Sunday, 21 June 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta - Bab 10: Seminggu

Saya terjaga daripada tidur yang entah berapa lama. Atau mungkin saya tak tidur pun. Saya tak boleh tidur. Saya hanya dapat pejamkan mata yang pedih tapi tak mahu-mahu juga lelap. Berkali-kali saya cuba. Berkali-kali juga apabila saya hampir lena, mata saya kembali segar. Saya paksakan juga diri untuk tidur. Dari jam 11.45 malam saya baring aje. Hanya baring dan pejamkan mata. Saya tak boleh tidur juga. Entah berapa kali saya periksa jam di telefon, mengira baki waktu untuk tidur. Dari jam 1.07 ke 2.40 pagi. Dari pukul 3.59 ke 5.23 pagi. Saya dapat tutup mata sekejap aje. Tak sempat tidur pun. Tiba-tiba jam dah berbunyi pada pukul 6.15 pagi. Macam biasa.
Tapi pagi ini bukan macam yang biasanya. Dan nasib baik juga hari ni hari Ahad. Kalau tak dapat tidur malam, saya boleh qada’ tidur siang.
Saya terus baring. Macam semalam, saya cuba untuk beritahu diri supaya biasa-biasakan dengan keadaan ini. Yang takkan ada orang untuk kejutkan saya lagi. Mungkin juga saya tak berapa boleh nak tidur atas sebab itu. Saya takut kesiangan. Atau mungkin saya takkan bangun-bangun lagi. Saya hanya menentang siling di atas tanpa sedar apa yang sebenarnya saya perhatikan. Pada pagi-pagi sebelum ni, begitulah saya. Dah seminggu lebih pun. Dan saya masih belum dapat terima segala-gala yang telah terjadi.
Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Jam berbunyi lagi. Dah pukul 6.30 pagi. Saya masih di atas katil. Saya tunggu sesuatu yang takkan terjadi lagi. Saya harapkan bahawa sebenarnya saya hanya terjaga dalam mimpi dan saya belum pun sedar. Yang semua ini hanyalah mimpi. Nanti Amir akan kejutkan saya. Macam  biasa. Jadi biar saya baring-baring dulu, tunggu Amir. Pada pagi-pagi sebelum ni, begitulah saya. Dah seminggu lebih, Eriq.
Dan bagaimana pula selepas ini?
Jam 6.45 pagi. Tak ada apa-apa pun yang berlaku. Pada pagi-pagi sebelum ini, begitulah. Dah seminggu lebih pun. Tidak. Tidak. Tidak. Awak tak boleh terus-terusan macam ni, Eriq. Sampai bila lagi? Saya bangun. Saya cepat-cepat ke bilik air dan ambil wudhu’ untuk solat Subuh yang tak sepatutnya saya lewatkan.
Usai solat, saya tukar pakaian untuk keluar joging. Selepas entah berapa bulan atau mungkin juga tahun, ini kali pertama saya aktifkan semula otot-otot yang dah liat dan bersalut lemak tepu. Pagi ini, saya putuskan, takkan jadi seperti pagi-pagi sebelumnya. Keluar dari bilik, saya buka langkah besar, sambar kasut sukan dan terus kunci pintu rumah. Saya cepat-cepat turun tangga, tak pakai lif. Kiranya, itulah aktiviti pemanas badan sebelum saya terus joging keliling blok. Kemudian saya panjangkan kaki sampai ke Taman Saujana Hijau. Saya berlari dan terus berlari. Dua kali saya pusing taman tu. Di separuh pusingan ketiga, saya teringatkan janji saya dengan Abah pagi ini. Tapi alang-alang, saya habiskan juga pusingan tu dulu.
Dengan badan yang berpeluh melencun, saya balik. Pun berlari. Saya panjat tangga pula. Di atas lantai marmar ruang tamu, saya terlentang. Saya depa tangan dan kuakkan kaki. Kipas dah dipasang pada kelajuan lima untuk cepat-cepat sejukkan diri. Sambil baring, saya dengar degup jantung yang kembali normal selepas dikerah bekerja kuat entah berapa kilometer sepanjang joging tadi. Biar saya rehat sekejap aje lagi. Perut pula berbunyi.
Saya bangun. Baju yang masih lembap dek peluh saya gantung di bahu. Saya berdiri di tengah-tengah ruang tamu, di bawah kipas. Hawa sejuk pagi itu, dalam lingkup ruang sunyi saya hirup dan lepaskan beberapa kali. Bersama nafas ketiga, pandangan saya terhantar ke pintu bilik Amir. Pintu bilik itu masih tertutup rapat. Pada pagi-pagi sebelumnya, begitulah. Dah seminggu lebih pun. Dah sebelas hari, kira-kiranya.
Amir dah tak ada, Eriq.
Itu yang berkali-kali saya beritahu pada diri sendiri sejak sebelas hari yang lalu. Tapi betapa susahnya saya nak terima kenyataan tu. Amir dah tak ada. Amir dah tak ada. Amir dah tak ada. Berapa kali diulang pun, saya tak dapat mempercayai bahawa ia satu ketentuan yang walau macam mana saya cuba, saya takkan mampu ubah. Kematian bukanlah sesuatu yang biasa saya hadapi. Ya, ajal maut tu paling dekat dengan kita, sedekat urat merih. Saya sedar tu. Tapi kita tak tahu bila ia akan datang menjemput dan bila kita akan pergi bersama-samanya.
Dan apabila yang pergi itu ialah orang yang paling rapat dekat kita, bagaimana?
Amir dah pergi selama-lamanya. Saya sepatutnya boleh terima itu. Begitulah. Tapi saya tak boleh. Saya belum boleh lagi, sekurang-kurangnya untuk sepanjang sebelas hari ni. Sampai bila lagi?
Lalu saya putuskan, hari ini bukan seperti hari-hari yang sebelumnya. Pintu bilik Amir saya buka dan biarkan terus terbuka. Saya selak langsir dan kuak jendelanya. Bilik itu jadi terang-benderang. Udara pagi ikut masuk dan mengisi ruang yang sudah begitu lama terkepung. Dari jendela, saya berpaling menghadap katil Amir. Katil tu macam dulu juga. Bantalnya jatuh di tepi dan selimutnya di kaki katil. Saya bentangkan semula cadarnya dan kemaskan katil. Bantalnya saya tepuk-tepuk. Selimutnya saya lipat.
Saya duduk di sisi katil. Sambil luruskan kaki, saya sandarkan kepala ke atas tilam yang kosong. Tanpa sedar dan tanpa sempat saya seka, air mata mengalir tiba-tiba aje. Selepas sebelas hari Amir pergi, pagi ini barulah saya menangis. Saya tenang waktu doktor maklumkan yang Amir meninggal selepas semalaman koma. Saya kuatkan semangat waktu mandikan jenazah Amir. Saya tahan perasaan waktu lihat tanah merah dikambus sedikit demi sedikit, menutup liang lahadnya. Saya terus temankan Abah di pusara Amir walaupun orang lain dah pergi. Saya tak menangis pun.
Saya ingat saya cukup kuat. Saya ingat saya dah habis menangis. Saya ingat saya akan terus mampu untuk tidak menangis lagi. Tapi pagi ini, saya menangis. Saya menangis sungguh-sungguh. Tenang saya entah ke mana. Semangat saya dah hilang. Perasaan saya membuak-buak, tak tertahan lagi. Saya terus menangis, sendiri. Semua emosi yang saya pendamkan sejak sebelas hari lalu dah terhambur keluar. Saya biarkan. Menangislah, Eriq. Menangis puas-puas.
Saya menangis sampai tertidur, akhirnya.
Apabila terjaga semula, saya mencari jam di tepi kepala katil. Pukul berapa dah? Mana jam ni? Kemudian baru saya sedar yang saya tertidur di atas katil Amir. Jam loceng Amir di meja lampu, di atas timbunan buku yang tak habis dibacanya. Dah dekat pukul 10.00. Pagi? Malam? Siang lagi. Berapa lama saya tertidur? Tak sampai setengah jam pun. Saya raup muka yang masih tersisa dengan air mata yang kering. Untuk beberapa lama, saya duduk di hujung katil itu. Saya betulkan bantal dan luruskan semula cadarnya.
Kemudian saya bangun ke bilik saya sendiri, mandi dan bersiap. Abah nak datang.

***

Kotak demi kotak dah penuh diisi dengan barang-barang Amir. Almari pakaian dah dikosongkan. Buku-buku Amir pun dah siap disusun dalam lima kotak semuanya. Saya susun ke tepi. Abah sedang kumpulkan pakaian kotor Amir. Selesai menanggalkan sarung bantal dan melipat semula cadar, saya himpunkan bersama selimut di kaki katil. Katil ini saya yang kemaskan tadi. Saya duduk di situ, memerhatikan Abah yang tekun mengasingkan pakaian putih daripada yang berwarna ke dalam bakul dobi. Abah sampai jam 11.30 tadi dan selepas berbasi-basa bertanya khabar, kami terus dengan kerja mengemas ini. Sepanjang waktu, kami bekerja dalam diam dengan satu persetujuan senyap bahawa tak ada yang perlu dikatakan. Apa lagi yang boleh kami katakan selain tentang Amir? Dan itu takkan membantu apa-apa. Saya tak mahu Abah sedih. Saya sendiri tak mahu menangis lagi.
Saya ke dapur. Saya buatkan satu jag air oren untuk membasahkan tekak. Dulang berisi gelas yang siap dituang air oren itu saya tatang bersama jag, masuk ke bilik. Saya letakkan ia di meja komputer Amir. Saya hulur segelas air pada Abah dan jemput dia minum. Abah minum seteguk aje. Saya sambut semula gelas Abah. Saya habiskan air saya. Haus. Sebenarnya saya betul-betul lapar. Sarapan pun tak lagi. Dah nak masuk waktu makan tengah hari pun.
Perut saya tiba-tiba berbunyi. Dalam senyap-sunyi macam sekarang, bunyi dalam perut ni boleh berganda-ganda kuatnya. Tapi saya tahan dan tenggelamkannya dengan cepat-cepat tarik sebuah kotak kosong ke meja komputer. Tinggal meja ini aje yang belum dikemas. Saya mulakan dengan laci-lacinya. Laci paling atas penuh dengan alat tulis dan buku-buku nota kecil. Dah macam meja pejabat pula. Saya kumpulkan semuanya ke dalam kotak tadi.
Dari laci tengah, ada beberapa buah album dan satu kotak kasut yang penuh dengan gambar-gambar lama. Saya belek satu album. Di dalamnya ada gambar Amir dan keluarganya. Ada gambar Abah dan Ibu. Paling banyak, gambar Amir dengan Ibu. Amir selalu cakap yang dia memang sayang Abah. Dia juga selalu cakap yang dia rindu Ibu. Amir cakap dia tak pernah faham kenapa Abah berpisah dengan Ibu. Dia pernah cerita yang kadang-kadang dia boleh dengar Abah menangis dalam bilik, panggil nama Ibu. Dia tahu yang Abah pun rindu pada Ibu dan masih sayangkan Ibu, lebih-lebih lagi apabila Ibu dah meninggal. Abah dan Ibu dah hidup bersama lebih dua puluh tahun. Tapi kenapa Ibu nak berpisah dengan Abah? Tapi kenapa Abah ceraikan juga Ibu? Macam mana orang yang saling menyayangi boleh sanggup untuk hidup berasingan? Tak boleh ke Abah dan Ibu terus bersama untuk dua puluh tahun lagi? Atau lima puluh tahun lagi? Dan jangan berpisah langsung?
‘Saya pun tak tahu’, jawab saya dulu.
‘Mungkin sebab tu saya takut nak kahwin, wak,’ kata Amir.
‘Tapi kan, awak memang cinta dengan Lya, wak.’
‘Sampai bila?’
Dan kemudian, awak pun tinggalkan kami, Amir.
Saya tutup album tu dan simpankannya ke dalam kotak. Saya capai kotak kasut dalam laci tadi. Dalam kotak kasut itu pula, yang banyaknya gambar Amir dan saya dan kawan-kawan kami sejak dari zaman matrikulasi. Gambar-gambar waktu di USM pun terhimpun sekali. Saya selak beberapa keping gambar itu dan tersenyum sendiri pada kenangan yang pernah kami lalui bersama. Dalam banyak-banyak gambar itu, gambar terakhir dalam tangan saya adalah gambar waktu hari lahir Amir di Tasik Harapan dulu. Dalam gambar tu, saya dan Amir bersilang tangan untuk suap kek cawan ke mulut masing-masing.
Itu hari lahir Amir yang ke-21. Dan tak sampai sebulan lepas hari lahir awak yang ke-30, awak tinggalkan kami, Amir.
Saya masukkan kotak kasut penuh gambar-gambar itu ke dalam kotak besar. Saya simpankan juga perasaan yang semakin terkesan dengan memori pada Amir. Jangan mulakannya, Eriq.
Saya tarik nafas dalam-dalam lagi. Laci paling bawah saya tarik keluar. Tak ada apa-apa yang lain dalam laci itu kecuali sebuah kotak kecil. Pada mulanya saya tak pasti apa yang saya perhatikan dalam laci itu. Kotak apa ni? Saya ambil kotak berwarna ungu gelap itu. Kotak itu kotak baldu. Saya buka.
Di dalamnya ada sebentuk cincin berlian.    
“Abah...” Saya hulurkan kotak cincin itu kepada Abah.
Dari tangan saya, Abah sambut kotak itu. Dia lihat cincin di dalamnya. Abah senyum. Katanya, “Sama macam cincin kahwin yang Abah untuk Ibu dulu.” Abah kembalikan kotak itu kepada saya, bersama-sama cincinnya. “Cincin tu untuk Lya.”
“Nak buat apa beri pada Lya?”
“Sepatutnya...” Senyum Abah tadi jadi senyum sedih. Dia duduk di katil. Pakaian yang dilipatnya tadi dibiarkan sekejap. Kata Abah, “...Amir nak lamar Lya hujung bulan ni.”
Saya terdiam. Cincin dalam kotak itu saya perhatikan aje. Ni cincin tunang ke? Bila Amir beli? Amir nak bertunang? Nak kahwin? Dengan Lya? Soalan demi soalan bertubi-tubi saya tanyakan pada diri sendiri. Tapi bukanlah pada saya jawapannya. Dan, “Amir tak beritahu saya pun.”
“Dengan Abah pun dia baru beritahu... lepas dia balik outstation dulu.”
“Lya tahu?”
“Abah rasa belum lagi.”
“Habis, sekarang... macam mana?”
“Cincin tu memang Amir beli untuk Lya. Abah nak minta tolong... kalau boleh, Amir sampaikanlah pada Lya bagi pihak Amir. Anggaplah sebagai hadiah.”
Saya diam lagi. Cincin dalam kotak itu saya terus perhatikan. Amir nak lamar Lya. Amir nak kahwin dengan Lya, akhirnya. Tapi begini pula kesudahannya. Tak kesampaian juga. Amir dah tak ada. Tinggallah Lya. Abah pun sendiri. Saya pun. Dan cincin ini. Lalu bagaimana?
Tiba-tiba perut saya berbunyi. Kali ini saya tak dapat tahan lagi. Abah ketawa. Saya pun ikut ketawa.
“Dah... dah.... Kita makanlah dulu,” kata Abah.
“Saya tak selera, Abah.”
“Selera ke tak selera pun... perut tu lapar juga.” Abah bangun dan tepuk belakang saya, ajak saya bergerak. “Jom. Abah belanja.”
“Ni kira upah nak hantar cincinlah ni, kan?”
Ketawa lagi Abah.

***

Abah balik selepas Asar. Barang-barang Amir sudah dibawanya bersama. Lima belas kotak semuanya. Saya ikut Abah ke Taman Jasa untuk tolong Abah dengan kotak-kotak itu tadi. Sebelum balik, saya teman Abah makan malam. Nak masak sendiri, Abah dah tak larat. Nak makan yang dah dipesan tadi pun, kami masih tak ada selera. Sampai aje ke rumah, saya terjelepuk di sofa. Penat! Sengal satu badan. Habis kudrat mengangkut kotak-kotak. Tak hilang lagi lenguh-lenguh terlebih joging. Tambah lagi dengan tidur yang tak cukup. Sangat-sangat penat. Tapi kalau saya terus melangut di sofa ni alamatnya tak menjadi apa-apa juga. Saya bangun.
Dalam menapak ke bilik saya sendiri, mata saya menyinggah ke bilik Amir. Bilik Amir dah kosong. Memang saya biarkan pintu bilik tu terbuka sejak siang tadi. Langsirnya pun saya sudah sematkan ke sisi. Biar itu jadi peringatan yang bilik itu tak ada penghuninya lagi. Biar perlahan-lahan saya terima kenyataan yang Amir dah tak ada. Saya dah tak ada housemate. Saya dah hilang kawan paling baik saya.
Yang tinggal pun hanyalah cincin Amir untuk Lya.
Saya terus berdiri di ambang pintu bilik Amir. Kotak cincin itu ada di atas meja tepi katil. Saya kena jumpa Lya. Saya dah janji dengan Abah untuk sampaikan cincin itu pada Lya. Saya keluarkan telefon dari saku seluar. Telefon itu saya tenung begitu aje. Biarlah dulu. Saya rasa saya perlu cari masa yang lebih sesuai untuk lunaskan janji saya yang satu itu.
Mata saya masih di skrin telefon. Beratus-ratus notifikasi Whatsapp masuk sejak lebih seminggu lalu. Saya tak buka satu pun. SMS pun saya biarkan. Banyak juga panggilan yang tak berjawab. Semua itu tentang Amir. Untuk Amir. Mereka nak sampaikan salam takziah. Mereka sedekahkan al-Fatihah. Mereka nak pesan supaya saya bersabar. Tapi hanya itulah. Apa lagi yang dapat mereka buat?   
Satu lagi mesej Whatsapp masuk. Daripada Opie. Opie? Seingat saya, mesej yang saya kirim dulu Opie tak balas pun. Saya tak kesah pun. Atau mungkin Opie ada balas tapi saya tak perasan dan mesejnya bertimbun dengan notifikasi lain yang saya tak pedulikan. Tapi kali ini, sambil berjalan ke bilik sendiri, saya terus buka mesej itu.
Oh, memang itu satu-satunya mesej daripada Opie. Balasan yang pertama untuk mesej saya yang sebelum ini. Katanya;

Salam, Eriq. Opie di sini. Maaf ganggu. Saya baru dapat tahu daripada mak awak yang kawan baik awak meninggal. Maaf juga sebab tak balas mesej awak sebelum ini. Maaf lagi sebab mesej awak pada waktu yang mungkin tak sesuai. Saya harap awak sabar. Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Allah lebih sayangkan dia. Awak pun tahu itu. Ramai yang sayangkan awak juga. Awak patut tahu itu. Jangan sebab dia yang pergi, awak tinggalkan yang lain. Allah pun sayangkan awak. Dia uji awak. Jangan terus sedih. Allah uji awak dan Dia janji ujian-Nya setimpal dengan kekuatan awak. Awak dah kuat tapi awak mesti jadi lebih kuat.

Saya ulang baca mesej Opie beberapa kali. Saya baring di katil dengan mata yang masih melekat pada skrin telefon. Pada mesej Opie. Entah mengapa, setiap kali saya membacanya, makin terkesan kata-kata Opie itu. Allah uji awak dan Dia janji ujian-Nya setimpal dengan kekuatan awak. Awak dah kuat tapi awak mesti jadi lebih kuat. Dia janji ujian-Nya setimpal. Awak mesti jadi lebih kuat. Janji....
Janji....
Janji.
Dan saya lena juga, akhirnya.      

3 comments:

Rozalia Rajali said...

kenapa sedih sangat ni encik pingu?

Anonymous said...

Encik penulis, writer's block eh? Lamanya tak continue cerita. T_T

Ren said...

PATUTLA.