Tuesday, 12 May 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta - Bab 8: Hari 3 Beritahu Teman Anda


i

Hai, Eriq!

Beritahu teman anda.

Huh? Beritahu siapa? Beritahu apa? Awak nak saya bercerita apa dengan siapa ni, Loverex? Saya rasa tugasan hari ketiga inilah yang paling mencabar. Dan makin lama, makin meningkat pula tahap kesukaran arahan yang si Loverex ni berikan pada saya. Nampak aje macam senang. Beritahu teman anda. Selalunya perkara yang nampak senang itulah yang paling susah nak diselesaikan.
Separuh hari ni, sambil-sambil mengerjakan laporan mesyuarat semalam, saya puas memikirkan pada siapa saya hendak dan boleh bercerita tentang apa-apa pun yang sepatutnya saya beritahu. Nama pertama yang megelintar dalam fikiran saya, tak lain tak bukan, Amir. Tapi pada Amir jugalah paling susah untuk saya bercerita, sekurang-kurangnya untuk tujuan kali ini. Kalau nak merepek yang bukan-bukan tu, tiga hari tiga malam pun takkan habis ceritanya. Saya hanya ada satu hari ini untuk bercerita. Kita pangkah Amir. Kita cari orang lain.
Macam mana dengan Lya? Tak boleh. Lya sedang berbengkel di Port Dickson sampai esok. Lagipun macam mana saya nak jumpa Lya nanti. Ada Lya, adalah Amir.
Kalau dengan Rusydi di bilik sebelah saya ni? Macam mustahil juga. Dia sangat-sangat sibuk dengan kertas kajian impak yang dia sedang buat sejak minggu lepas. Kalau waktu tak sibuk, selalu juga saya lepak di bilik dia. Atau Rusydi datang berborak di bilik saya. Tapi selalunya, kami bincang fasal kerja. Hari ni Rusydi tutup pintu bilik. Maksudnya dia tak mahu diganggu.  Dan saya tak rasa yang bercerita tentang kerja dapat membantu saya dalam tugasan kali ni.   
H? Macm yang saya cakap sebelum ni, kita takkan dapat berjumpa dengan H kalau kita cari dia. Kalau berjumpa nanti, itupun dia yang datang kepada kita, tak ke mana juga kita dengan ‘adalah’, ‘adalah’ dan ‘adalah’ dia tu.
Habis dengan siapa lagi?
Lagi penting, apa yang hendak dan boleh dan sepatutnya saya ceritakan pada siapa-siapapun itu nanti?
Separuh hari lagi, dalam pada sibuk dengan kerja ad hoc, saya memikirkan hal itu. Sempat juaga saya membayangkan beberapa situasi. Kalau dengan Amir  dan saya bayangkan kejadian ini di rumah, mungkin beginilah yang akan berlaku nanti;

Saya: Awak! Saya nak beritahu awak sesuatu.
Amir: Saya dah tahu, wak. Awak nak beritahu yang saya handsome.
Saya: Ya, awak handsome.
Amir: Tapi awak lagi handsome daripada saya, wak.
Saya: Saya memang dah lama tahu, wak.
Amir: Saya pasrah, wak.
Saya: Bertabahlah, wak. Itu aje saya nak beritahu awak.
Amir: Thanks inform.
Saya: Kbai.

Tengok. Tak ke mana juga tugasan saya kali ni. Amir dah tahu saya memang lebih kacak di antara kami berdua. Jadi tak patut rasanya saya beri peringatan mesra tu lagi. Boleh membawa kepada riak tu, Eriq.
Kemudian, saya bayangkan situasi dengan Lya pula. Mungkin saya boleh telefon Lya malam nanti dan inilah yang akan terjadi;

Saya: Lya! Saya nak beritahu awak sesuatu.
Lya: Amir sihat tak, Eriq?
Saya: Amir sihat. Sebenarnya saya...
Lya: Amir dah makan?
Saya: Tadi saya dah masak. Saya nak...
Lya: Amir kat mana tu?
Saya: Dia baru siap mandi. Saya...
Lya: Pinjam telefon awak sekejap. Saya nak cakap dengan Amir.

Dan saya pun terpaksa beri telefon saya pada Amir. Amir dengan Lya akan bercengkerama, bersaksikan bulan dan bintang di balkoni sana. Saya jugalah yang terperosok di satu sudut yang sepi nanti.
Tak boleh, tak boleh, tak boleh. Kalau macam itulah jadinya dengan Lya, agak-agaknya, dengan Rusydi macam mana pula? Situasinya, saya terpaksa ketuk pintu bilik Rusydi di sebelah ni. Kemudian;

Saya: Di! Saya nak beritahu awak sesuatu.
Rusydi: Tadi bos dah beritahu fasal mesyuarat tu.
Saya: Oh, err... bos tanya, kau dah book Dato’ Dr. untuk chair mesyuarat tu tak?
Rusydi: Tarikh tu aku dah block dengan Pejabat KSU.
Saya: Minit mesyuarat yang lepas tu bos minta kau hantar ke Dato’ Dr.
Rusydi: Minit tu pun aku dah minta Bang Duan tolong hantar sebelum lunch tadi.
Saya: Bila-bila yang kau free nanti, saya nak bincang fasal paper yang bos minitkan kelmarin tu.
Rusydi: Oh, fasal paper kau itu hari? Lepas aku siapkan draf kajian aku ni, kita bincang.

Kemudian Rusydi akan tutup pintu bilik dia. Saya akan terus tercongok di depan bilik dia. Saya akan terus berdiri di situ sambil cuba menghadam apa yang sebenarnya telah berlaku sebentar tadi. Saya rasa saya sepatutnya beritahu Rusydi sesuatu yang bukannya fasal kerja. Tapi apa dia, ya?
Mungkin kalau saya jumpa H nanti saya akan ingat semula. Dan tiba-tiba pula H dah menunggu di tepi meja kerja saya.

Saya: Eh, bila masa awak masuk bilik saya ni?
H: Ala, ni kan imaginasi. Anggap aje ku dah ada kat sini masa kau jumpa Rusydi tadi.
Saya: Oh, okey.
H: Ku tahu kau nak beritahu ku sesuatu.
Saya: Eh, macam mana awak tahu tu?
H: Adalah...

Okey. Situasi dengan H ni takkan berkesudahan. Jadi eloklah saya hentikan imaginasi ni sampai di sini aje. Saya pun ada satu lagi sesi perbincangan sekejap lagi. Ini pun kerja ad hoc juga. Kerja memang takkan habis. Selagi jam di antara pukul 8.00 pagi sampai 5.00 petang, kita kerjalah. Imaginasi tentang situasi yang bukan-bukan tu nanti-nantilah kita sambung.

ii

            Sekarang dah pukul 5.45 petang. Perbincangan tadi baru aje selesai. Saya baru aje nak masuk ke bilik semula apabila telefon yang saya set ke mod senyap sepanjang sesi tadi bergetar-getar dalam saku seluar. Sambil tolak pintu bilik, saya capai telefon. Di skrin tertera ‘Mak’. Saya sambut panggilan tu dengan salam.
“Tengah drive ke?” tanya mak di hujung talian.
“Ada kat ofis lagi ni. Tengah siap-siap nak balik,” beritahu saya. “Kenapa mak?”
“Tak ada apa-apa pun. Saja nak telefon awak.”
“Mak sihat? Ayah?”
“Kami okey aje. Cikgu Mod dengan Auntie Dina pun ada sekali ni... datang jalan-jalan, minum petang.” Panjang lebar pula cerita mak. Saya tanya fasal mak dengan ayah. Tiba-tiba ada pula Cikgu Mod dengan Auntie Dina. Saya ada rasa lain macam sikit dengan situasi yang ini.
“Kirim salam kat dia orang ya, mak.” Saya buat-buat biasa aje.
Sayup-sayup di belakang sana, saya dapat dengar Cikgu Mod dan Auntie Dina menyambut salam saya tadi. Kemudian jeda. Dengarnya macam mak sedang berjalan sekejap. Mungkin dari ruang tamu dan masuk ke dapur.
“Eriq.”
Okey. Kalau mak sebut nama saya dengan nada yang satu ini, saya boleh agak yang ada perkara serius mak nak cakap, sebenarnya. Betul sangkaan saya awal-awal tadi, kan? Berdebar betul saya tunggu mak cakap apa selepas ni.
“Opie pun ada kat sini.”
Berderau darah saya dengar nama tu. Opie. Dia ada di rumah, dengan Cikgu Mod dan Auntie Dina, dengan mak dan ayah. Apa pula dia buat di sana? Apa yang mereka boleh buat, rama-ramai macam tu?
Sekejap. Ini bukan salah-satu situasi daripada imaginasi saya, kan? Bukan macam dengan Amir atau Lya atau Rusydi atau H tadi, kan? Telefon masih di telinga. Berbahang aje rasanya. Mata saya pada skrin komputer di hadapan. Ada lima emel kerja yang masuk di sepanjang waktu perbincangan tadi. Fikiran saya entah ke mana. Saya rasa macam dah melayang-layang sama. Satu macam sangat rasanya apabila mak sebut nama Opie. Saya tak tahu macam mana nak jelaskan. Saya tak tahu nak cakap apa lagi.
“Tak nak cakap dengan dia ke?”
“Mak ni...” Itu saja yang terpacul daripada mulut saya.
“Malu?”
Malu yang teramat sangat. Bergaul pula dengan rasa yang satu macam tadi. Tambah lagi dengan imaginasi terlebih aktif yang membuak-buak. Saya memang tak dapat luahkan selain daripada diam. Saya boleh dengar yang mak sedang menunggu saya. Saya pula menunggu mak untuk bercakap lagi.
“Eriq belum sedialah, mak,” kata saya, tiba-tiba.
“Bersedia apanya?” tanya mak pula. Tak sempat pun saya menjawab, mak tanya lagi, “Eriq baru putus cinta ke? Dengan siapa? Sejak bila? Tak pernah cerita pada mak pun.”
“Eh, taklah.” Cepat aje saya jawab begitu. Jawapan tu untuk soalan sama ada saya baru putus cinta atau tak. Dah lama dah, mak. Jawapan itu sah untuk tempoh tiga tahun ke belakang. Saya tak tipu mak, kan? Jawapan itu juga membuatkan soalan-soalan mak yang selanjutnya tadi tak lagi relevan. Teknik jawapan tak menjawab ni memang kepakaran saya. Dan memang mak tak pernah tahu tentang Manis. Atau tentang Fadz pun. Saya takkan bercerita tentang mereka. Kalau dah bukan sebelum ni, sekarang pun takkan juga. Saya mesti tukar topik. Saya mesti jawab dengan cara tak menjawab. “Maksud Eriq... Eriq belum nak kahwin lagi.”
“Kami bukannya nak suruh awak kahwin sekarang,” kata mak. Perkataan ‘kami’ tu menunjukkan betapa tingginya harapan mak, ayah, Cikgu Mod dan Auntie Dina. Mereka dah pakat-pakat fasal tarikhnya, hantarannya, majlisnya, tema warnanya, jemputannya, lauk-pauknya, berapa ramai anaknya, giliran balik kampung waktu rayanya dan segala-galanyalah.
“Tapi Eriq kena kahwin dengan Opie juga, kan?”
“Awak dengan dia kan dah lama kenal. Cuma lama tak jumpa aje.” Mak pula pakai taktik jawab tak menjawab. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, kan? “Dah memang berkawan pun. Dari kecil lagi. Sekarang dah besar dah. Dah tahu beza baik dengan buruk. Mak percaya dengan anak mak yang seorang ni. Tapi dengan Opie tu lagilah mak percaya.”
“Amboi, mak.” Lain macam sangat cara mak cakap ni.
“Dah... dah... dah. Ikut aje cakap mak ni. Kejap lagi mak hantar Whatsapp nombor si Opie tu. Auntie Dina pun dah beri izin. Eriq telefonlah dia nanti. Whatsapp pun boleh.” Semangat betul mak.
“Nak buat apa?” Saya ni yang kecut perut dibuatnya.
“Buat kawan-kawanlah.”
“Lepas tu kena kahwin-kahwin...”
“Amboi.... Tak sabar nampak? Nak ke? Alang-alang dia orang dah ada kat depan tu, boleh aje mak aturkan.” Lagi semangat pula mak.
“Ish, mak ni.... Balik-balik kita juga yang kena kahwin. Kak Yuna tu macam mana?”
“Kak Yuna nak awak langkah bendul. Dia nak tuntut hadiah sepersalinan serba satu.”
“Macam tak betul aje adat yang dia pakai tu, mak. Itu bukan untuk sebelah perempuan ke?”
“Eh, pandai pula awak, ya? Dah sampai seru dah awak ni, Eriq.”
Kalau serunya dah sampai pun, sanggup ke saya menyambut? Persoalan itu terus bermain di fikiran saya. Jawapannya tak mungkin saya tahu. Bukan sekarang. Kalau pun saya menyambut, akan berbalaskah ia daripada Opie nanti? Saya tak tahu. Sedang saya sendiri belum dapat melepaskan. Manis. Nama itu masih belum dapat saya lupakan. Sanggupkah saya?
“Saya tak janjilah, mak.” Perlahan-lahan saya ucapkan itu.
“Mak tak suruh awak janji. Mak nak Eriq buat.” Tiba-tiba ada jeda. Suara mak bergetar satu macam. Ada bunyi nafas yang ditarik dalam-dalam. Katanya, tak sudah, “Untuk mak, Eriq...”
Saya memang tak boleh dengar suara mak yang satu macam ni. Getarannya memang menggegarkan jantung. Menggigil sendi-sendi ni. Saya jadi lemah sangat-sangat. Macam separuh nyawa dah melayang pergi. Saya tak sanggup.
“Iyalah. Nanti Eriq telefon Opie.”
Itu sahaja caranya untuk saya minta nyawa.
“Okeylah macam tu. Senang-senang nanti, telefonlah Opie, ya?” Suara mak jadi ceria kembali, berselang-seli pula dengan bunyi kuali dan sudip yang berlaga. “Okey, nanti mak telefon lagi. Ni mak nak bawa pisang goreng panas ni ke depan.” Eh, ni kenapa tiba-tiba masuk cerita pisang goreng pula?
Mak saya ni... sambil menggoreng pisang pun sempat lagi nak berdrama!  

iii

Saya memang suka tinggal dan kerja di Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ni. Ulang-alik dari rumah ke ofis dan sebaliknya sangatlah menyenangkan. Kurang lebih dalam 15 minit aje. Tak payah nak hadap azab jem macam di Kuala Lumpur. Tak payah nak buang minyak tekan brek. Tak payah nak kejang-kejang kaki main gear. Tambah-tambah lagi kalau saya keluar ofis selepas jam 6.00 petang. Selalu pun macam itulah.
Hari ni, saya sampai ke rumah jam 6.20 petang. Masuk aje ke rumah, saya lihat Amir sedang baring di sofa di ruang tamu. Dia berlengging dengan seluar kerja aje. Oh, tidur rupanya dia. Saya picit ibu jari kaki Amir macam yang selalu saya buat.
“Cepat awak balik hari ni,” kata saya sambil menangkap mata Amir yang mengerling dari balik lengannya. Selalunya, dekat-dekat Maghrib baru Amir sampai ke rumah. Dia lagi sibuk daripada saya. Pegawai Khas Ketua Pengarahlah katakan.
“Saya tak pergi kerja pun, wak.”
“Awak okey ke tak ni?” Tangan saya mencapai ke dahi Amir. Panas semacam aje. Berpeluh satu badan juga si Amir ni. “Doktor cakap awak sakit apa?”
“Tak larat nak pergi kliniklah, wak.” Lemah aje jawab Amir. Sikit pun dia tak berganjak apabila saya cuba tarik dia supaya bangun. Sudahnya, saya yang terduduk. “Esok ajelah kita pergi.”
“Macam teruk aje sakit awak ni, wak. Dah masuk tiga hari awak macam ni, tahu? Selalunya jetlag tak teruk macam ni, wak.” Risau pula saya jadinya. Sejak balik outstation dari Washington minggu lepas, Amir cakap dia tak sedap badan. Dia kata jetlag. Amir memang jarang sakit. Setahun sekali pun jarang-jarang. Iyalah, dah ada Lya yang tersayang jaga makan dan minum. Untunglah. “Takkan nak tunggu esok juga, wak?”
“Hari ni saya nak manja-manja dengan awak...”
“Iyalah. Seronok-seronok dengan Lya. Sakit-sakit cari saya.”
“Ala, wak. Kita kan housemate. Dah kahwin nanti saya tak cari awak dah.”
“Ooo... macam tu, eh?” Saya sentap. “Habis madu, sepah dibuang!”
“Habis tu... takkan awak sanggup nak bermadu dengan Lya?”
“Awak ni mengarut apa ni, wak? Meracau ke apa ni, wak?”
Amir ketawa aje, lemah.
“Dah... dah.... Awak pergi mandi, segarkan badan.” Saya bangkit dan tarik Amir sekali lagi. Dari baring, dia duduk bersandar. Berbekas badan Amir dengan kesan sarung sofa. Dah seharian agaknya si Amir ni tidur aje. Entah makan entah tak. Kesian dengan housemate saya yang seorang ni. “Nanti saya masak sup ayam, nak?”
“Terima kasih, awak!”

***
  
Saya tahu memang seharian Amir tak makan apa-apa pun. Tapi sup ayam yang saya siapkan untuk Amir tadi tak habis dimakannya. Dia hirup dua suap aje. Lapar memanglah lapar tapi dia betul-betul tak ada selera, katanya. Dia nak tidur. Sakit kepalanya belum reda. Saya paksa Amir makan sup tu dalam dua-tiga suap lagi sebelum makan ubat. Amir ambil dua biji ponstan dengan air suam. Saya duduk di sisi katil, menghadap cahaya dari pintu bilik yang terbuka. Lampu bilik ini saya dah padamkan. Amir kata dia tak tahan silaunya. Saya tunggu Amir habiskan segelas lagi air. Sambil itu, ada sesuatu yang lain perlu saya buat.  
“Awak, saya ada sesuatu nak beritahu awak.” Saya dah fikirkan hal ini waktu mereneh sup tadi. Saya masih belum lunaskan tugasan Loverex. Beritahu teman anda. Siapa lagi teman saya tu, kalau bukan Amir. Teman serumah. Teman baik saya. Dialah satu-satunya. Saya memang patut beritahu Amir. Tapi nak beritahu dia apa?
“Saya dah tahu, wak.”
Eh, macam dalam imaginasi saya pula. Saya tunggu apa yang Amir nak cakap seterusnya. Dia akan kata yang saya nak beritahu dia handsome. Sepatutnyalah.
“Awak nak beritahu yang saya handsome.
Kan saya dah cakap? Saya kata, “Ya, awak handsome.
Dengan penuh gaya berkeyakinan, Amir letak gelas air suamnya ke meja lampu. Kata Amir, “Saya memang dah lama tahu, wak.”
Eh, Amir curi ayat saya! Dia patut puji saya handsome, lebih handsome daripada dia. Dan, “Eh, bukan itulah yang saya nak cakap.”  
“Dah tu?”
“Saya nak move on, wak.” Itu aje yang saya nak beritahu. Itu aje yang saya rasa saya patut beritahu Amir. Saya dah tak ada idea lain.
“Okey...” sambut Amir, tak sudah. Tapi dalam nada tu, dia minta saya meneruskan.
Saya diam.
“Dari dulu lagi awak patut move on,” kata Amir kemudiannya. Dia tunggu saya juga. Dia nak saya terus bercerita.
“Sekarang. Saya nak move on sekarang. Maksud saya, sejak dua hari lepas. Hari ni hari ketiga saya move on.
“Hari ketiga daripada seribu hari lagi?” Tanya Amir itu retorik. Saya tahu sangat. Dia tak percaya saya nak move on. Dia tak yakin saya boleh move on. Dia tak yakin yang saya betul-betul nak cuba move on. Cuba. “Macam dari tiga tahun lepas?”
“Tiga puluh hari, wak.” Saya jawab begitu. Dan saya ceritakan tentang misi 30 hari saya tu. Tentang Loverex. Tentang dua hari cabaran saya sebelum ni, kelmarin dan semalam. Tentang hari ini. Amir mendengar. Saya tahu itu walaupun tak bercerita secara bersemuka terus dengan dia. Saya tak boleh. Mungkin sebab saya tak sanggup nak pandang Amir dan dia akan beri saya muka ‘betul ke awak ni?’ tu nanti.
“Betul ke awak ni, wak?” Amir tanya terus.
“Hari ni dah masuk hari ketiga. Saya dah ikut apa yang Loverex suruh sampai hari ni. Saya boleh buat untuk hari esok dan sampai hari ketiga puluh.”
“Selalunya kan... awak akan kecundang pada hari ketiga, macam hari ni.”
Kecundang? Aduh, kerasnya bunyi perkataan tu.
“Macam waktu awak ikut saya main jim dulu. Ingat tak?” tanya Amir. Dia beri juga muka ‘betul ke awak ni?’ pada saya. Dua-dua keningnya terangkat, matanya kecil aje dan bibir dijuih sikit. Amboi!
“Ala... benda tahun lepas tu pun awak nak ungkit balik ke, wak?” Saya tarik muka juga. Muka tak sudah. Ya, memang saya pernah beria-ria nak badan macam Zul Ariffin. Kononnyalah. Saya ajak Amir pergi jim dekat Kementerian Belia dan Sukan. Tiap-tiap petang lepas kerja, kami pergi. Tapi untuk tiga hari ajelah. Saya yang pergi tiga hari aje. Hari pertama, semangat saya membara tapi kaki saya kejang. Hari kedua, saya okey lagi tapi seluar saya terkoyak masa nak angkat berat. Hari ketiga, bahu saya terseliuh. Doktor suruh saya rehat selama tiga bulan... sampailah ke hari ni. Amir pergi tiga hari seminggu, tiap-tiap minggu, sejak setahun lepas. Badan Amir yang jadi macam badan Zul Ariffin sudahnya. Nasiblah badan saya tak jadi macam badan Upin dan Ipin. “Saya tak ikut awak lepas tu pun sebab bahu saya terseliuh, wak.”    
“Alasan.” Amir cakap macam tu. Muka ‘betul ke awak ni?’ masih dia tuju pada saya. Dengan muka tu juga dia tanya, “Ingat lagi masa awak join Rukun Tetangga kat rumah sewa kita dulu? Tu pun sempat tiga kali aje, kan?”
“Oh...” Itu perkara dua tahun lepas. Masa tu kami sewa apartmen di Puchong. Persatuan penduduk kawasan kejiranan kami tu aktif. Saya daftar jadi ahli Rukun Tetangga. Saya ajak Amir juga. Mula-mula tu dia tak mahu. Tapi saya pujuk Amir supaya teman saya. Kami minta jadual bertugas yang sama dan dapat slot hari Khamis, malam Jumaat. Minggu pertama, Amir cakap dia rasa macam ada sesuatu ikut kami masa ronda-ronda di tingkat lima blok kami. Amir ni memang penakutlah! Minggu kedua, Amir cakap dia dengar bunyi budak menangis dekat tangga tingkat sepuluh. Minggu ketiga, kami berdua nampak kelibat putih dalam lif depan rumah kami di tingkat 16. Okey, saya pun dah jadi takut. Minggu keempat dan yang seterusnya kami tak keluar rumah langsung. Dan, “Tapi itupun sebab awak yang ajak pindah, kan?”
“Oh.” Amir tahu alasan saya tu alasan dia juga. Tapi dia tak mahu mengalah lagi. Kata Amir, “Ingat tak blog awak yang dulu tu?”
“Blog?” Saya tanya dia balik.
“Yang http://cintayangmanis.blogspot.com tu. Yang ada tiga entri tu aje.” Begitu pula jawab Amir. Pun dengan muka ‘betul ke awak ni?’ tu lagi.
Blog tu dah lama bersawang. Dah tujuh tahun pun. Entri-entri tu pun semuanya tentang Manis. Satu entri sehari. Untuk tiga hari ajelah. Entri pertama ada anonymous tinggalkan komen ‘So sweet!’. Entri kedua pula anonymous cakap ‘Alahai cairlah wak!’. Entri terakhir pulak si anonymous tu letak komen ‘Jiwang tak ingatlah wak!’. Lepas tu memang saya tak tulis entri lain dah. Waktu tu saya buta IT lagi jadi saya tak pandai setkan privasi blog. Entah siapalah si anonymous tu. Entah macam mana pula si Amir ni tahu fasal blog hangat-hangat tahi ayam saya tu.
Eh, sekejap. Saya pandang Amir tak berkelip. Dia pandang saya dengan muka semacam tu lagi. “Awaklah si anonymous tu rupanya!”      
Kali ni Amir buat muka seposen. Memang sah dialah anonymous tu! Tapi dengan selamba dia kata, “Itu bukan isunya. Isunya sekarang... awak sedar tak yang banyak benda awak buat sebelum ni awak tinggalkan separuh jalan. Tak, bukan separuh jalan pun tapi tiga hari ajelah... tiga minggu ajelah, tiga kali ajelah. Awak kata awak nak move on tu pun dah tiga tahun lebih pun tak ke mana juga, wak.” Kemudian Amir buat muka ‘betul ke awak ni?’ tu lagi. Dia kata, “Sekarang awak nak move on dalam 30 hari... konon-kononnyalah. Hari ni dah masuk hari ketiga, konon-kononnyalah...”
“Eh, betullah dah tiga hari...”
“Tiga hari ajelah.” Amir potong cakap saya dan tekan perkataan ‘ajelah’. “Awak dengan penyakit ‘Tiga Kali’ awak tu.”
“Awak ni tak pernah nak sokong saya. Cakap saya ada penyakit pula.” Aci tak kalau saya nak sentap sekarang?
“Saya dah ikut awak pergi jim tapi lepas tu saya jugalah yang pergi seorang. Saya teman awak ronda-ronda Rukun Tetangga walaupun saya tahu blok kita tu dulu berhantu. Saya komen kat blog awak tapi awak tak balas pun.” Amir ungkit satu-satu. “Itupun awak boleh kata saya tak pernah sokong awak?”
“Sokong yang membawa rebah.”
“Macam mana nak sokong benda yang tak siap, separuh jalan? Benda yang tak siap memang akan rebahlah... roboh.”
“Kali ni lainlah, wak.”
“Ya, saya tahu. Saya masih sokong awak. Dah awak kata tadi Loverex suruh ‘beritahu teman anda’, kan?” Amir yang tadi baring mengiring menongkat kepala, bangun rapat kepada saya di sisi katil. Dia tepuk-tepuk bahu saya. Kata Amir lagi, “Saya dengar aje awak cerita semua ni pada saya. Kalau awak beritahu saya dari hari pertama, saya akan sokong awak dari awal lagi. Saya akan terus sokong awak walaupun dah masuk hari ketiga. Tapi kali ni, awak kena janji betul-betul dengan saya yang awak takkan berhenti setakat hari ni.” Di sini Amir paut bahu saya kuat-kuat. “Apa-apa pun jadi, awak kena teruskan juga sampai hari ke-30. Sampai awak betul-betul move on. Boleh?”
Perlahan-lahan saya ucapkan, “Saya janji, wak.”
“Janji untuk diri awak sendiri, Amir. Bukan untuk saya. Boleh?”
“Saya janji.” Saya ulang itu kepada diri saya sendiri.
Dengan janji tu juga, saya keluar dari bilik Amir. Dia nak berehat, biarlah. Demamnya pun belum kebah lagi. Saya pun nak tidur. Esok Amir minta tolong kejutkan dia. Kalau sihat, dia mesti masuk ofis lebih awal untuk mesyuarat pagi nanti. Kalau demam lagi, dia nak ke klinik cepat-cepat sebelum masuk ofis. Tugasan saya untuk hari ni pun dah selesai tadi. Sambil berpisat-pisat cari posisi tidur yang selesa, saya pasang niat dengan janji untuk laksanakan tugasan hari keempat esok. Hari ketiga ni bukan hari terakhir macam yang segala yang pernah saya buat sebelum ni. Esok hari keempat dan saya akan teruskannya sampai ke hari tiga puluh.
Saya janji.
Dan saya teringat pula dengan janji saya pada mak tadi. Mak suruh saya telefon Opie. Dah malam sangat ni. Takkan saya nak telefon juga si Opie tu malam-malam buta macam ni. Mak kata tadi pakai Whatsapp pun boleh, kan?

Saya: Assalamualaikum. Opie. Eriq ni. Mak suruh saya telefon awak. Dah malam. Kita pakai Whatsapp ajelah. Selamat malam.      

Dah. Dah. Dah. Saya nak tidur. Esok ajelah kita tunggu balasan Opie. Esok juga kita sambung hari keempat daripada 30 Hari Untuk Melupakan Cinta.
Saya janji.

2 comments:

Anonymous said...

Salam. Waiting for next chapter and it has been over a week now Encik Pingu. *grin*

p/s: Saya bukan robot.

HutanBelantara said...

Ermmm ermmmm.