Wednesday, 8 April 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 4 - 30 hari untuk melupakan cinta


Saya tak patut makan sampai empat keping roti canai tadi. Saya tak patut minum sampai empat gelas milo tarik tadi. Saya tak patut habiskan mee goreng mamak Amir yang tinggal separuh tadi. Saya tak patut pesan jus tembikai gelas besar tadi. Saya tak patut makan dua set roti bakar tadi. Tak patut. Tak patut. Tak patut. Sekarang, tanggunglah sendiri. Kalau dah terlebih kenyang, memang susah nak lelap mata. Perut jadi sengkak. Saya terbujur atas katil dari pukul 11.55 malam. Sekarang dah nak masuk pukul 2.00 pagi, kut. Esok saya kerja. Mata saya ni masih terbuntang lagi. Tak rasa macam nak tidur langsung. Tak patut. Tak patut. Tak patut. Kalau susah nak tidur malam ni, mesti susah nak bangun esok pagi. Saya tak nak lewat bangun dan lewat masuk kerja. Tak pernah lagi punch card saya ada warna merah. Paling lambat pun saya pernah ketip kad panjang warna kuning tu pada pukul 8.00 pagi, tiga bulan lepas. Macam yang bos saya cakap, “On time is considered late.
Saya takkan benarkan diri ini masuk lambat lagi!
Oleh itu, saya mesti tidur sekarang juga! Saya tepuk-tepuk bantal. Saya tarik selimut yang tadinya dah bergulung di hujung katil. Saya baring. Mata yang dah hampir dua jam pandang ke siling saya pejamkan rapat-rapat.
Saya mesti tidur sekarang. Saya mesti tidur sekarang. Saya mesti tidur sekarang.
Mata saya dah pejam. Tapi otak saya masih boleh menerawang ke merata-rata alam, merentas dimensi dan lipatan memori. Mata pejam. Otak tetap berjalan. Masa inilah segala macam benda jadi flashback. Fasal jus tembikai gelas besar tadi. Manis sangat! Fasal baju yang Amir pakai tadi. Tunggu. Rasanya tu baju saya beli di Uniqlo bulan lepas kan? Fasal Lya teman saya masa beli baju tu dulu. Rasanya saya ada pinjam RM10 dengan Lya masa tu. Teringat pula fasal mug RM10 untuk tiga biji di gerai sebelah Cupcake Chantek masa ConvEx sembilan tahun lepas.
Fasal Manis. Manis. Manis.
Tak patut. Tak patut. Tak patut.
Saya tak patut fikir atau ingat fasal Manis lagi. Lagi baik kalau saya tak perlu ungkit apa-apa pun fasal dia. Tak payahlah saya sebut lagi nama dia. Cukuplah, Eriq. Yang sepatutnya saya buat ialah move on, bak kata Amir. Tapi macam yang saya tanya pada Amir; macam mana nak move on?
Takkan senang-senang aje nak usyar awek, lepas tu dah boleh move on?
Tak patut. Tak patut. Tak patut.
Mesti ada cara lain yang lebih afdal untuk saya move on. Atau untuk sekurang-kurangnya buka lembaran baharu bagi hidup saya. Saya bangun. Saya lunjur kaki ke tepi katil. Saya goyang-goyang kaki. Saya tolak badan untuk menggeliat dan terus berdiri. Saya melangkah ke meja tulis dekat tingkap. Saya tak tersadung kaki katil atau beg kerja atau kaki kerusi macam selalu. Cis! Patutlah saya tak boleh tidur. Rupa-rupanya sepanjang masa tadi saya tak tutup lampu! Satu bilik terang-benderang.
Tapi kalau nak tutup lampu sekarang pun dah terlambat. Saya memang tak boleh tidur. Jadi saya hidupkan laptop. Saya betulkan duduk sementara tunggu broadband saya disambungkan. Melalui Google Chrome, saya buka laman carian Google.
Saya taip ‘bagaimana untuk move on’ dalam kotak carian. Hasilnya ada lebih kurang 5.3 juta hit. Wow? Banyaknya tips untuk orang putus cinta! Ramai sangat ke orang yang meroyan macam saya? Tapi dalam banyak-banyak laman tips yang saya godek-godek, tak ada satu pun yang saya rasa boleh saya contohi. Semuanya dalam Bahasa Indonesia, kut! Manalah saya nak faham fasal ‘metode’, ‘ampuh’, ‘maksain’, ‘ngelupain’, ‘terobsesi’, ‘galau’, ‘mantan’, ‘pacar’ dan entah apa-apa lagi perkataan tu semua. Saya bukannya peminta tegar sinetron.
Saya tak boleh putus harapan!
Saya mesti cuba sekali lagi. Saya taip semula ‘bagaimana untuk move on’ dan saya pilih carian I’m Feeling Lucky pula. Tadi saya pakai Google Search semata-mata. Sekarang Google terus bawa saya ke sebuah laman web lain.
’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’. Itu namanya. Latarnya warna ungu. Hanya ada frasa ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’ tu aje. Tulisan tu warna kuning emas. Itu aje ke? Saya bawa tetikus pada frasa tu. Tiba-tiba saya rasa berdebar. Nak klik ke tak? Ah, saya malas nak fikir lebih-lebih. Jam 2.00 pagi bukanlah waktu yang wajib untuk membuat penaakulan mantik. Saya klik. Dalam paparan seterusnya, ada frasa ‘Selamat Datang!’ dan ada kotak-kotak yang perlu saya isi dengan maklumat peribadi. Saya makin berdebar. Rasa macam ejen perisik nak pecah masuk pengkalan data rahsia musuh, kononnya.
Misi ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’, katanya.
Saya taip nama saya; Eriq. Jantina; lelaki. Umur; 29. Tempoh meroyan? Wah! Ada pilihan; ‘baru beberapa jam yang lalu’, ‘sehari’, ‘kurang daripada seminggu’, ‘kurang daripada sebulan’, ‘kurang daripada tiga bulan’, ‘kurang daripada enam bulan’, ‘kurang daripada setahun’, ‘kurang daripada lima tahun’, ‘kurang daripada sepuluh tahun’, ‘selama-lamanya’ atau ‘tak ada harapan dah’.
Saya pilih ‘kurang daripada lima tahun’. Nyaris saya nak pilih ‘tak ada harapan dah’, tapi saya fikir-fikir, saya perlu beri peluang kepada diri sendiri dan mencuba. Saya mesti move on. Saya mesti melupakan cinta, sekurang-kurangnya untuk Manis.
Lepas isi maklumat fasal alamat e-mel, saya tekan ‘hantar’. Muncul satu notifikasi yang suruh saya periksa inbox e-mel. Saya log masuk ke akaun eriqlagibest@yahoo.com. Ada satu e-mel baharu daripada seorang bernama Loverex.
E-mel tu berbunyi begini:

Assalamualaikum/Salam Sejahtera/Salam 1Malaysia,

Apa khabar, Eriq? Eriq sihat? Eriq dah makan? Tak apa, jawab dalam hati je. Angguk atau geleng pun boleh. Persoalan yang perlu Eriq jawab sekarang ialah, dah dekat lima tahun (betul ke ni?) meroyan pun tak boleh nak move on lagi, APA KES? Tak apa, Eriq jawablah sendiri. Ada satu persoalan yang lebih penting.
BAGAIMANA NAK MOVE ON?
Hai, aku Loverex dan aku akan tolong Eriq. Aku tahu Eriq jumpa blog ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’ ni bukan secara tak sengaja. Eriq memang mencari cara untuk move on, eh? Eriq cari ‘bagaimana untuk move on’, eh? Eriq pakai I’m Feeling Lucky kat Google, eh? Itu je cara untuk sampai ke sini dan jumpa aku. Aku tunggu je. Siapa pun datang, aku tolong. Tapi Eriq kena tolong diri Eriq juga.
Tak apa. Eriq dah cari dan jumpa aku, maksudnya Eriq dah mulakan langkah pertama untuk move on. Dah cukup bagus dah tu, Eriq. Jangan risau. Aku akan tolong Eriq dalam setiap langkah yang seterusnya.
Aku akan tolong Eriq dalam 30 hari yang akan datang. Hanya untuk 30 hari, eh? Dah nama blog aku pun ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta’, mestilah aku tolong dalam tempoh tu je. Lebih daripada tu, Eriq kena tolong diri sendiri. Sepanjang 30 hari akan datang pun, Eriq kena tolong diri sendiri. Tapi aku ada.
Aku Loverex. Siapa aku? Tak apa. Tak penting pun. Eriq tak perlu tahu banyak-banyak tentang aku. Cukuplah Eriq tahu yang aku ni seorang kawan yang nak tolong kawan. Dah ramai kawan yang aku dah tolong. Aku tak boleh beri bukti melalui testimonial macam iklan ubat kurus atau sabun ketiak sebab cerita tu semua antara aku dengan kawan-kawan aku dengan Tuhan. Aku simpan sebagai rahsia. Apa yang Eriq perlu tahu ialah aku boleh tolong semua kawan aku. Aku tak minta bayaran apa-apa. Aku cuma nak minta tolong.
Tolong aku untuk tolong diri Eriq.
Tolong ikut syarat-syarat yang aku tetapkan.
Tolong janji pada diri sendiri yang Eriq akan terus move on selepas 30 hari.
Dan tolong jangan ganggu aku lagi lepas tu.
Mahu? Boleh? Mampu? Aku nak Eriq jawab pada diri sendiri. Jawapannya ada pada Eriq je. Ya. Ya. Ya. Itu jawapannya, eh? Kalau macam tu, barulah aku boleh tolong Eriq. Tak. Tak. Tak. Kalau itu yang Eriq jawab, tanya balik diri tu. Mahu tak Eriq terus hidup? Boleh tak Eriq bahagia? Mampu tak Eriq move on? Jawapannya mesti ya, ya dan ya.
Jadi Eriq kena teruskan juga. Teruskan dengan langkah kedua. Aku dah selangkah di hadapan. Eriq kena ikut aku.
JOM!

Ini adalah cetakan komputer dan tandatangan tidak diperlukan.

***

Bersekali dengan e-mel tu ada satu capaian ke satu lagi laman. Jari saya kaku. Tetikus yang saya pegang tak bergerak. Kursor bentuk anak panah tu terawang-awang atas perkataan ‘TERUSKAN’, warna kuning emas.
Teruskan ke mana?
Ikut Loverex ke mana?
Move on ke mana?
Mampu ke saya move on dalam tempoh 30 hari aje? Ada ke orang yang boleh move on dalam tempoh secepat tu? Mahu ke saya beri peluang dan cuba?
Teruskan ke mana? Ke mana-mana pun!
Ikut Loverex ke mana? Ke mana-mana pun!
Move on ke mana? Ke mana-mana pun!
Mampu ke saya move on dalam tempoh 30 hari aje? Ya!
Ada ke orang yang boleh move on dalam tempoh secepat tu? Ya!
Mahu ke saya beri peluang dan cuba? Ya!
Saya klik perkataan warna kuning emas tu. Teruskan.
Terpacul satu tetingkap baharu. Warna latarnya ungu juga. Tulisan kuning emasnya bertulis; ’30 Hari Untuk Melupakan Cinta bermula dari?’ Ada tiga kotak kosong. Kotak pertama untuk pilih tarikh hari. Kotak kedua untuk pilih bulannya. Kotak ketiga untuk tahun.
Bila?
Esok? Terlampau mengejut? Saya pun ada dua mesyuarat esok, sebelah pagi dan petang.
Bulan depan? Rasa macam berlengah-lengah sangat pula. Kaki yang dah selangkah move on ni boleh kejang kalau nak tunggu selangkah lagi!
Tahun depan? Alamatnya memang tak move on lah awak, Eriq!
Bila? Bila? Bila?
Saya buka Date and Time Properties pada Taskbar laptop. Saya tengok kalendar. Sekarang dah hujung bulan September. Minggu depan dah masuk bulan Oktober. Bulan November, saya dah cukup umur 30 tahun.
30 tahun?
30 hari?
Ah, dapat pun tarikhnya! Saya akan move on dalam tempoh 30 hari sebelum hari lahir saya yang ke-30 tahun. Kurang lebih pun, saya ada lagi dua minggu sebelum segala-galanya bermula. Ada masa untuk saya betul-betul bersedia.
Saya pilih 13 untuk hari, November untuk bulan dan tahun ini.  

Saya klik ‘MULA’.

No comments: