Friday, 12 June 2015

30 Hari Untuk Melupakan Cinta - Bab 9: Amir. Amir. Amir.

Saya dah janji. Saya dah janji, awak. Ya, saya dah janji dengan diri saya. Saya dah janji dengan awak juga. Jangan buat saya macam ni, Amir. Amir, Amir, Amir. Nama itu saya ulang lagi. Amir, Amir, Amir. Bangunlah, wak. Saya dah cuba kejutkan Amir. ‘Kejut sampai saya bangun,’ pesan Amir semalam. Selalunya Amir boleh bangun sendiri. Selalunya dia bangun lebih awal daripada saya. Dialah juga yang akan kejutkan saya. Tapi dalam kes-kes terpencil, contohnya apabila Amir kena jetlag lepas balik daripada tugasan luar negara atau apabila dia baru nak kebah daripada sakit, saya terpaksa bertungkus-lumus kejutkan dia.
Pagi tadi, sebelum saya mandi, saya ketuk pintu bilik Amir dan panggil dia supaya bangun. Lepas mandi, saya kuak pintu dan tengok Amir masih belum terjaga. Saya bukakan lampu. Nanti dia akan bangun sendiri. Selalunya pun macam itulah. Waktu saya dah siap solat Subuh, saya masih tak mendengar nyanyian karaoke lagu-lagu Siti Nurhaliza dari bilik mandi Amir macam selalunya. Di bilik, Amir masih tidur. Saya panggil nama dia. Sikit pun dia tak berkutik. Macam biasa, saya picit ibu jari kaki Amir. Dia tak bangun juga. Saya tepuk-tepuk bahu Amir. Badannya panas. Amir tetap tak bangun. Berkali-kali saya panggil nama dia. Amir tak terjaga pun.
Saya tak fikir yang lain dah. Saya angkat Amir, turun ke parkir dari tingkat lima. Nasib baik ada jiran satu blok yang tolong saya papah Amir sampai ke kereta. Saya terus pecut sampai ke Hospital Serdang. 
Sekarang saya tersandar lelah di ruang menunggu. Baju kerja dah melekit dengan keringat.
Amir tak bangun lagi.
Apa yang boleh saya buat sekarang?
Jam di dinding ruang menunggu menunjukkan ke pukul 8.15 pagi. Saya keluarkan telefon daripada saku seluar dan cari nombor Bee Ling, kawan satu ofis Amir. Saya telefon dia untuk beritahu yang Amir masuk hospital dan minta Bee Ling maklumkan pada bos Amir tentang perkara tu. Kemudian saya telefon bos saya. Saya minta izin untuk ambil cuti hari ni. Saya nak tunggu Amir sampai dia jaga.
Saya telefon Lya. Memang ada tiga panggilan tak berjawab daripada Lya. Saya tak sempat sambut dalam kelam-kabut tadi. Sekali deringan aje, Lya terus menjawab. Lya terus tanya, “Eriq, kenapa Amir tak jawab call saya?”
Untuk beberapa lama saya terdiam tak dapat menjawab. Kata-kata itu tak terluah dari hujung lidah. Saya tarik nafas dalam-dalam. Dengan nafas tu juga saya berkata, “Amir masuk hospital. Hospital Serdang. Tak tahu sakit apa. Doktor tengah check.
Lagi lama diamnya Lya. Di latar hujung talian sana terdengar bunyi biasa di tempat makan; sudu dan garfu, gelas dan pinggan. Di kafe mungkin? Oh, dia masih di Port Dickson. Lalu, dengan tenang Lya membalas, “Habis bengkel tengah hari nanti, Lya terus pergi hospital.”
“Lya...” Kata-kata saya tak sudah.
“Amir akan okey,” sambut Lya, terus.
“Okey.” Saya tak tahu nak cakap apa lagi.
“Tolong jaga Amir untuk Lya, ya... Eriq.”
“Okey.”
Tamat panggilan itu, saya termanggu sendirian lagi. Saya masih di ruang menunggu dengan telefon di tangan. Sekarang, bagaimana? Jari mencari nombor Abah dari senarai Contacts. Saya mesti beritahu Abah fasal Amir, anak dia. Nombor itu saya tenung, saya ulang satu demi satu. Tapi saya tak sanggup nak telefon Abah. Saya tak boleh nak telefon begitu aje. Lalu saya ke kaunter dan beritahu jururawat di situ yang saya nak keluar. Saya tinggalkan nombor saya supaya dia boleh maklumkan saya tentang perkembangan Amir. 
Saya nak pergi jumpa Abah dan bawa dia ke mari.

***

Perjalanan dari Putrajaya ke Kepong yang sepatutnya tak sampai pun sejam jadi hampir-hampir tiga jam dalam waktu puncak pagi Rabu ni. Macam-macam yang saya buat untuk menenangkan perasaan yang melambung-lambung. Habis semua stesen radio saya tukar dari satu lagu ke satu lagu yang lain. Lagu-lagu dalam simpanan saya pun dah bercampur aduk. Saya tutup radio. Dalam senyap tu yang bukan-bukan pula saya fikirkan. Saya tarik nafas dalam-dalam. Saya buang nafas panjang. Saya istighfar. Tak putus-putus juga doa saya untuk Amir.
Dalam tak sedar, saya menangis.
Untuk tak mengetahui apa yang sedang berlaku itu membuatkan saya jadi takut. Saya tak tahu apa yang terjadi pada Amir. Mengapa tiba-tiba boleh jadi macam ni? Macam mana Amir boleh sakit? Amir sakit apa? Dan kalau doktor beritahu nanti, dapatkah saya menerimanya? Dapatkah saya buat sesuatu untuk selamatkan Amir? Apa yang akan jadi selepas ni?
Apa yang boleh saya beritahu pada Abah nanti?
Saya sampai ke rumah teres setingkat nombor 26 di Taman Jasa tu dengan wajah yang masih basah dengan air mata. Bersama salam, saya laung Abah. Abah menjenguk dari pintu. Ada buku di tangannya. Dia sambut salam saya dengan senyum. Sampai di pagar, senyuman itu terluput.
“Kenapa ni, Eriq?” Dan tanpa saya menjawab, Abah memeluk saya. Abah suruh saya bertenang dulu. Saya kaku di situ. Saya yang sepatutnya tenangkan Abah. Saya mesti beritahu Abah fasal Amir.
“Amir masuk hospital.” Saya cakap, begitu aje.
Abah leraikan pelukan dan pandang saya. Tangannya masih di bahu saya, lemah. Kemudian, sepertinya Abah cuba menahan diri daripada terus melonglai. Dia mengejapkan pautan.
“Saya nak bawa Abah ke hospital sekarang.”
“Abah tukar pakaian sekejap.”
Saya menyusul Abah masuk. Mungkin ada apa-apa yang boleh saya tolong nanti. Buku yang Abah baca tadi dia letakkan di meja telefon. Dia masuk ke bilik. Sempat saya mengerling ke sampul kulit buku tadi. La Tahzan. Jangan Bersedih. Cepat-cepat saya seka sisa air mata dan raup wajah. Saya tarik nafas untuk tahan perasaan yang masih bergelora. Jangan menangis lagi, Eriq. Saya terus sendirian di ruang tamu yang hening itu, menunggu Abah.
Abah dah pencen dalam empat tahun lepas. Dia memang duduk seorang lepas berpisah dengan ibu Amir waktu Amir sekolah menengah. Ibu Amir pula dah meninggal dalam sepuluh tahun lepas. Abah tak kahwin lain. Sebulan sekali memang Amir akan balik ke rumah Abah. Selalu juga saya ikut sekali.
Pada dinding bertentangan saya, bergantungan bingkai-bingkai gambar Abah dengan Amir. Hanya ada satu gambar, di tengah-tengah semuanya, dengan Abah, ibu dan Amir sebagai satu keluarga. Yang lain memang gambar Amir dengan Abah. Ada dua-tiga gambar saya bersama mereka. Antaranya, gambar hari raya tahun ni. Abah berbaju melayu biru. Amir berjubah putih. Saya dengan baju melayu merah. Ini gambar hari raya pertama. Saya datang beraya sebelum bertolak balik ke kampung mak. Amir sungguh-sungguh nak saya beraya dengannya. Dia tak beri saya balik kampung. ‘Lepas ni, awak tak beraya dengan saya dah.’ Kata-katanya buatkan saya terpaku pada gambar Amir berjubah putih itu.
Saya buang perasaan yang bukan-bukan itu jauh-jauh.
Abah keluar dari bilik lengkap berkemeja merah dan berseluar kelabu. Dia bimbit sebuah beg pakaian. Mungkin untuk simpan sejadah dan kain pelikatnya. Tapi dari beg itu, Abah keluarkan sebiji bantal hitam. Kata Abah, “Abah bawa sekali bantal busuk Amir. Amir tu... kalau sakit, bantal ni lah peneman tidur dia.”
Saya ambil beg itu daripada Abah dan iring Abah ke kereta. Sepanjang perjalanan itu, kami tak banyak bercakap. Beberapa kali Abah suruh saya perlahankan kereta. Nyaris-nyaris saya nak langgar lampu merah tadi. Saya memandu di lorong paling kanan terus-menerus. Kalau boleh saya nak pecut 220km/jam. Kalau boleh saya nak terbang. Dan kami sampai ke hospital dalam masa 40 minit aje. Jururawat di kaunter tadi minta kami terus berjumpa doktor di biliknya.
“Kenapa dengan anak saya doktor?” tanya Abah sebaik duduk.
“Kami dah buat ujian darah dan laporannya akan kita terima dalam petang nanti. Tapi berdasarkan simptom demam, sakit kepala dan leher macam yang Encik Eriq beritahu saya... berkemungkinan Encik Amir dijangkiti meningitis.” Dengan tenang, doktor wanita itu terus menjelaskan. “Kita nak pastikan sama ada ianya jenis viral atau bacterial. Jenis bacterial paling bahaya kalau kita lambat bertindak. Buat masa ni kami sedang rawat Encik Amir dengan antibiotik. Keputusan laporan nanti akan dapat tentukan rawatan yang terbaik untuk Encik Amir.”
“Amir boleh sembuh, kan?”
“Kami akan usahakan yang terbaik, pak cik.”
“Saya tak terlambat, kan, doktor?” Saya bertanya dengan beban rasa bersalah. Kalaulah semalam saya temankan Amir jumpa doktor. Kalaulah saya tahu ini yang akan terjadi.
“Hidup mati kita tak cepat, tak lambat, Encik Eriq... walaupun sesaat.” Doktor mengulas kata-kata itu. “Apa yang kita usahakan adalah yang terbaik untuk Amir. Berdoalah supaya semuanya dipermudahkan Allah. Dialah sebaik-baik tempat bergantung. Dia jugalah yang tahu yang sebaik-baiknya untuk kita, atas ketentuan-Nya.”
“Kita pergi tengok Mir, Eriq.” Ajak Abah. Tangannya kejap di bahu saya. “Abah nak beri bantal busuk Amir ni.”
“Encik Amir masih di wad ICU. Dia masih belum sedarkan diri. Tapi saya akan benarkan pak cik jenguk Amir dalam 15 minit. Okey, ya, pak cik?”
Abah angguk kecil. Dia bangun dan menyusul doktor keluar. Saya lebih dahulu berjalan ke depan. Padahal saya tak tahu pun ke mana halanya. Saya tak mahu lambat-lambat lagi. Saya nak kejutkan Amir. Amir mesti bangun kali ni. Amir. Amir. Amir. Tolonglah! Amir. Amir. Amir. Dengan hujung lengan saya cuba kesat air mata yang tiba-tiba menderas. Saya berhenti. Tapi air mata laju juga.
“Eriq...”
Suara itu menyapa saya dari belakang. Saya menoleh tanpa cuba menyembunyikan tangisan lagi. Lya di situ. Cepat betul dia sampai dari Port Dickson. Lya kelihatan tenang. Atau dia cuba sehabis baik untuk bertenang. Di pipinya berbekas air mata. Dia sambut Abah bersama doktor yang baru menyusul. Abah menggamit Lya untuk sama-sama mengikut. Kami beriringan dengan doktor ke wad Unit Jagaan Rapi.
“Kenapa Eriq tak jawab call Lya?”
Baru saya sedar yang telefon saya tak ada dalam poket seluar. Entah ke mana saya campak tadi. Mungkin tertinggal dalam kereta. Telefon itu memang saya letak dalam mod senyap sejak sampai ke hospital awal-awal tadi. Tak perlulah saya jelaskan semua itu pada Lya sekarang. Sekarang Amir lagi penting. Saya menangkap pandangan Lya. Ada air mata yang sudah kembali bergenang di sudut matanya.
“Kenapa dengan Amir, Eriq?” tanya Lya lagi, separuh berbisik. Sepertinya dia tak sanggup untuk mendengar jawapannya nanti. Dan senyap saya tak membalasnya. Tapi dia bertanya juga, “Kenapa diam?”
Jujurnya saya tak tahu apa dan bagaimana yang saya harus katakan. Apa yang saya tahu tentang keadaan Amir? Doktor pun masih tunggu keputusan ujian. Amir tak bangun-bangun sejak pagi tadi. Semalam dia demam aje. Demamnya tak kebah sejak tiga hari lepas. Bagaimana saya nak menenangkan Lya dengan keadaan Amir seperti sekarang? Dan bagaimana pula selepas ini? Saya sendiri tak keruan dengan segala macam yang bukan-bukan mengasak fikiran.
“Amir akan okey.” Hanya itu yang mampu saya ucapkan. Dan berkali-kali juga saya cuba meyakinkan diri tentang itu. Berkali-kali juga saya cuba untuk tidak memikirkan yang sebaliknya. Amir akan okey. Amir akan sedar. Amir tak apa-apa.
Lya diam. Dia menyatukan pandangan ke dalam mata saya. Tapi kemudiannya dia terus berpaling. Dia mahu sembunyikan air mata yang tak mampu lagi ditahannya.   
Seorang jururawat mendapatkan doktor yang mendepani saya, Abah dan Lya. Dengan suara yang rendah dia memberitahu sesuatu kepada doktor. Sekilas pandangan doktor singgah ke arah kami. Dia langsung meminta diri dan pergi bersama-sama jururawat tadi.
Dan segala macam yang bukan-bukan itu kembali menggasak fikiran saya.

No comments: