Friday, 17 April 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 5 - Satu hari sebelumnya....


Malam ini saya ikut mak dan ayah ke walimatul urus Jailani dan Regina. Satu lagi kenduri yang mesti saya hadap untuk hari ini. Ini kenduri kedua selepas kenduri Nurul dan Kahlil, anak kawan ayah di Taman Tun Dr. Ismail siang tadi. Yang ini kenduri anak kawan mak pula. Dari Taman Tun, bergegas balik untuk mandi dan tukar pakaian dan terus ke majlis resepsi di Dewan Semarak FELDA ini pula. Sayalah yang jadi Pemandu Gred R44 untuk mak dan ayah. Mak dan ayah memang saya suruh duduk di belakang. Biarlah mak dan ayah dapat merasa ala-ala Datin dan Dato’ sekali-sekala. Saya boleh dan sanggup bawa mak dan ayah ke mana-mana pun. Tapi...
Tapi cukup-cukuplah dengan kenduri-kendara ni!
Saya sangat-sangatlah alah dengan kenduri kahwin, resepsi, sambut menantu dan apa-apa sahajalah yang berkait dengan kerja kahwin. Saya lebih sanggup pergi outstation ke pedalaman Sabah daripada datang kenduri kahwin jiran depan rumah. Bukanlah saya nak menyombong, tapi...
Saya dah malas nak jawab soalan ‘awak bila lagi?’ yang ditanya berkali-kali macam soalan Parlimen. Siang tadi, saya dah tak mengira selepas pertanyaan yang kedua puluh tiga kali. Sekarang, setakat jam 8.20 malam, sudah ada lapan pertanyaan. Itu pun kami baru sampai di pintu masuk dewan!
Macam manalah saya tak hadap majlis sampai pukul 10.30 malam ni?
Saya hanya mampu senyum tak sudah apabila ditanya soalan wajib di musim kahwin macam sekarang ni. Kalau diikutkan, bulan ni off-season. Tapi saya masih kena jawab soalan tu.
Mak asyik jeling-jeling. Ayah kasi senyum sengetnya. Mereka tetap tunggu saya buka mulut sendiri. Saya tetap tak ada jawapan lain selain daripada senyum dan terus senyum.
Mak dan ayah dah menyerah kalah dan serah bulat-bulat kepada saya untuk urusan cinta dan jodoh. Mereka pernah mencuba. Ada yang mak berkenan. Ada yang ayah kenalkan. Anak jiran yang itulah. Kawan atas kawan punya adiklah. Sepupu orang itulah. Anak buah saudara di kampunglah. Semuanya setakat kenal-kenal begitu aje. Tak ada yang berlanjutan ke tahap yang lebih serius.
Mak akan tanya, “Suka tak? Okey tak?” Ayah akan tanya, “Dah call dia? Dah SMS? Dah tengok Facebook dia? Dah Whatsapp?” Saya hanya mampu senyum dan senyum lagi.
Yang mak berkenan, yang ayah kenalkan, tak seorang pun saya minat. Setiap seorang tu ada aje yang tak kenanya pada saya. Ada yang manja sangat. Ada yang pemalu sangat. Ada yang lebih tua daripada saya. Ada yang baru habis SPM. Semuanya pun tak boleh ganti Manis dan isi kekosongan di hati saya yang ditinggalkan olehnya.
Eriq, Eriq, Eriq.
Dah tiga tahun pun, kan?
Sekarang pun saya kena senyum lagi. Meja untuk sepuluh orang yang tadi hanya diduduki oleh kami bertiga sekeluarga kini diisi oleh sepasang suami isteri lagi. Saya rasa saya macam kenal mereka berdua. Saya ingat-ingat lupa. Sambil senyum, saya hulur tangan untuk bersalam dengan si suami, lelaki pertengahan umur yang mungkin sama baya dengan ayah. Tapi ayah lagi dahulu sambar tangan lelaki itu dan membawanya ke dalam pelukan yang erat.
“Ya Allah! Cikgu Mod!” Lelaki yang dipanggil Cikgu Mod itu mengejapkan pelukan ayah. Mereka saling berbalas senyum. “Ingatkan kita takkan berjumpa dah,” kata ayah.
Mak sudah peluk-cium isteri Cikgu Mod. “Kak Dina sihat?” tanya mak. 
Sambil berbasi-basa mereka kembali ke tempat duduk. Saya yang di tengah-tengah rasa serba tak kena. Saya salam Cikgu Mod. Saya senyum dengan Auntie Dina. Lepas itu, saya tak tahu nak buat apa lagi. Mak dan ayah asyik sangat bercerita dengan Cikgu Mod dan Auntie Dina.
“Dah lebih lima belas tahun kita tak jumpa, ya?” kata ayah.
“Encik Din masih duduk di Gombak ke?” tanya Cikgu Mod pula.
Jawab ayah, “Masih di rumah nombor 54 tu. Jiran aje yang asyik bertukar.” Dan ayah tanya, “Cikgu Mod mengajar lagi ke? Di sekolah mana pula?”
“Saya dah lima tahun pencen, Encik Din. Kami sekarang tinggal di Klang. Duduk melangut berdua di rumah aje la. Saya tengok si Dina, Dina tengok saya.” Balas Cikgu Mod.
“Mana yang lain? Anak-anak akak semua macam mana sekarang?” Mak pula bertanya.
“Semua dah beranak-pinak dah. Dah duduk merata alam,” jawab Auntie Dina. “Tinggal si Opie aje lagi.”
“Opie?” Saya rasa suara saya dah cukup perlahan waktu itu. Tapi mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina sama serentak memandang saya. Saya tersengih. Saya capai gelas dan teguk air sejuk untuk tutup mulut. Ini sudah gelas kelima.
“Ya, Opie.” Mak sambut. Dia senyum berganti-ganti dengan ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina. “Kawan main kejar-kejar awak dulu tu. Main masak-masak. Main kahwin-kahwin.”
Air yang saya teguk tadi nyaris-nyaris nak tersembur keluar.
“Kahwin betul-betulnya, dah ke belum?” tanya Auntie Dina.
“Belum, Kak Dina.” Mak sambut ringkas. Tapi ada pula penjelasan panjang lebar yang menyusul. “Yang kita carikan dia tak mahu. Suruh cari sendiri, tak jumpa-jumpa. Umur tu dah nak masuk 30 tahun. Sakit-pening pun nak mengadu dengan kita balik.”
Aduh, mak ni!
“Samalah dengan si Opie tu. Nak duduk bawah ketiak mak ayah lagi sampailah sekarang.” Auntie Dina berkata.
“Opie tak ikut sekali? Opie kerja apa sekarang?” tanya ayah, mencelah. “Dulu cita-cita nak jadi doktor.”
“Opie ada penyakit alah,” Auntie Dina terus menjawab. “Biasalah, musim-musim kahwin ni.”
“Doktor tu doktorlah juga. Tapi doktor gigi... di Klang,” jawab Cikgu Mod, tersenyum sambil jeling Auntie Dina. Kemudian dia pandang saya dan tanya, “Kamu, Eriq?”
“Orang kerajaan kat Putrajaya sana. Balik cuti sebulan sekali pun payah. Padahal Gombak aje pun.” Ayah cakap macam itu.
“Sibuk sangat, katanya,” kata mak. Dan mak cakap lagi, “Balik cuti aje, kitalah yang kena basuh baju dia, masak untuk dia. Subuh pun kita yang tolong kejutkan.”  
Boleh tak kalau saya balik Putrajaya sekarang juga?
“Hai, entahlah Yati,” balas Auntie Dina kepada mak. “Kita ajelah yang asyik risaukan dia orang. Dia orang selamba aje... buat tak kisah. Selagi kita ni ada, bolehlah....”
“Ish, awak ni.” Cikgu Mod jeling Auntie Dina.
“Entah sempat, entahkan tak...”
“Cukup-cukuplah drama Melayu tu, maknya.” Ayah pintas cakap mak.
Elok-elok masa itu kompang sudah dipalu dari pintu masuk dewan. Jailani dan Regina sedang diarak masuk. Mempelai dalam sepersalinan songket merah itu didudukkan di pelamin serba hitam. Memang terserlah kedua-dua raja sehari yang sedia segak dan cantik itu. Seluruh dewan bertumpu kepada pasangan yang dirai.
“Jailani tu kerja pelantar minyak...” kata seorang makcik.
“Untunglah Gina dapat suami kacak, putih, kaya, tinggi, tough, kaya, tak merokok, romantik, kaya....” Ada orang dari meja lain yang cakap begitu.
“Pakai tudung masa nikah aje ke?” Terdengar itu dari satu meja yang lain.
“Jodoh tu tak ke mana. Seorang dari tengah-tengah laut. Seorang lagi berbakti di ceruk pedalaman. Tiba-tiba boleh berjumpa di awan biru...” Itu cerita dari meja di belakang saya.
Macam-macam.... Saya geleng kepala, tersengih sendiri.
“Hai, macam manalah gayanya kalau Eriq yang duduk atas pelamin nun.” Itu suara mak!
“Saya pun tengah membayangkan si Opie pakai baju songket merah tu.” Auntie Dina pun bersuara kembali.
Mak kata lagi, “Agak-agaklah kan, kalau si Eriq...”
“Dengan si Opie?” Cepat aje Auntie Dina menyambung.
Saya teguk air liur.
“Amboi, Cik Dina. Jauhnya mimpi awak, ya?” Cikgu Mod mencuit.
“Besar lagi harapan maknya tu, kan?” Ayah menambah.
Saya teguk air liur sekali lagi.
“Kalau si Opie tu saya tahulah. Memang tak pernah hayat pun kami dengar fasal boyfriend ke, calon suami ke...” Cikgu Mod berkata. Dia pandang saya, tersenyum. Katanya lagi, “Tapi kalau Eriq ni... orangnya handsome, ada gaya, kerja pun bagus. Takkanlah belum berpunya lagi?”
“Memilih sangat tu, Cikgu Mod.” Selamba saja mak. “Tak pun, dia yang tak dipilih.”
Mak! Nyaris nak tersembur air liur yang saya teguk dari tadi. 
“Sampai masa nanti, jumpalah juga.” Ayah berkata. Dia ambil senduk dan mula menceduk nasi pelangi ke dalam pinggan mak. “Nah, kita makan dulu. Bukan senang nak jumpa nasi warna-warni macam ni.”
“Iyalah, Encik Din. Pilih tak pilih pun, jodoh tu jodoh juga, ya tak?” Auntie Dina menyimpulkan. Sambil itu dia sudukan ayam berempah untuk Cikgu Mod.
Mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina saling tersenyum simpul. Saya yang di tengah-tengah juga yang senyum tak sudah. Pinggan saya sudah diisi enam senduk nasi oleh mak. Lauk yang mana saya mahu?
Terlalu memilih? Atau tak dipilih?
Kalau selama ini pun memang yang ada hanyalah Manis, bagaimana pula?
Saya tak berpunya?
Sebab Manis dah jadi hak orang lain.
Dan saya telah pilih untuk move on.


No comments: