itu, saya layan celoteh kawan-kawan dalam group chat Whatsapp di telefon. Tiba-tiba saya dapat notifikasi ada e-mel baharu.
E-mel daripada Loverex?
Saya buka e-mel itu dengan satu perasaan yang bercampur-baur. Tak saya sangka yang rupanya saya akan teruskan langkah untuk move on dan melupakan cinta Manis dalam masa 30 hari ni. Macam-macam yang saya rasa sekarang. Teruja. Sebab rasa macam ikut Amazing Race. Takut. Sebab tak tahu saya akan sampai ke destinasi itu atau tidak. Gembira. Sebab saya akan menghadapi satu perjalanan penuh advencer. Sedih. Sebab saya akan tinggalkan Manis jauh di belakang.
Dapatkah saya untuk move on dalam 30 hari akan datang?
Yang paling penting sekarang, adakah saya akan teruskan? Cukup bersediakah saya?
Ya!  

***

Baiklah. Kalau betul Eriq dah sedia, kita mulakan dengan Hari 1 daripada 30 Hari Untuk Melupakan Cinta. Tugasan pertama untuk hari pertama ni mudah aje.    
Jawab soalan ni; apa jadi kepada ex Eriq?
Semua ex.

***

Ex? Macam mana nak melupakan cinta dengan mengingat semula fasal cinta yang dulu. Ingat untuk lupa? Reversed psychology? Mungkin. Saya ikut ajelah. Lagi pula ini baru hari yang pertama. Saya anggap ini sebagai aktiviti pemanas badan. Macam sesi suai kenal yang selalu dibuat dalam kursus-kursus. Jadi, kita layankan!
Okey. Jadi, apa yang dah terjadi pada ex saya? Semua ex saya? Sebenarnya, Manis bukanlah satu-satunya perempuan yang pernah bertakhta di hati saya. Sebelum Manis, pernah ada Fadz. Sebelum Fadz, pernah ada Opie.
Ya, Opie pun. Tapi itu cerita yang lain.
Fasal Manis, awak dah tahu ceritanya.
Fasal Fadz? Fadz saya kenal masa sama-sama belajar di matrikulasi dulu. Fadzrina Selamat nama penuh dia. Orang Perlis. Kami satu kelas tutorial. Dia selalu duduk di meja depan saya masa dalam kelas. Saya selalu pinjam tutorial Fadz untuk tiru jawapan. Tapi selalunya, kami bincang sama-sama dan ramai-ramai dengan kawan sekelas yang lain. Saya suka Fadz sebab dia ada otak. Dia bijak. Kalau dia buat lawak, lawak dia lawak yang intelektual. Dia selalu buat lawak bila kami stres dalam perbincangan berkumpulan nak siapkan tutorial. Dia yang selalu dapat cari jawapan untuk tutorial. Minat kami pun hampir sama. Kami sama-sama kuat makan. Masa zaman belajar dulu, tiap-tiap hujung minggu kami mesti keluar makan sama-sama dan ramai-ramai dengan kawan sekelas yang lain. Ya, memang kami selalu dalam ramai-ramai. Tak pernah pun saya dan Fadz keluar dating berdua aje. Jangan haraplah!
Memang saya suka Fadz. Tapi saya tak pernah beritahu Fadz. Tak seorang pun yang satu kelas tutorial dengan kami tahu. Room-mate saya pun tak pernah tahu. Amir tak tahu.
Saya tak tahu kalau-kalau Fadz tahu.
Sampai habis belajar, saya tak pernah bersemuka dengan Fadz fasal perasaan saya. Saya tak beranilah! Lagi pun masa tu banyak hal yang lebih penting daripada bercinta atau cari jodoh. Masa tu matrikulasi tempohnya setahun aje. Subjek-subjek yang sebelum tu diajar dalam dua tahun terpaksa kami hadam dalam dua semester.
Memanglah ada aje kawan-kawan saya masa matrikulasi dulu yang kahwin sesama sendiri. Contohnya Mona, bestfriend Fadz yang kahwin dengan Razak, room-mate saya dan Jeffrey, budak kelas Sains Fizik yang kahwin dengan Baby kelas Sains Hayat sekali dengan saya dulu. Ada juga yang bercinta (atau sambung bercinta) selepas matrikulasi.
Itu cerita mereka. Cerita saya dengan Fadz tak sampai ke mana pun. Habis matrikulasi, saya sambung buat ijazah di USM. Fadz pula terbang ke Ireland. Cita-cita Fadz memang nak jadi doktor. Dia kata dia nak jadi doktor pakar mata.
Apa agaknya khabar Fadz sekarang, ya?
Melalui telefon, saya log masuk ke akaun Facebook; Eriq Shahidin. Saya memang jarang buka Facebook. Dalam sebulan tu mungkin ada sekali dua aje. Kawan Facebook saya pun tak sampai tiga ratus pun. Dalam banyak-banyak profil kawan yang tak berapa ramai tu, saya cari profil Fadz. Fadz Selamat. Saya memang friend dengan Fadz sejak zaman Friendster dan Myspace lagi. Cumanya kami jarang berkomunikasi secara maya. Saya ada simpan nombor telefon Fadz. Tapi saya tak pernah SMS dia. Nak telefon jangan haraplah.
Jadi buat apa saya stalk profil Fadz?
Saya cuma nak tengok kalau-kalau ada updates tentang kawan saya yang satu ni.  Hmm... Fadz dah tukar gambar profil yang baharu. Wah! Ada event?
Majlis Tunang-Nikah-Sanding Fadz & Elmi?
Wow?
Dengan pantas tangan saya capai telefon dan taip ‘TAHNIAH FADZ!!!’. Saya hantar mesej Whatsapp tu kepada Fadz.
Kemudian saya tepuk dahi berkali-kali.  
KENAPA SAYA SMS FADZ? KENAPA? KENAPA? KENAPA?
Saya tepuk dahi sekali lagi. Selama bertahun-tahun sebelum ni saya tak pernah SMS atau telefon atau like atau comment satu benda pun berkaitan Fadz, tiba-tiba pukul 2.00 pagi macam ni saya whatsapp dia! Kalau dia balas nanti, macam mana? Saya nak balas macam mana pula? Tapi kan, Fadz tak ada nombor saya. Dia mesti tak tahu saya yang hantar mesej Whatsapp tu. Kalau nanti dia tanya saya ni siapa yang mesej dia pagi-pagi buta ni, saya tak perlu balas. Bijak kan?
Tak patut. Tak patut. Tak patut.
Saya tepuk juga dahi sekali lagi. Lepas tu saya campak telefon ke atas katil. Okey, bertenang Eriq. Mari kita ubah topik.
Sekarang kita flashback fasal Opie pula. Ya, Opie anak Cikgu Mod dengan Auntie Dina yang saya jumpa waktu resepsi malam tadi. Sekarang kita buka cerita tentang Opie pula, okey? 
Nama penuh Opie yang saya ingat-ingat lupa rasanya Aya Sophia. Tak ingat nama sebenar Cikgu Mod, ayah dia. Saya capai semula telefon dan buka browser internet. Saya google nama Aya Sophia dengan gabungan Opie. Saya dapat profil Facebook atas nama Opie Muhammad. Ya, nama ayah Opie ialah Muhammad. Baru saya ingat semula. Saya ingat segala-segalanya tentang Opie.
Saya dan Opie berjiran waktu keluarga kami sama-sama duduk di Gombak dulu. Lama dulu. Masa tu kami darjah lima. Tapi kami tak sama sekolah. Sebenarnya, rasanya kami tak ada persamaan pun. Saya kurus. Opie gemuk. Saya tak suka baca buku. Opie ulat buku. Saya pergi sekolah naik basikal. Opie pergi sekolah naik kereta sekali dengan ayah dia pergi kerja. Saya ahli Kadet Remaja Sekolah. Opie masuk St. John Ambulance. Saya kidal. Opie tak kidal. Saya pengawas. Opie pustakawan. UPSR saya 3A 1B. Opie dapat 4A.
Saya mula-mula kenal Opie masa keluarga dia pindah ke taman perumahan kami. Masa tu saya dan keluarga baru balik dari kampung lepas cuti sekolah. Apabila kami sampai, saya tengok laman rumah sebelah kami dah bersih. Sebelum ni, rumah tu dah lama kosong. Tiba-tiba petang tu, di laman tu dah ada buaian besi. Ada seorang budak perempuan gemuk sedang duduk baca buku atas buaian tu. Budak perempuan tu lari masuk ke dalam rumah bila nampak ayah saya parkir kereta. Ayah terus keluar ke rumah sebelah. Ayah ajak kami sekeluarga berkenalan dengan jiran kami yang baharu.
Jiran kami tu keluarganya besar. Encik Muhammad dengan Puan Dina ada tujuh orang anak. Tujuh-tujuh anak mereka perempuan. Opie yang paling bongsu. Mereka pindah ke mari sebab Encik Muhammad bertukar sekolah. Encik Muhammad tu guru besar. Cikgu Mod orang panggil dia. Puan Dina itulah Auntie Dina. Tujuh orang anak perempuan Cikgu Mod saya ingat nama mereka semuanya. Shawn, Fara, Tien, Zana, Mas, Awa dan Opie.
Opie menyorok belakang Cikgu Mod masa kami mula-mula jumpa. Ayah kenalkan Yuna, kakak saya dulu. Opie malu-malu. Lepas tu ayah kenalkan saya. Saya senyum. Saya tayang gigi besi saya. Budak-budak perempuan di sekolah saya semua takutkan saya sebab saya ada gigi besi. Tak seorang pun berani rapat dengan saya.
Saya ingatkan Opie akan takut.
Tapi apabila Opie nampak gigi besi saya, dia ketawa. Dia tutup separuh muka dengan baju Cikgu Mod. Saya dengar dia ketawa. Kemudian dia lambai pada saya. Dia tunjuk muka. Dia senyum. Opie pun ada gigi besi!
Ya, itulah satu-satunya persamaan saya dan Opie. Kami bergigi besi. Kami jadi kawan sebab kami ada gigi besi. Mula-mula tu saya dan Opie kawan-kawan yang biasa aje. Waktu petang, lepas sekolah, saya selalu teman Opie main buaian di laman rumah dia. Selalu juga mak buat minum petang dan saya ajak Opie makan sama-sama di rumah saya. Kami akan siapkan semua kerja sekolah pada hari Jumaat. Saya dan Opie belajar sama-sama. Kadang-kadang Kak Yuna tolong kami. Kadang-kadang Kak Shawn atau Kak Fara atau Kak Tien atau Kak Zana atau Kak Mas atau Kak Awa yang ajar. Di masa-masa lain, kami hanya akan duduk di buaian depan rumah. Opie baca buku. Saya main game. Hampir setiap petang, memang itulah rutin kami berdua.
Jadi bila masanya kami jadi kawan ‘luar biasa’?
Ada satu petang tu, saya dan Opie macam biasa duduk di buaian. Saya main game. Opie baca komik. Tiba-tiba kami dengar bunyi kelopak, kelopak, kelopak, kelopak, jantung, jantung, jantung, jantung berulang kali. Bunyi tu datang dari pintu pagar rumah. Di situ, Kak Mas dan Kak Awa buat gaya palu kompang. Kelopak, kelopak, kelopak, kelopak, jantung, jantung, jantung, jantung. Entah dari mana pula, tiba-tiba Kak Tien dan Kak Fara tercegat apit kami di sisi buaian. Mereka kipas kami dengan surat khabar yang dilipat-lipat macam kipas pengantin. Kak Shawn dan Kak Zana dah bersilat pulut depan kami.
Saya jeling Opie yang juga jeling saya. Muka kami dah merah padam. Tak tahulah sebab malu yang malu atau malu yang tersipu-sipu. Tapi saya dan Opie tak cuba untuk lari daripada persandingan segera tu.
Sampai sekarang pun, saya tak tahu siapa punya rancangan nak main kahwin-kahwin tu. Hati saya kuat mengatakan yang itu semua kerja Kak Yuna. Mengapa? Sebab tiba-tiba jugalah Kak Yuna muncul dan menari Tualang Tiga di tengah-tengah laman tu. Kak Shawn dan Kak Zana yang dah habis berpencak ikut menari. Kak Mas dan Kak Awa campak kompang entah ke mana dan sama-sama jadi penari pula.
Saya pandang lagi Opie. Opie pun pandang saya. Dan kami sama-sama senyum sampai nampak gigi besi kami. Lagi merah muka kami.

ii

Maaf. Maaf sangat-sangat! Malam tadi saya terlelap. Sedar-sedar aje dah pukul 6.30 pagi. Itu pun sebab mak yang ketuk pintu kejutkan saya untuk solat subuh. Kalau tak, memang tak sedar sampai sudah. Siap solat, saya baring sekejap di katil. Kepala rasa berdenyut-denyut. Mungkin sebab tak cukup tidur malam tadi. Atau mungkin juga sebab terkejut dengan ketukan pintu mak tadi. Mata pun rasa berat semacam aje. Tapi saya tak mahu sambung tidur. Tak elok. Rezeki lambat masuk.
Jadi sementara baring menunggu denyut-denyut kepala ni menyurut, saya capai telefon yang malam tadi sudah tercampak ke hujung katil. Wah! Whatsapp punya group chat ada lebih 400 mesej. Tapi ada satu mesej, satu-satunya yang buat saya sangat-sangat terkejut.

Terima kasih, Eriq. Nak alamat. Nak kasi kad jemputan. :)

Mesej itu daripada Fadz. FADZ? Fadz tahu nombor saya? Macam mana tu? Gambar profil Whatsapp bukannya saya letak gambar saya. Saya pakai gambar hati bertampal plaster. Nama profil pun saya tak letak sebagai Eriq. Saya pakai nama D1SudutYgSepi.
Atau memang selama ni Fadz pun ada simpan nombor saya?
Macam mana ni?
Saya buntu. Saya tak tahu macam mana nak respon terhadap kejadian seumpama ini. Kalau di pejabat, boleh juga saya buka fail rujukan dan korek kronologi surat-menyurat dan kertas pertimbangan. Yang ini, tak pernah-pernah saya dan Fadz bertanya khabar, berutus salam, tiba-tiba dia minta alamat untuk kirim kad kahwin. Nak kena buka fail baharu ke? Ini kategori rahsia terperingkat. Sulit. Dan fail ini bakal ditutup juga.
Fadz dah nak kahwin.
Sanggupkah saya nak ke walimah dia? Ke satu lagi kenduri kahwin?
Ah, kenduri kahwin aje pun. Datang ajelah, Eriq! Makan-makan sampai kenyang. Borak-borak dengan kawan lama yang dah bertahun tak jumpa. Tangkap gambar ramai-ramai (dan selfie juga) dan baliklah lepas semua tu. Tapi benda-benda semacam itu jugalah yang saya nak elakkan. Makan sampai kenyang atau makan hati berulam jantung? Borak dengan kawan lama tapi soalannya sama; awak bila lagi, Eriq? Tangkap-tangkap gambar pun, yang lain cukup kuorum dengan suami atau isteri dan anak-anak. Saya jugalah yang berdiri paling tepi seorang-seorang. Selfielah banyak-banyak. Yang lain balik berbondong-bondong dengan keluarga. Saya sendirian juga.
Fadz dah nak kahwin.
Macam mana tu?
Saya campak telefon ke tepi dan pekup muka ke bantal. Fadz dah nak kahwin. Fadz dah nak kahwin. Fadz dah nak kahwin. Saya ulang itu sampai tak cukup nafas. Bantal yang dipekup di muka tadi saya tarik dan peluk erat-erat. Dalam posisi mengiring itu, saya biarkan fikiran saya melayang-layang.
Manis dah kahwin. Manis dah ada anak.
Fadz pun dah nak kahwin.
Habis, saya?
Habis, macam mana saya nak move on kalau saya asyik ulang perkara yang sama. Manis. Manis. Manis. Fadz. Fadz. Fadz. Kahwin. Kahwin. Kahwin. Sekarang ni ia bukan lagi tentang Manis atau Fadz atau kahwin. Misi utama saya ialah untuk move on. Ini baru hari pertama. Ada dua puluh sembilan hari lagi yang perlu saya hadap. Ini baru tugasan pertama dan akan menyusul dua puluh sembilan yang lain lagi. Saya kena siapkan tugasan pertama ni dulu untuk hari ini.
Jadi, apa yang dah terjadi pada ex saya?
Kita dah tahu fasal Manis. Kita dah tahu fasal Fadz. Yang tinggal, Opie ajelah. Cerita malam tadi tak selesai lagi. Sebenarnya, cerita saya dengan Manis dan Fadz pun belum selesai. Untuk Manis, saya perlu move on. Dan ya, itu sesuatu yang saya sedang usahakan. Untuk Fadz, ya, mungkin juga saya perlu pergi ke kenduri kahwin dia. Lalu dengan tangan yang menerawang ke belakang tubuh, saya mencari-cari telefon yang saya campak tadi. Dapat. Saya buka semula mesej Whatsapp daripada Fadz tadi. Saya balas dengan alamat di Putrajaya.
Tapi kan, sanggup ke saya nak datang ke kenduri kahwin orang yang pernah saya suka? Macam pelik aje. Memanglah saya hanya pernah suka pada Fadz. Memanglah saya tak pernah cakap ‘I love you pada Fadz. Memanglah tak siapa pun tahu fasal perasaan saya pada Fadz. Dibuatnya nanti perasaan tu membuak-buak nanti masa tengok Fadz bersanding dan saya tiba-tiba meraung, berhempas-pulas meroyan depan pelamin? Tak ke haru? Dibuatnya Fadz yang tengah bersanding tu tiba-tiba turun dari pelamin dan berlari mendapatkan saya yang melangkah keseorangan ke pintu keluar dewan dan mengakui yang dia juga cintakan selama ini dan perkahwinan ini hanyalah perkahwinan paksa jenis-jenis bercinta selepas bernikah macam dalam novel-novel Melayu dewasa ini? Tak ke gila?
Sekejap.
Sebenarnya kan, boleh ke saya kategorikan Fadz tu sebagai ex saya? Kami tak pernah bercinta pun. Yang saya beria-ria nak bercerita sangat tentang Fadz pun dah kenapa? Fadz dah nak kahwin. Okey, fine. Tutup fail.
Dapat kad jemputan tu nanti kita tengoklah sama ada saya sanggup pergi atau tak.
Itu tunggu dulu.
Sekarang kembalilah kita fasal Opie.
Saya dah dengar tiga kali ketukan di pintu bilik. Mak panggil saya. Tak sempat pun nak menyahut, mak dah menjengah dari balik pintu. Mak tanya, “Eriq dah bersiap ke belum?”
Saya bangkit, menggeliat malas. Saya termangu dalam mamai.
“Kita nak pergi Klang ni. Ayah kata kita sarapan kat luar aje.” Kata mak lagi. “Bolehlah singgah kat mana-mana beli buah tangan sikit.”
Aduh. Janji semalam tu janji mak dan ayah dengan Cikgu Mod dan Auntie Dina. Kononnya mereka nak makan tengah hari sama-sama. Auntie Dina jemput ke rumah di Klang. Macam mana saya pun boleh terlibat ni? Sebab ada Opie.
Aduh. Saya macam dah boleh agak dah apa akan jadi nanti. Habislah. Habislah. Habislah.
“Dah. Pergi mandi cepat. Ayah dah tunggu tu.”
Fasal Opie, kita sambung cerita di rumah dia nanti.

iii

Ayah dan mak ni memang pandai betul pasang strategi. Ayah bawa satu kereta. Mak satu kereta dengan saya. Awal-awal lagi saya dah cakap lepas makan di rumah Cikgu Mod nanti saya nak terus balik ke Putrajaya. Jadi lebih elok kalau kami bawa kereta asing-asing. Saya akan ikut ayah dari belakang nanti. Sebenarnya saya nak bawa perlahan-lahan sampai tertinggal jauh dan  pura-pura salah jalan lalu sesat dan kemudian terus ‘terpaksa’ patah balik ke Putrajaya. Biarlah mak dengan ayah aje ke Klang. Dia orang yang berjanji pun. Bukannya saya.
Tapi ayah dan mak memang sentiasa selangkah di hadapan. Sudahnya, ayah yang bawa Honda City saya di depan sana dan saya pandu Proton Waja ayah, bawa mak bersama. Memang saya tak dapat nak lari dah. Nak tak nak, saya memang terpaksa ke Klang.
Dah sampai pun.
Rumah lot tepi di Bandar Parkland itu menyambut kami dengan pintu pagar yang sedia terbuka. Kami parkir di seberang jalan. Di ruang letak keretanya sudah ada dua buah kereta. Toyota Unser warna kelabu dan Suzuki Swift warna merah. Yang Suzuki Swift tu mesti Opie yang punya. Saya harap-harap sangat Opie tak ada di rumah. Harap-harap sangatlah Opie pergi klinik cabut gigi sesiapa pun lah. Tapi Opie ada. Aduh! Tenang, Eriq. Tenang!
Masuk aje ke lamannya, mata saya tertumpu pada buaian besi bercat putih di patio. Ya, buaian putih tu masih hidup lagi! Eh? Maksud saya, ia masih ‘hidup’ dengan kenang-kenangan saya dan Opie lima belas tahun yang lepas. Saya masih ingat lagi...
“Apa yang duk mengelamun tu, Eriq?” Ayah menyapa dengan tepukan di bahu.
Saya tersentak. Kemudian saya sengih aje.
“Tak payah mengelamun. Orang yang betulnya ada kat dalam tu.” Mak pula yang menyambut.
Lagilah saya terkulat-kulat. Tiba-tiba aje saya jadi berdebar. Habislah. Habislah. Habislah. Orang yang betulnya yang mak maksudkan tu Opie!
Cikgu Mod sudah menyambut salam ayah di muka pintu. Auntie Dina dah peluk cium mak. Saya salam Cikgu Mod dan senyum pada Auntie Dina dan lepas tu tercongok aje di depan pintu. Menononglah saya ikut mak dan ayah ke ruang tamu. Pandang kiri, ada rak penuh buku. Pandang depan pun ada lagi rak penuh buku. Di rumah ni tak ada peti televisyen. Di rak yang kebiasaannya orang letak televisyen dan dekoder Astro, saya lihat ada beberapa bingkai gambar yang diatur rapi. Tujuh bingkai bergambar mengapit di kiri dan kanan sebuah bingkai bergambar paling besar di situ. Itu gambar keluarga Cikgu Mod. Yang di kiri dan kanannya gambar keluarga anak-anak Cikgu Mod. Kak Shawn, Kak Fara, Kak Tien, Kak Zana, Kak Mas dan Kak Awa semuanya dah ada keluarga masing-masing. Saya syak itu gambar-gambar masa hari raya yang lepas. Setiap satu keluarga ada warna tema. Dalam gambar di tengah-tengah tu barulah nampak yang warna-warna yang dipakai rupanya ikut warna pelangi. Cikgu Mod dan Auntie Dina berpakaian serba hitam di tengah-tengah. Dari Kak Shawn sampailah kepada Opie, mereka berdiri di belakang, ikut susunan Mat Jenin ke hutan bawa nasi ulam. Ala, itu formula nak senang ingat warna pelangi; merah, jingga, kuning, hijau, biru, nila dan ungu.
Ya, Opie berbaju kurung serba ungu. Ya, dia seorang aje dalam bingkai bergambar paling hujung. Dia seorang aje yang belum kahwin. Macam manalah rupa Opie sekarang ni, ya? Saya tak dapat lihat dengan jelas sebab rak dengan bingkai bergambar itu di seberang ruang tamu sana. Saya terus ikut mak dan ayah ke ruang makan terbuka dengan meja penuh hidangan tengah hari yang panas-panas. Kerusinya ada sepuluh. Kami berlima aje yang ada di meja. Sepatutnya ada enam orang, kan?
Mana Opie?
“Oh, ya. Opie kirim salam,” kata Auntie Dina pada mak dan ayah. Kemudian dia beritahu saya, “Kawan Opie datang, jemput dia tadi. Emergency, katanya. Entah gigi siapa dia nak cabut entah.”
Jadi sekarang ni saya patut rasa lega atau macam mana?
“Dia akan balik secepat mungkin.” Cikgu Mod menambah.
Jadi sekarang ni saya patut rasa berdebar pula ke?
“Kononnyalah tu. Daripada melongo tunggu Opie, baiklah kita makan kenyang-kenyang dulu. Jemputlah.” Lagi sambung Auntie Dina. Dia ceduk nasi separuh untuk Cikgu Mod dan suakan mangkuk nasi kepada mak. Bersilang-silang tangan-tangan di atas meja. Sekejap ke ketur untuk basuh tangan. Sekejap hulur pinggan lauk yang itu. Sekejap ambil mangkuk gulai yang sana. Sekejap mahu lauk yang ini pula. “Kita habiskan semua lauk ni. Jangan tinggalkan untuk Opie. Biar padan muka dia balik nanti!” kata Auntie Dina bersungguh-sungguh.
Ini yang buat saya suka dengan Cikgu Mod dan Auntie Dina. Sejak dulu pun macam tu. Mereka memang selamba. Sekarang pun. Mereka anggap anak-anak mereka macam kawan. Boleh geng lah. Kawan anak mereka ialah kawan mereka juga. Macam mana mereka suka sakat anak mereka, macam itulah juga mereka akan kenakan kawan anak-anak mereka. Ada aje modal melawaknya.
Saya tersenyum sendiri, teringatkan cerita zaman budak-budak dulu.
“Tadi duk termenung. Ni duk tersenyum seorang-seorang.” Mak tegur saya.
Laju aje saya suap nasi ke mulut sebab nak cover senyum tak fasal-fasal tadi. Suap punya suap dah tercekik! Menggagau pula saya mencari air. Dalam dua teguk sirap, nasi yang sangkut di kerongkong dah jatuh ke perut. Saya ambil seteguk lagi. Lega.
Mak geleng kepala aje. Ayah tersengih. Cikgu Mod dan Auntie Dina pula sama-sama tersenyum.
Sekarang saya dah tak tahu nak rasa macam mana lagi.

iv

Tapi rasanya ada perkara yang tak boleh dibuat lawak. Dan saya tahu yang Cikgu Mod dan Auntie Dina tak melawak. Mak dan ayah pun serius. Memang perkara yang satu ini tak boleh dibuat main-main. Sampai sekarang pun, sambil berguling-guling atas katil, puas sudah saya memerah otak mencari jalan untuk melepaskan diri daripada permainan tiga penjuru ini. Sampai ke sudah pun, Opie tak balik-balik dan tinggallah saya seorang untuk berhadapan dengan regu mak-ayah dan Cikgu Mod-Auntie Dina siang tadi.
Ini tidak adil!
Opie sepatutnya ada bersama saya untuk membentes serangan bertubi-tubi mak-ayah dan menyekat kemaraan taktikal Cikgu Mod-Auntie Dina. Tapi nampaknya mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina bersungguh-sungguh membolosi pertahanan saya yang terkapar-kapar keseorangan. Mereka tak main-main lagi. Saya tak mampu untuk menangkis terus-terusan tanpa bantuan Opie.
Ini memang tidak adil!
“Kami ni bukannya apa...” Terngiang-ngiang lagi kata-kata mak siang tadi. Saya lebih fokus pada teh dalam cawan daripada mendengar apa yang mak katakan. Mak sambung, “...bukan nak memaksa tapi besar sangat harapan kami supaya perkara ni jadi.”
Ni macam nak tak nak kena jadi juga ni, kata saya dalam diam.
“Awak dengan Opie pun dah lama kenal,” kata mak lagi.
Tapi dah lama tak jumpa, mak.
“Dah pernah main kahwin-kahwin pun.” Auntie Dina pula menambah dengan senyum simpulnya sekali.
Main kahwin-kahwin dengan kahwin betul-betul ni jauh sangat bezanya. Kahwin yang ni tak boleh buat main-main, Auntie Dina. Ini betul-betul kejadian ni!
“Mak dengan ayah kamu suka dengan Opie...” ujar Auntie Dina yang meraih angguk setuju mak dan ayah. Dan, “...Kami pun berkenan dengan kamu, Eriq.”
Tapi Opie suka saya tak? Saya berkenan dengan Opie tak? Mak dengan ayah, Cikgu Mod dengan Auntie Dina ni suka-suka aje.
“Kita bagi masa untuk Eriq fikir dulu, macam mana?” Ayah tepuk paha saya, mengharapkan respon.
“Kami tunggu Eriq aje ni,” beritahu Cikgu Mod pula. Dia mencari-cari jawapan pada wajah tak sudah saya.
Saya melepaskan badan bersama satu nafas panjang dan bersandar ke sofa. Air teh tadi sudah saya tenung sampai sejuk. Saya tinggalkan dalam cawan tak berminum pun. Dalam diam, saya sulam pandangan di antara mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina. Dan Opie yang sepatutnya ada bersama hanya dapat saya kerling di hujung mata pada gambar di hujung ruang tamu sana. Tak berani saya nak bertanyakan tentang Opie. Takut nampak terlalu beria-ria pula. Takut juga nanti saya akan terus menolak mentah-mentah.
Dan apa pula kata Opie sebenarnya?
Opie tahu ke rancangan keluarga kami nak menjodohkan saya dengan dia? Dia setuju dan main ikut aje ke? Mungkin dia dah kalah atau mengalah awal-awal lagi dengan regu Cikgu Mod-Auntie Dina?
Jadi ini set penentuan ke?
Patut ke saya minta pelanjutan tempoh masa kecederaan? Sampai ke malam ini pun saya masih belum dapat beri kata putus. Lagi saya guling-guling atas katil ni, lagilah saya pening. Waktu saya balik ke Putrajaya tadi pun entah berapa kali saya berpusing-pusing mengelintar Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bulatan terbesar di dunia tu. Betapa besar juga dilema yang sedang saya tanggung. Ibaratnya begitulah. Sebab saya tak jumpa cari jalan keluar daripada apa yang mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina harapkan.
Tapi boleh tak agaknya saya selesaikan 30 hari ni dulu untuk saya melupakan cinta sebelum saya memikirkan tentang soal jodoh ni pula?
Boleh tak beri saya 30 hari ni untuk melupakan Manis? Tentang cinta.
Kemudian saya akan fikirkan tentang Opie. Tentang kahwin?

Oh, dah pukul 12.00 tengah malam rupanya. Mak, ayah, Cikgu Mod, Auntie Dina, beri saya 29 hari lagi, boleh? 

Friday, 17 April 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 5 - Satu hari sebelumnya....


Malam ini saya ikut mak dan ayah ke walimatul urus Jailani dan Regina. Satu lagi kenduri yang mesti saya hadap untuk hari ini. Ini kenduri kedua selepas kenduri Nurul dan Kahlil, anak kawan ayah di Taman Tun Dr. Ismail siang tadi. Yang ini kenduri anak kawan mak pula. Dari Taman Tun, bergegas balik untuk mandi dan tukar pakaian dan terus ke majlis resepsi di Dewan Semarak FELDA ini pula. Sayalah yang jadi Pemandu Gred R44 untuk mak dan ayah. Mak dan ayah memang saya suruh duduk di belakang. Biarlah mak dan ayah dapat merasa ala-ala Datin dan Dato’ sekali-sekala. Saya boleh dan sanggup bawa mak dan ayah ke mana-mana pun. Tapi...
Tapi cukup-cukuplah dengan kenduri-kendara ni!
Saya sangat-sangatlah alah dengan kenduri kahwin, resepsi, sambut menantu dan apa-apa sahajalah yang berkait dengan kerja kahwin. Saya lebih sanggup pergi outstation ke pedalaman Sabah daripada datang kenduri kahwin jiran depan rumah. Bukanlah saya nak menyombong, tapi...
Saya dah malas nak jawab soalan ‘awak bila lagi?’ yang ditanya berkali-kali macam soalan Parlimen. Siang tadi, saya dah tak mengira selepas pertanyaan yang kedua puluh tiga kali. Sekarang, setakat jam 8.20 malam, sudah ada lapan pertanyaan. Itu pun kami baru sampai di pintu masuk dewan!
Macam manalah saya tak hadap majlis sampai pukul 10.30 malam ni?
Saya hanya mampu senyum tak sudah apabila ditanya soalan wajib di musim kahwin macam sekarang ni. Kalau diikutkan, bulan ni off-season. Tapi saya masih kena jawab soalan tu.
Mak asyik jeling-jeling. Ayah kasi senyum sengetnya. Mereka tetap tunggu saya buka mulut sendiri. Saya tetap tak ada jawapan lain selain daripada senyum dan terus senyum.
Mak dan ayah dah menyerah kalah dan serah bulat-bulat kepada saya untuk urusan cinta dan jodoh. Mereka pernah mencuba. Ada yang mak berkenan. Ada yang ayah kenalkan. Anak jiran yang itulah. Kawan atas kawan punya adiklah. Sepupu orang itulah. Anak buah saudara di kampunglah. Semuanya setakat kenal-kenal begitu aje. Tak ada yang berlanjutan ke tahap yang lebih serius.
Mak akan tanya, “Suka tak? Okey tak?” Ayah akan tanya, “Dah call dia? Dah SMS? Dah tengok Facebook dia? Dah Whatsapp?” Saya hanya mampu senyum dan senyum lagi.
Yang mak berkenan, yang ayah kenalkan, tak seorang pun saya minat. Setiap seorang tu ada aje yang tak kenanya pada saya. Ada yang manja sangat. Ada yang pemalu sangat. Ada yang lebih tua daripada saya. Ada yang baru habis SPM. Semuanya pun tak boleh ganti Manis dan isi kekosongan di hati saya yang ditinggalkan olehnya.
Eriq, Eriq, Eriq.
Dah tiga tahun pun, kan?
Sekarang pun saya kena senyum lagi. Meja untuk sepuluh orang yang tadi hanya diduduki oleh kami bertiga sekeluarga kini diisi oleh sepasang suami isteri lagi. Saya rasa saya macam kenal mereka berdua. Saya ingat-ingat lupa. Sambil senyum, saya hulur tangan untuk bersalam dengan si suami, lelaki pertengahan umur yang mungkin sama baya dengan ayah. Tapi ayah lagi dahulu sambar tangan lelaki itu dan membawanya ke dalam pelukan yang erat.
“Ya Allah! Cikgu Mod!” Lelaki yang dipanggil Cikgu Mod itu mengejapkan pelukan ayah. Mereka saling berbalas senyum. “Ingatkan kita takkan berjumpa dah,” kata ayah.
Mak sudah peluk-cium isteri Cikgu Mod. “Kak Dina sihat?” tanya mak. 
Sambil berbasi-basa mereka kembali ke tempat duduk. Saya yang di tengah-tengah rasa serba tak kena. Saya salam Cikgu Mod. Saya senyum dengan Auntie Dina. Lepas itu, saya tak tahu nak buat apa lagi. Mak dan ayah asyik sangat bercerita dengan Cikgu Mod dan Auntie Dina.
“Dah lebih lima belas tahun kita tak jumpa, ya?” kata ayah.
“Encik Din masih duduk di Gombak ke?” tanya Cikgu Mod pula.
Jawab ayah, “Masih di rumah nombor 54 tu. Jiran aje yang asyik bertukar.” Dan ayah tanya, “Cikgu Mod mengajar lagi ke? Di sekolah mana pula?”
“Saya dah lima tahun pencen, Encik Din. Kami sekarang tinggal di Klang. Duduk melangut berdua di rumah aje la. Saya tengok si Dina, Dina tengok saya.” Balas Cikgu Mod.
“Mana yang lain? Anak-anak akak semua macam mana sekarang?” Mak pula bertanya.
“Semua dah beranak-pinak dah. Dah duduk merata alam,” jawab Auntie Dina. “Tinggal si Opie aje lagi.”
“Opie?” Saya rasa suara saya dah cukup perlahan waktu itu. Tapi mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina sama serentak memandang saya. Saya tersengih. Saya capai gelas dan teguk air sejuk untuk tutup mulut. Ini sudah gelas kelima.
“Ya, Opie.” Mak sambut. Dia senyum berganti-ganti dengan ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina. “Kawan main kejar-kejar awak dulu tu. Main masak-masak. Main kahwin-kahwin.”
Air yang saya teguk tadi nyaris-nyaris nak tersembur keluar.
“Kahwin betul-betulnya, dah ke belum?” tanya Auntie Dina.
“Belum, Kak Dina.” Mak sambut ringkas. Tapi ada pula penjelasan panjang lebar yang menyusul. “Yang kita carikan dia tak mahu. Suruh cari sendiri, tak jumpa-jumpa. Umur tu dah nak masuk 30 tahun. Sakit-pening pun nak mengadu dengan kita balik.”
Aduh, mak ni!
“Samalah dengan si Opie tu. Nak duduk bawah ketiak mak ayah lagi sampailah sekarang.” Auntie Dina berkata.
“Opie tak ikut sekali? Opie kerja apa sekarang?” tanya ayah, mencelah. “Dulu cita-cita nak jadi doktor.”
“Opie ada penyakit alah,” Auntie Dina terus menjawab. “Biasalah, musim-musim kahwin ni.”
“Doktor tu doktorlah juga. Tapi doktor gigi... di Klang,” jawab Cikgu Mod, tersenyum sambil jeling Auntie Dina. Kemudian dia pandang saya dan tanya, “Kamu, Eriq?”
“Orang kerajaan kat Putrajaya sana. Balik cuti sebulan sekali pun payah. Padahal Gombak aje pun.” Ayah cakap macam itu.
“Sibuk sangat, katanya,” kata mak. Dan mak cakap lagi, “Balik cuti aje, kitalah yang kena basuh baju dia, masak untuk dia. Subuh pun kita yang tolong kejutkan.”  
Boleh tak kalau saya balik Putrajaya sekarang juga?
“Hai, entahlah Yati,” balas Auntie Dina kepada mak. “Kita ajelah yang asyik risaukan dia orang. Dia orang selamba aje... buat tak kisah. Selagi kita ni ada, bolehlah....”
“Ish, awak ni.” Cikgu Mod jeling Auntie Dina.
“Entah sempat, entahkan tak...”
“Cukup-cukuplah drama Melayu tu, maknya.” Ayah pintas cakap mak.
Elok-elok masa itu kompang sudah dipalu dari pintu masuk dewan. Jailani dan Regina sedang diarak masuk. Mempelai dalam sepersalinan songket merah itu didudukkan di pelamin serba hitam. Memang terserlah kedua-dua raja sehari yang sedia segak dan cantik itu. Seluruh dewan bertumpu kepada pasangan yang dirai.
“Jailani tu kerja pelantar minyak...” kata seorang makcik.
“Untunglah Gina dapat suami kacak, putih, kaya, tinggi, tough, kaya, tak merokok, romantik, kaya....” Ada orang dari meja lain yang cakap begitu.
“Pakai tudung masa nikah aje ke?” Terdengar itu dari satu meja yang lain.
“Jodoh tu tak ke mana. Seorang dari tengah-tengah laut. Seorang lagi berbakti di ceruk pedalaman. Tiba-tiba boleh berjumpa di awan biru...” Itu cerita dari meja di belakang saya.
Macam-macam.... Saya geleng kepala, tersengih sendiri.
“Hai, macam manalah gayanya kalau Eriq yang duduk atas pelamin nun.” Itu suara mak!
“Saya pun tengah membayangkan si Opie pakai baju songket merah tu.” Auntie Dina pun bersuara kembali.
Mak kata lagi, “Agak-agaklah kan, kalau si Eriq...”
“Dengan si Opie?” Cepat aje Auntie Dina menyambung.
Saya teguk air liur.
“Amboi, Cik Dina. Jauhnya mimpi awak, ya?” Cikgu Mod mencuit.
“Besar lagi harapan maknya tu, kan?” Ayah menambah.
Saya teguk air liur sekali lagi.
“Kalau si Opie tu saya tahulah. Memang tak pernah hayat pun kami dengar fasal boyfriend ke, calon suami ke...” Cikgu Mod berkata. Dia pandang saya, tersenyum. Katanya lagi, “Tapi kalau Eriq ni... orangnya handsome, ada gaya, kerja pun bagus. Takkanlah belum berpunya lagi?”
“Memilih sangat tu, Cikgu Mod.” Selamba saja mak. “Tak pun, dia yang tak dipilih.”
Mak! Nyaris nak tersembur air liur yang saya teguk dari tadi. 
“Sampai masa nanti, jumpalah juga.” Ayah berkata. Dia ambil senduk dan mula menceduk nasi pelangi ke dalam pinggan mak. “Nah, kita makan dulu. Bukan senang nak jumpa nasi warna-warni macam ni.”
“Iyalah, Encik Din. Pilih tak pilih pun, jodoh tu jodoh juga, ya tak?” Auntie Dina menyimpulkan. Sambil itu dia sudukan ayam berempah untuk Cikgu Mod.
Mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina saling tersenyum simpul. Saya yang di tengah-tengah juga yang senyum tak sudah. Pinggan saya sudah diisi enam senduk nasi oleh mak. Lauk yang mana saya mahu?
Terlalu memilih? Atau tak dipilih?
Kalau selama ini pun memang yang ada hanyalah Manis, bagaimana pula?
Saya tak berpunya?
Sebab Manis dah jadi hak orang lain.
Dan saya telah pilih untuk move on.


Wednesday, 8 April 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 4 - 30 hari untuk melupakan cinta


Saya tak patut makan sampai empat keping roti canai tadi. Saya tak patut minum sampai empat gelas milo tarik tadi. Saya tak patut habiskan mee goreng mamak Amir yang tinggal separuh tadi. Saya tak patut pesan jus tembikai gelas besar tadi. Saya tak patut makan dua set roti bakar tadi. Tak patut. Tak patut. Tak patut. Sekarang, tanggunglah sendiri. Kalau dah terlebih kenyang, memang susah nak lelap mata. Perut jadi sengkak. Saya terbujur atas katil dari pukul 11.55 malam. Sekarang dah nak masuk pukul 2.00 pagi, kut. Esok saya kerja. Mata saya ni masih terbuntang lagi. Tak rasa macam nak tidur langsung. Tak patut. Tak patut. Tak patut. Kalau susah nak tidur malam ni, mesti susah nak bangun esok pagi. Saya tak nak lewat bangun dan lewat masuk kerja. Tak pernah lagi punch card saya ada warna merah. Paling lambat pun saya pernah ketip kad panjang warna kuning tu pada pukul 8.00 pagi, tiga bulan lepas. Macam yang bos saya cakap, “On time is considered late.
Saya takkan benarkan diri ini masuk lambat lagi!
Oleh itu, saya mesti tidur sekarang juga! Saya tepuk-tepuk bantal. Saya tarik selimut yang tadinya dah bergulung di hujung katil. Saya baring. Mata yang dah hampir dua jam pandang ke siling saya pejamkan rapat-rapat.
Saya mesti tidur sekarang. Saya mesti tidur sekarang. Saya mesti tidur sekarang.
Mata saya dah pejam. Tapi otak saya masih boleh menerawang ke merata-rata alam, merentas dimensi dan lipatan memori. Mata pejam. Otak tetap berjalan. Masa inilah segala macam benda jadi flashback. Fasal jus tembikai gelas besar tadi. Manis sangat! Fasal baju yang Amir pakai tadi. Tunggu. Rasanya tu baju saya beli di Uniqlo bulan lepas kan? Fasal Lya teman saya masa beli baju tu dulu. Rasanya saya ada pinjam RM10 dengan Lya masa tu. Teringat pula fasal mug RM10 untuk tiga biji di gerai sebelah Cupcake Chantek masa ConvEx sembilan tahun lepas.
Fasal Manis. Manis. Manis.
Tak patut. Tak patut. Tak patut.
Saya tak patut fikir atau ingat fasal Manis lagi. Lagi baik kalau saya tak perlu ungkit apa-apa pun fasal dia. Tak payahlah saya sebut lagi nama dia. Cukuplah, Eriq. Yang sepatutnya saya buat ialah move on, bak kata Amir. Tapi macam yang saya tanya pada Amir; macam mana nak move on?
Takkan senang-senang aje nak usyar awek, lepas tu dah boleh move on?
Tak patut. Tak patut. Tak patut.
Mesti ada cara lain yang lebih afdal untuk saya move on. Atau untuk sekurang-kurangnya buka lembaran baharu bagi hidup saya. Saya bangun. Saya lunjur kaki ke tepi katil. Saya goyang-goyang kaki. Saya tolak badan untuk menggeliat dan terus berdiri. Saya melangkah ke meja tulis dekat tingkap. Saya tak tersadung kaki katil atau beg kerja atau kaki kerusi macam selalu. Cis! Patutlah saya tak boleh tidur. Rupa-rupanya sepanjang masa tadi saya tak tutup lampu! Satu bilik terang-benderang.
Tapi kalau nak tutup lampu sekarang pun dah terlambat. Saya memang tak boleh tidur. Jadi saya hidupkan laptop. Saya betulkan duduk sementara tunggu broadband saya disambungkan. Melalui Google Chrome, saya buka laman carian Google.
Saya taip ‘bagaimana untuk move on’ dalam kotak carian. Hasilnya ada lebih kurang 5.3 juta hit. Wow? Banyaknya tips untuk orang putus cinta! Ramai sangat ke orang yang meroyan macam saya? Tapi dalam banyak-banyak laman tips yang saya godek-godek, tak ada satu pun yang saya rasa boleh saya contohi. Semuanya dalam Bahasa Indonesia, kut! Manalah saya nak faham fasal ‘metode’, ‘ampuh’, ‘maksain’, ‘ngelupain’, ‘terobsesi’, ‘galau’, ‘mantan’, ‘pacar’ dan entah apa-apa lagi perkataan tu semua. Saya bukannya peminta tegar sinetron.
Saya tak boleh putus harapan!
Saya mesti cuba sekali lagi. Saya taip semula ‘bagaimana untuk move on’ dan saya pilih carian I’m Feeling Lucky pula. Tadi saya pakai Google Search semata-mata. Sekarang Google terus bawa saya ke sebuah laman web lain.
’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’. Itu namanya. Latarnya warna ungu. Hanya ada frasa ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’ tu aje. Tulisan tu warna kuning emas. Itu aje ke? Saya bawa tetikus pada frasa tu. Tiba-tiba saya rasa berdebar. Nak klik ke tak? Ah, saya malas nak fikir lebih-lebih. Jam 2.00 pagi bukanlah waktu yang wajib untuk membuat penaakulan mantik. Saya klik. Dalam paparan seterusnya, ada frasa ‘Selamat Datang!’ dan ada kotak-kotak yang perlu saya isi dengan maklumat peribadi. Saya makin berdebar. Rasa macam ejen perisik nak pecah masuk pengkalan data rahsia musuh, kononnya.
Misi ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’, katanya.
Saya taip nama saya; Eriq. Jantina; lelaki. Umur; 29. Tempoh meroyan? Wah! Ada pilihan; ‘baru beberapa jam yang lalu’, ‘sehari’, ‘kurang daripada seminggu’, ‘kurang daripada sebulan’, ‘kurang daripada tiga bulan’, ‘kurang daripada enam bulan’, ‘kurang daripada setahun’, ‘kurang daripada lima tahun’, ‘kurang daripada sepuluh tahun’, ‘selama-lamanya’ atau ‘tak ada harapan dah’.
Saya pilih ‘kurang daripada lima tahun’. Nyaris saya nak pilih ‘tak ada harapan dah’, tapi saya fikir-fikir, saya perlu beri peluang kepada diri sendiri dan mencuba. Saya mesti move on. Saya mesti melupakan cinta, sekurang-kurangnya untuk Manis.
Lepas isi maklumat fasal alamat e-mel, saya tekan ‘hantar’. Muncul satu notifikasi yang suruh saya periksa inbox e-mel. Saya log masuk ke akaun eriqlagibest@yahoo.com. Ada satu e-mel baharu daripada seorang bernama Loverex.
E-mel tu berbunyi begini:

Assalamualaikum/Salam Sejahtera/Salam 1Malaysia,

Apa khabar, Eriq? Eriq sihat? Eriq dah makan? Tak apa, jawab dalam hati je. Angguk atau geleng pun boleh. Persoalan yang perlu Eriq jawab sekarang ialah, dah dekat lima tahun (betul ke ni?) meroyan pun tak boleh nak move on lagi, APA KES? Tak apa, Eriq jawablah sendiri. Ada satu persoalan yang lebih penting.
BAGAIMANA NAK MOVE ON?
Hai, aku Loverex dan aku akan tolong Eriq. Aku tahu Eriq jumpa blog ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’ ni bukan secara tak sengaja. Eriq memang mencari cara untuk move on, eh? Eriq cari ‘bagaimana untuk move on’, eh? Eriq pakai I’m Feeling Lucky kat Google, eh? Itu je cara untuk sampai ke sini dan jumpa aku. Aku tunggu je. Siapa pun datang, aku tolong. Tapi Eriq kena tolong diri Eriq juga.
Tak apa. Eriq dah cari dan jumpa aku, maksudnya Eriq dah mulakan langkah pertama untuk move on. Dah cukup bagus dah tu, Eriq. Jangan risau. Aku akan tolong Eriq dalam setiap langkah yang seterusnya.
Aku akan tolong Eriq dalam 30 hari yang akan datang. Hanya untuk 30 hari, eh? Dah nama blog aku pun ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’, mestilah aku tolong dalam tempoh tu je. Lebih daripada tu, Eriq kena tolong diri sendiri. Sepanjang 30 hari akan datang pun, Eriq kena tolong diri sendiri. Tapi aku ada.
Aku Loverex. Siapa aku? Tak apa. Tak penting pun. Eriq tak perlu tahu banyak-banyak tentang aku. Cukuplah Eriq tahu yang aku ni seorang kawan yang nak tolong kawan. Dah ramai kawan yang aku dah tolong. Aku tak boleh beri bukti melalui testimonial macam iklan ubat kurus atau sabun ketiak sebab cerita tu semua antara aku dengan kawan-kawan aku dengan Tuhan. Aku simpan sebagai rahsia. Apa yang Eriq perlu tahu ialah aku boleh tolong semua kawan aku. Aku tak minta bayaran apa-apa. Aku cuma nak minta tolong.
Tolong aku untuk tolong diri Eriq.
Tolong ikut syarat-syarat yang aku tetapkan.
Tolong janji pada diri sendiri yang Eriq akan terus move on selepas 30 hari.
Dan tolong jangan ganggu aku lagi lepas tu.
Mahu? Boleh? Mampu? Aku nak Eriq jawab pada diri sendiri. Jawapannya ada pada Eriq je. Ya. Ya. Ya. Itu jawapannya, eh? Kalau macam tu, barulah aku boleh tolong Eriq. Tak. Tak. Tak. Kalau itu yang Eriq jawab, tanya balik diri tu. Mahu tak Eriq terus hidup? Boleh tak Eriq bahagia? Mampu tak Eriq move on? Jawapannya mesti ya, ya dan ya.
Jadi Eriq kena teruskan juga. Teruskan dengan langkah kedua. Aku dah selangkah di hadapan. Eriq kena ikut aku.
JOM!

Ini adalah cetakan komputer dan tandatangan tidak diperlukan.

***

Bersekali dengan e-mel tu ada satu capaian ke satu lagi laman. Jari saya kaku. Tetikus yang saya pegang tak bergerak. Kursor bentuk anak panah tu terawang-awang atas perkataan ‘TERUSKAN’, warna kuning emas.
Teruskan ke mana?
Ikut Loverex ke mana?
Move on ke mana?
Mampu ke saya move on dalam tempoh 30 hari aje? Ada ke orang yang boleh move on dalam tempoh secepat tu? Mahu ke saya beri peluang dan cuba?
Teruskan ke mana? Ke mana-mana pun!
Ikut Loverex ke mana? Ke mana-mana pun!
Move on ke mana? Ke mana-mana pun!
Mampu ke saya move on dalam tempoh 30 hari aje? Ya!
Ada ke orang yang boleh move on dalam tempoh secepat tu? Ya!
Mahu ke saya beri peluang dan cuba? Ya!
Saya klik perkataan warna kuning emas tu. Teruskan.
Terpacul satu tetingkap baharu. Warna latarnya ungu juga. Tulisan kuning emasnya bertulis; ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta bermula dari?’ Ada tiga kotak kosong. Kotak pertama untuk pilih tarikh hari. Kotak kedua untuk pilih bulannya. Kotak ketiga untuk tahun.
Bila?
Esok? Terlampau mengejut? Saya pun ada dua mesyuarat esok, sebelah pagi dan petang.
Bulan depan? Rasa macam berlengah-lengah sangat pula. Kaki yang dah selangkah move on ni boleh kejang kalau nak tunggu selangkah lagi!
Tahun depan? Alamatnya memang tak move on lah awak, Eriq!
Bila? Bila? Bila?
Saya buka Date and Time Properties pada Taskbar laptop. Saya tengok kalendar. Sekarang dah hujung bulan September. Minggu depan dah masuk bulan Oktober. Bulan November, saya dah cukup umur 30 tahun.
30 tahun?
30 hari?
Ah, dapat pun tarikhnya! Saya akan move on dalam tempoh 30 hari sebelum hari lahir saya yang ke-30 tahun. Kurang lebih pun, saya ada lagi dua minggu sebelum segala-galanya bermula. Ada masa untuk saya betul-betul bersedia.
Saya pilih 13 untuk hari, November untuk bulan dan tahun ini.  

Saya klik ‘MULA’.