Tuesday, 5 May 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta: Bab 7 - Hari 2: Tukar wallpaper telefon anda


i

Eriq,

Ikut arahan aku. Letakkan tangan pada dahi atau dada dan baca ayat 39 dari Surah Ar-Ra’ad ni:

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendaki-Nya.

Lepas tu genggam tangan dan buat isyarat membuang. Apa yang kau buang? Kau buang perasaan yang kau ada pada si dia. Kau buang kenangan kau bersama si dia. Sedikit demi sedikit cinta dan memori itu akan terhapus dari hati dan fikiran kau. Perlahan-lahan, akan ada ruang untuk cinta lain wujud dan kemungkinan baharu bakal tercipta.
Ini doa untuk orang yang putus cinta dan supaya dia dapat mengatasi kekecewaan tu. Sedikit demi sedikit kau mesti akan lupakan dia. Selangkah demi selangkah kau akan terus tinggalkan sejarah lama dengan dia. Usaha tu wajib. Doa tu yang paling utama sebab apa-apa pun, Allah jualah yang mengkehendakkannya.
Kau amalkan doa tu. Kau wajib terus move on, Eriq.

***

Saya tak ke mana-mana pun waktu rehat tengah hari ni. Rasa macam malas nak turun ke kafe. Malas nak makan lagi. Waktu sarapan tadi saya dah makan roti canai dua keping cecah kuah kari daging. Jam 11.00 pagi tadi pula ada mesyuarat Bahagian. Sambil-sambil bincang Hal-hal Lain, saya habiskan secawan kopi bersama lima keping biskut krim. Usai mesyuarat, saya hadap saki-baki laporan yang perlu disiapkan sebelum jam 3.00 petang ni. Dengan perut yang masih kenyang, lebih afdal kiranya saya manfaatkan senggang masa satu jam ni untuk langsaikan kerja yang dah hampir siap tadi. Tak sampai sepuluh minit laporan tadi dah pun sedia untuk semakan Dato’ Pengarah.
Dalam selang masa menunggu masuk waktu zuhur tadi, saya ambil masa untuk diri sendiri barang sekejap. Saya simpan fail-fail kerja saya. Saya log masuk ke akaun emel peribadi saya; encikmaveriq@yahoo.com. Saya buka e-mel Lorerex yang sepatutnya saya baca malam tadi. Emel tu tak habis saya baca lagi. Tumpuan saya melekat pada doa yang Loverex suruh baca tadi.
Rupa-rupanya ada doa untuk orang yang putus cinta. Ada doa untuk melupakan seseorang yang pernah kita cinta. Dan pada Dialah kita berserah sebab daripada Dia datang dan kepada dia kembalinya segala-galanya. Dia yang jatuhkan cinta itu ke dalam hati dan dia jugalah yang angkat rasa itu dari hati ini.
Doa itu saya ulang-ulang dalam hati dan saya ulang juga di minda. Tangan saya masih terkepal di dada. Rasanya macam saya tak sanggup nak lepaskan dan buang terus cinta yang pernah ada itu dan kenangan bersamanya. Saya rasa macam tak boleh.
Habis tu macam mana lagi saya nak move on?
Saya rasa elok saya turun ke surau dan solat zuhur dulu.
Selesai solat, saya bersandar di satu sudut di bahagian belakang surau. Jemaah yang bersekali dengan saya tadi dah beransur-ansur naik ke ofis semula. Ada dua saf jemaah yang terkemudian lagi. Saya luruskan kaki untuk longgarkan sendi yang dah separuh hari membengkok dalam posisi duduk. Saya kerling ke jam di dinding surau. Lagi dua puluh minit ke jam dua petang. Sempatlah saya...
“Oi, tidoq pulop kamu bah!”
Ibu jari kaki saya dipicit-picit. Itu yang saya rasa. Mata tak terbuka lagi. Tapi saya cam suara itu. Cakap bercampur loghat 1Malaysia tu tak lain tak bukan H lah orangnya. Kali ni ada bunyi Kedah dan Terengganu dan Perak dan Sabah. Memang haru-biru pendengaran. Lintang-pukang lidah dibuatnya. Tapi H memang cakap macam tu. Dengan selamba aje dia langgar sempadan empat belas negeri sekali gus, dari Perlis sampailah ke Sabah. Empunya tubuh duduk sama bersandar di kiri saya. Saya buka sebelah mata.
“Kenak awok eh jang?” tanya H dalam Sarawak-Pahang-Negeri Sembilan.
Saya rasa macam nak pejam mata semula. Dapat lelap sepuluh minit pun jadilah. Tapi memandangkan si H nak menyembang, kita layankan aje. Bukan selalu pun saya dapat jumpa dengan dia. H satu batch lantikan dengan saya dan Amir. Jangan tanya saya fasal nama sebenar H. Sampai sekarang ni pun kami tak pernah tahu. H ni misteri orangnya. Sekejap ada merata-rata, sekejap hilang entah ke mana. Selalunya dia yang datang pada kita tapi takkan berjumpa kalau kita yang mencari. Macam sekarang ni. Nama aje kerja satu Kementerian. Ofis kami lain-lain bahagian, lain-lain bangunan, lain-lain aras. Tiba-tiba aje dia muncul di surau blok saya ni.   
“Apa awak buat sini?”
“Ku ada meeting kat Aras 3, pukul 2.30 ni. Dah alang-alang tu ku singgah Zuhur dulu,” balas H tanpa loghat. Ada ‘ku’ yang kebiasaannya dia pakai untuk membahasakan diri. “Kau tak masuk ke nanti?”
“Tak. Encik Jan yang kena minit.” Jawab saya merujuk kepada mesyuarat yang dimaksudkan H dan merujuk juga kepada Ketua Penolong Pengarah saya yang diarahkan untuk menghadirinya. Dan, “Saya tengah siapkan paper.”
“Mung busy dop sekarang?
“Hari ni busy lah jugak. Kenapa?”
“Kalau hari lain yang tak busy ku nak ajak kau teman ku.”
“Teman pergi mana?”
“Ada la.”
“Buat apa?”
“Ada la.”
“Kenapa yang awak Misteri Nusantara sangat ni?”
“Ada la.”
 “Bila?”
“Sampai masanya nanti kau akan tahu.”
“Bila?”
“Ada la.”
Saya nak tanya lagi tapi saya rasa jawapannya mesti sama. Mulut saya menganga tak sudah. Saya pandang aje H. Senyumnya melebar sampai nampak lesung pipit.
“Eh, dah pukul berapa dah?” H pula yang bertanya.
Jam tangan saya tinggalkan di bilik tadi. Lalu saya berpaling ke arah jam surau di dinding depan. Sudah pukul 1.55 tengah hari rupanya. “Lima minit lagi nak pukul dua,” jawab saya kepada...
H?
H dah tak ada di sisi saya. Mana dia? Saya bercakap seorang aje ke tadi? Atau dia tak pernah pun ada di sini tadi? Saya mimpi? Tidur tak sampai lima belas minit pun saya sempat juga nak bermimpi? Saya kerling semula ke jam di dinding.  Okey, saya dah lambat nak naik ke ofis.

ii

Mesin punchcard dah berbunyi untuk kali ketiga. Dah pukul 5.30 pun. Tugas saya untuk hari ni pun dah siap semuanya. Tinggal dua kerja aje yang hanya boleh saya buat follow-up esok pagi. Esok untuk esok. Cukup-cukuplah hari ni, Eriq. Tetingkap fail saya tutup satu persatu. Saya log keluar dari akaun emel rasmi. Terpampanglah akaun emel peribadi saya. Ada empat belas emel baharu. Emel Loverex pun saya tak habis baca lagi sebenarnya.

Apa yang kau rasa sekarang lepas kau baca doa tu?

Saya tak buat pun lagi apa yang awak suruh tu, Loverex. Itu jawab saya dalam hati. Dan saya letak tangan saya di hati. Masih ada rasa tu di sini. Manis masih ada. Saya tak dapat buang dia lagi. Saya belum mampu.

Jangan risau. Perlahan-lahan kau cubalah. Kau boleh. Kau amalkan sambil kau selesaikan tugasan kau yang sebenarnya untuk hari ni. Tugasan kedua untuk melupakan cinta. Sekarang, kau ambil handphone kau dan tengok wallpaper.

Saya capai telefon dari atas meja. Telefon saya dah empat kali bertukar jenama dan model. Dari Nokia XX, kemudiannya Motorola VV dan lepas tu HTC ZZ dan sekarang dengan Samsung SIII di tangan saya ni. 
Tapi gambar yang jadi wallpaper tetap sama.

Mesti kau masih letak gambar si dia sebagai wallpaper kau, kan?

Ya, wallpaper saya adalah gambar Manis. Manis yang sedang makan cupcake dengan icing bentuk heart. Masih lagi gambar Manis yang satu ni selepas beberapa tahun pun. Gambar ni gambar yang saya ambil pakai Nokia XX aje. Saiz pun baru 56KB. Tapi gambar ni tetap ada dalam simpanan saya walaupun Nokia XX tu dah berkecai jatuh dari tingkat dua Pusat Bahasa dan selepas Motorola VV tu berendam semalaman dalam mesin basuh yang rosak dan HTC ZZ tu kena curi waktu backpacking di Bandung dulu.
Gambar Manis ni sebenarnya gambar curi. Ya, saya curi-curi ambil. Patutlah tak berkat. Saya senyum sendiri sebab terkenangkan kejadian masa birthday surprise Amir tujuh tahun lepas.
Malam tu dah pukul 11.30, lebih kurangnya. Saya sedang mengerjakan slaid pembentangan untuk kelas petang esok. Sebenarnya slaid tu dah siap pun. Saya pura-pura sibuk aje. Tiba-tiba saya dapat mesej ringkas dari Wani. I’M HERE!, katanya. Wani dah sampai ke Tasik Harapan dan sedang siap-siap nak sambut hari lahir Amir yang tertunda. Iyalah, patutnya sambut tepat jam 12.00 tengah malam semalamnya tapi cara tu tipikal sangat. Sah-sah Amir boleh agak yang Wani dan saya akan buat birthday suprise tu semalam. Jadi kami dah janji untuk buat-buat lupa. Wani tak ucap ‘Happy Birthday’ pun. Dia tak bercakap langsung dengan Amir sehari-hari ni. Dia saja nak bikin drama tu. Saya pun pura-pura sibuk sepanjang siang tadi sampailah sekarang.
Dan sekarang masanya untuk bertindak!
Dari ekor mata, saya nampak Amir sedang layan DVD cerita apa entah kat atas katil. Amir pakai headphones. Kalau saya cakap pun dia takkan dengar. Jadi saya pusingkan badan dan tenung dia dengan penuh perhatian. Amir tak peduli lagi. Saya terus tenung. Amir buat-buat tak perasan. Saya tenung lagi. Dia dah mula berpisat punggung. Matanya masih pada skrin laptop. Mata saya tetap pada Amir.
“Apa hal?” tanya Amir dengan kening kiri yang terjungkit, akhirnya. Muka dia muka tak puas hati sebab dah tak boleh fokus dengan cerita entah apa yang dia tengok tadi. Amir terus pause cerita entah apa tu. Dia turunkan headphones ke paras leher.
“Saya nak minta tolong, wak.”
Amir tarik muka. Dai tahu sangat kalau saya minta tolong mesti untuk perkara yang bukan-bukan. Tambahan kalau dah malam-malam begini.
“Tolong teman saya hantar presentation ni kat kawan saya, boleh?” Sehabis manis senyum saya kirimkan bersama permintaan tu.
“Pakai emel.”
“Fail ni besar sangat la, wak. Saya kena kasi kat dia pakai pendrive.
“Teman ke mana?”
“Tasik Harapan.”
“Kawan awak tu biawak ke?”
“Dia tengah buat eksperimen kat tasik tu la, wak.”
“Suruh la dia datang Aman. Jumpa kat kafe tu aje. Senang.”
“Dia tak boleh tinggalkan eksperimen tu la, wak. Saya nak hantar presentation ni sebab esok kami nak kena bentang.”
“Bagi esok.”
“Takkan esok baru Ulfah tu nak study. Tak sempat la, wak. Tolong? Please? Help?
“Jom!” Terus aje Amir letak laptop ke tepi, bangkit, tukar kain pelikat dengan jeans kelabu yang dia dah pakai sejak dua minggu lepas, sarungkan baju-T dan capai kunci motor. Semua ini berlaku dalam jangka masa lima saat sahaja. Berkesan juga jampi serapah saya tadi. Bukan ‘tolong’, ‘please’ dan ‘help’ tu, ya. Kata kuncinya ‘Ulfah’. Saya petik nama tu sebab Ulfah satu-satunya nama perempuan satu kelas dengan saya yang terlintas di fikiran tadi. Amir ni pantang dia tak boleh dengar nama perempuan. Tambah-tambah perempuan bernama Ulfah yang agak popular sebab dia cantik.
“Amboi...” Saya tak nak cakap apa-apa dah sebab separuh daripada tugas saya dah selesai kiranya. Tapi saya macam rasa tak puas hati. Si Amir ni nak mula balik perangai playboy dia tu. Padahal baru aje tiga bulan lepas dia declare dengan Wani. “...Nanti Wani tahu awak menggeletis dengar nama Ulfah...”
“Kenapa Wani mesti tahu?” Amir mencorong pada saya. Siap cekak pinggang lagi tu. “Susah betul la kalau awek pakai bestfriend kita sendiri jadi double agent ni.”
“Wani selalu belanja saya kentang goreng kat Khaleel.”
“Murah sungguh kesetiaan awak, ya?”
“Kalau nak dibandingkan dengan cinta... eh, cinta-cinta awak tu?”
“Iyalah... iyalah!” Amir berdengus. Dia dah kalah dah tu. “Saya tolong awak, tahu? Bukan sebab Ulfah.”
“Terima kasih, wak!”
Amir ni bawa motor macam tak cukup jalan! Tak sampai seminit pun, kami dah sampai ke Tasik Harapan. Dia nak tunggu di atas motor aje. Saya tarik juga Amir untuk teman saya. Saya cakap saya takut gelap. Memang pulau kecil di tengah-tengah tasik tu gelap-gelita. Lampu-lampu yang menyuluh laluan pejalan kaki mengelilingi tasik tu tak cukup terang. Mulanya tadi saya yang tarik Amir. Alih-alih dia pula yang paut lengan saya, tak mahu lepas. Penakut juga rupanya si Amir ni. Langkah kaki saya hentakkan kuat-kuat apabila menyeberang jambatan besi ke pulau. Itu isyarat supaya Wani bersedia.
SURPRISE!
Dan tak semena-mena pulau kecil di tengah Tasik Harapan tu jadi terang-benderang dengan limpahan cahaya lampu kelip-kelip. Tak tahulah macam mana Wani boleh buat macam tu tapi saya rasa dia pakai elektrik dari medan selera Cina sebelah pagar di seberang tasik sana. Gigih betul awek Amir yang seorang ni!
Wani melangkah dari balik pokok. Dia menatang kotak berisi kek cawan yang saya beli siang tadi. Lilin sudah terpasang. Dia membawanya kepada kami. Amir tak terkata apa-apa. Pandangannya berganti-ganti di antara Wani dengan saya. Tak putus senyum di bibir Wani. Saya pula tersengih aje.
Oh, ada seseorang yang menyusul di belakang Wani.
Gadis itu pun tersenyum manis. Senyumnya pada saya. Sengih saya dah jadi senget. Dia datang juga rupanya. Manis! Bersama-sama Wani, dia nyanyikan lagu Selamat Hari Lahir untuk Amir. Saya buat gerak mulut aje sambil tepuk-tepuk tangan. Otot bibir saya tak berapa nak stabil sebab terlebih sengih. Amir dalam situasi yang janggal sebab dia tak tahu nak buat apa sementara menunggu lagu tu habis. Nak senyum, tak sudah. Nak nyanyi, takkan nak menyanyi lagu hari lahir sendiri. Nak memandang, tak bertempat. Habis lagu, cepat-cepat dia tiup lilin.
“Terima kasih semua...” kata Amir, antara dengar dan tidak. Mata dia bersinar-sinar. Suaranya makin tenggelam. “Saya... ingat... tak... ada... orang... ingat... birthday... saya....” Dan tak fasal-fasal dia menumpang muka ke bahu saya.
Menangislah pulak si Amir ni!
Sebenarnya saya pun dah mula rasa nak menangis. Hidung dah kembang-kuncup tahan air mata yang bertakung. Tapi mana boleh tunjuk hati lembut depan Manis. Kalau Amir tu tak kesahlah. Dia dah couple dengan Wani. Mereka sepatutnya dah boleh terima antara satu sama lain seadanya. Saya mesti tonjolkan  imej saya sebagai lelaki kental dalam situasi ni. Laju-laju saya kata, “Dah... dah.... kita nak seronok-seronok, makan-makan ni. Bukan nak menghapuskan air mata.”
Terhinggut-hinggut Amir menahan sebak. Bahu saya rasa basah melekit. Tak sanggup saya nak tengok. Buruk betul rupanya kalau lelaki menangis! Lagilah saya tak sanggup nak tengok muka Amir. Saya tarik dia supaya duduk di tikar yang terhampar di balik pokok sana. Wani dan Manis pun duduk sekali. Makanan dan minuman pun dah terhidang. Tak banyak, tapi cukuplah untuk kami berempat. Selain kek cawan, ada juga kacang Ngan Yin dengan kerepek kentang Jack n’ Jill perisa salsa yang memang Amir suka. Oh, ada air ais krim soda F&N juga. Itu pun kegemaran Amir.
Amir dengan Wani dalam dunia mereka. Lovey-dovey sangat. Main acah-acah suap kek pula. Saya duduk bersandar pada pokok, bertentang dengan Manis. Sambil pura-pura balas SMS di telefon daripada entah siapa, saya betulkan letak punggung. Rasa macam ada sesuatu yang mencucuk-cucuk punggung saya tadi. Sambil itu juga, saya curi-curi pandang Manis. Manis ambil kek cawan dengan icing bentuk hati. Waktu inilah saya curi-curi tangkap gambar dia.
Dalam gambar tu, Manis pandang tepat kepada saya. Di hadapan saya ni pun, Manis sedang merenung saya.
Alamak! Manis perasan ke saya tangkap gambar dia tadi?
Amir dan Wani pun pandang saya satu macam. Saya betul-betul dah kantoi ke ni? Muka saya tiba-tiba aje rasa panas.
“Eriq... kenapa dengan muka awak?” tanya Manis.
Muka saya panas bukannya sebab darah berderau, naik malu. Muka saya dah bengkak! Bibir saya merening. Kelopak mata saya berdenyut-denyut. Kenapa dengan saya ni?
Dari Tasik Harapan, Amir merempit macam tak cukup jalan lagi, bawa saya ke klinik. Dengan muka kembang, kami jumpa doktor. Doktor kata saya alahan akibat gigitan serangga. Rasanya benda yang mencucuk-cucuk di punggung saya itulah yang menggigit saya. Doktor kata, dalam dua-tiga hari jugalah baru bengkak tu akan surut. Macam manalah saya nak sorok muka macam ni?
Itulah... padahnya curi-curi tangkap gambar anak dara orang, Eriq! Nak seronok-seronoknya entah ke mana. Nak makan-makannya entah ke mana. Manis pun entah ke mana.
Tapi lewat malam tu, Manis SMS saya!

Manis: Eriq. Manis di sini. Eriq okey ke?
Saya: Saya OK. Alahan kena gigit serangga.
Manis: Lah... iya ke? Kat pokok tadi tu memang banyak semut. Dah makan ubat?
Saya: Dah. Terima kasih sebab ambil berat. :)
Manis: Terkejut saya tengok muka Eriq bengkak tadi.  
Saya: Dua-tiga hari ni jangan la awak tengok muka kembang saya ni. Itupun kalau awak sudi tengok... :p

Saya cepat-cepat hantar satu lagi SMS kepada Manis. SMS yang tadi tu nampak macam cheesy sangat. Nak padam, dah terhantar pun. Jadi strateginya kita mesti cepat-cepat ubah topik.

Saya: Er... mana awak dapat nombor saya?
Manis: Saya minta daripada Wani. Maaf kalau mengganggu Eriq.
Saya: Tak ganggu pun. :)
Manis: Okey, Eriq. Rehatlah dulu. Semoga cepat baik. Selamat malam.

Kemudian, ada satu lagi SMS daripada Manis.

Manis: Lepas 2-3 hari pun saya sudi tengok muka Eriq. :)

iii

Dan saya pula asyik tengok muka awak dalam telefon ni, Manis. Sampai sekarang saya masih ada gambar curi tu. Rasanya memang patut saya padam gambar curi tu supaya saya dapat balik hati saya yang dicuri empunya diri, kan? Itulah yang Loverex suruh saya buat.

Aku nak kau padam gambar tu. SEKARANG. Kau ganti wallpaper tu dengan gambar lain. SEKARANG.

Baiklah, Loverex. Saya ikut cakap awak. Tapi sebelum saya padam gambar Manis yang satu ni, saya mesti cari wallpaper gantinya. Saya tahu dalam galeri gambar telefon saya memang tak ada gambar lain yang lebih menarik. Dan sebenarnya ada banyak lagi gambar Manis yang saya simpan dalam galeri tu. Loverex suruh saya buang gambar wallpaper yang sekarang ni aje, kan? Dia tak suruh saya buang gambar-gambar yang lain, kan? Nampak tak permainan saya di sini?
Jadi saya buka Google untuk cari gambar lain. Belek punya belek, satu pun saya tak berkenan. Terlintas pula di hati saya untuk jadikan doa putus cinta tu sebagai wallpaper. Saya cari ayat 39, surah Ar-Ra’ad.
Lalu dengan lafaz basmallah dan ayat itu sebagai ganti wallpaper, saya buang gambar Manis.


No comments: